Pernikahan Jue Aziz Dan Bayu Sah Mengikut Hukum Syarak

Thursday, August 07, 2014 by
Jue Aziz dan suaminya, Bayu Pramana Putra Achmal

 

Pelakon Jue Aziz berhasrat untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bersama suaminya, Bayu Pramana Putra Achmal pada awal tahun hadapan.

Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abd Aziz, 31, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai tarikh tertentu bagi melaksanakan hasrat berkenaan.

"Alhamdulillah selepas urusan pernikahan saya dengan suami selesai di mahkamah, diharap selepas ini tidak lagi dijadikan isu seperti mana sebelum ini.

"Insya-Allah kami bercadang untuk mengadakan majlis resepsi bagi memperkenalkan suami kepada keluarga dan kenalan rapat pada tahun hadapan," seperti yang dilaporkan mStar online.

Jue berkata demikian selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam memutuskan pernikahannya dengan lelaki warganegara Indonesia itu sah dan mengikut hukum syarak,

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga di kampung halaman Bayu, 28, di Makassar, Indonesia pada 9 Mac lalu.

Dalam pada itu, Jue berkata, dia seboleh-bolehnya mahu mempercepatkan tarikh bagi mengadakan majlis berkenaan namun kesibukan mereka terhadap kerjaya seni masing-masing membuatkan perancangan itu terpaksa ditunda pada tahun hadapan.

Jelas Jue, dia juga mahu mengadakan acara itu bagi memenuhi impian ibu dan bapanya yang ingin melihat dia bersanding di kampung halaman ibunya di Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Jue berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan tersebut daripada pengetahuan umum cuma tidak dihebahkan kerana tidak mahu publisiti meluas tentang perkara itu.

Jelas Jue lagi, selepas mendirikan rumah tangga dia tidak pernah menafikan statusnya jika ada pihak yang bertanya malah perkahwinan itu turut mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.