Elfira Loy Nafi Bercinta Dengan Randy Pangalila

Elfira Loy



KUALA LUMPUR: Aktres remaja Elfira Loy menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang sekali lagi mendakwa dia sedang menjalinkan hubungan cinta secara rahsia dengan aktor Indonesia popular Randy Pangalila.

Pelakon berusia 18 tahun itu berkata, dakwaan yang sudah berulang kali diperkatakan itu membuatkan dia berasa buntu untuk terus memberikan penjelasan.

“Saya sudah tidak tahu bagaimana hendak jawab mengenai perkara ini. Walaupun saya cakap tidak bercinta pun, orang akan tetap tuduh saya ada hubungan dengan dia (Randy).

“Hakikatnya, memang kami tiada apa-apa hubungan serius melainkan kawan biasa sahaja,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Gosip yang mengaitkan pasangan muda ini bermula sejak setahun lalu ketika mereka bergandingan dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang arahan Michael Ang.

Susulan gosip tersebut, Elfira dikecam teruk oleh peminat aktor berusia 22 tahun itu yang kurang senang dengan dakwaan berkenaan.

Terbaru, aktres bertubuh genit itu sekali lagi dikhabarkan menjalin hubungan dengan Randy secara rahsia.



 Randy Pangalila

Elfira berkata, dia tidak bimbang atau takut untuk menafikan perkara itu kerana ia memang tidak berlaku biar pun dia terpaksa menghadapinya berulang-kali.

“Tiada apa yang saya hendak takutkan kerana memang saya tidak bercinta atau cuba menyembunyikannya.

“Randy seorang kekasih yang setia. Dia sangat mencintai kekasihnya Michela Putri di Jakarta, Indonesia dan saya juga mengenali kekasihnya itu,” katanya.


Mengenai perkembangan terbaru, Elfira berkata, dia baru sahaja mendapat kecederaan lebam di bahagian kakinya kerana dipijak kuda.

Katanya, kecederaan itu dialami ketika dia sedang membuat latihan menunggang sebagai persiapan untuk telefilem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

“Lebam kaki saya jadinya gara-gara berlatih menunggang kuda. Sudahlah saya ini kecil dan ringan, apabila tersilap teknik, kaki saya pula yang dipijak kuda. Mujurlah, kecederaannya tidak serius.

“Saya terpaksa menjalani latihan menunggang kuda untuk persiapan sebuah projek telefilem di bawah arahan Shuhaimi Baba tidak lama lagi,” katanya.

Elfira dan Randy sekali lagi berpasangan dalam drama bersiri 13 episod berjudul Dalam Hati Ada Taman.

Ia akan ditayangkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).

Oleh WAHIDUZZAMAN

0 comments:

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com

Blogger Template by Clairvo