Sharnaaz Berbangga Dengan Kemenangan Shila Amzah Di 'Asian Wave 2012'

Saturday, September 22, 2012 by
Shila Amzah ketika diumumkan sebagai juara Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China, malam Khamis lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad memuji penyanyi Shila Amzah dan menganggap dia layak diangkat sebagai juara pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China pada malam Khamis lalu.

Sharnaaz, 27, berkata, kejayaan tersebut adalah ganjaran Tuhan atas kerja keras Shila selepas 12 tahun bergelar artis serta kesungguhannya membuat persiapan termasuk mempelajari bahasa Mandarin sebelum menyertai pertandingan itu.

"Dia (Shila) memang berhak diangkat sebagai juara pertandingan itu. Saya berbangga kerana usaha dan kerja kerasnya selama ini terbayar dengan kemenangan itu.

"Mungkin ini adalah ganjaran daripada Tuhan untuk dia yang sering dikutuk dan dipertikaikan itu dan ini oleh segelintir pihak di laman Twitter sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.

Sharnaaz berkata, dia yang menerima berita itu daripada panggilan telefon ibu Shila, Fauziah Sarman pada malam Khamis, berharap kejayaan itu akan menjadi motivasi untuk kekasihnya lebih fokus pada bidang nyanyian selepas ini.

Sharnaaz dan kekasihnya Shila

“Saya sudah tidak sabar untuk menanti dia pulang ke Malaysia pada 26 September ini. Apa yang saya harapkan kejayaan ini akan membuatkan Shila lebih fokus dan berjaya dalam nyanyian.

“Keberanian dia menyanyi di depan penonton asing dan kesungguhannya sejak dulu lagi begitu membanggakan saya secara peribadi,” katanya.

Mengenai persembahan Shila dalam pertandingan itu yang dimuat naikkan di laman YouTube, Sharnaaz berkata, dia menggemari nyanyian gadis berusia 22 tahun itu ketika menyampaikan lagu Grenade nyanyian asal Bruno Mars.

"Saya kagum dengan persembahan Shila mendendangkan lagu Bruno Mars bertajuk Grenade. Kesungguhannya di atas pentas ketika menyampaikan lagu itu layak dipuji," katanya.

Pada peringkat akhir Asian Wave 2012 itu, Shila berentap dengan 12 penyanyi termasuklah finalis dari China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.

Shila yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon 80-an, ND Lala berjaya memukau juri dan penonton dengan kekuatan vokalnya mendendangkan lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying).

Pada peringkat awal pertandingan yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September lalu, Shila mempersembahkan lagu popular Adele, Set Fire to the Rain dan lagu Mandarin Forever Love (Wang Lee Hom) di samping 30 peserta lain.

Oleh WAHIDUZZAMAN

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com