Pelakon Sheera Iskandar Sudah Bertudung

Thursday, August 07, 2014 by

 SHEERA Iskandar turut mengambil keberkatan Ramadan lalu untuk berhijab



KUALA LUMPUR: Selain Neelofa, Umie Aida, Ana Dahlia, Nas Adila serta bekas personaliti TV3, Haizi Rani dan penyampai radio ERA FM, Ira Mohd Amin, anak kepada pelakon lama, Aznah Hamid iaitu Sheera Iskandar turut mengambil keberkatan Ramadan lalu untuk berhijab.

Di laman Instagram, pelakon berusia 29 tahun itu juga tak menyembunyikan hakikat imej barunya itu. Cuma ketika dihubunginya petang tadi, beliau agak segan untuk berkongsi mengenai penghijrahannya itu.


Sheera Iskandar bersama ibunya, Aznah Hamid.



“Ia tuntutan wajib bagi saya. Semoga Tuhan terus tetapkan hati saya untuk berubah ke arah yang lebih baik. Saya mohon sentiasa dipermudahkan semua ini. Saya buat benda ini bukan sebab kerana orang lain tetapi atas kerelaan diri sendiri. Sebelum ini pun saya banyak berlakon cerita mengenakan tudung,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Sheera masih terus menerima lakonan. Malahan biarpun sudah bertudung, tawaran yang datang tetap seperti biasa. Cuma hingga saat ini, ramai yang melihat popularitinya masih pada tahap biasa. Sheera mula berlakon sejak usia empat tahun lagi.

“Terpulang kalau ada yang cakap saya tak menyerlah tetapi saya tetap bersyukur kerana rezeki itu masih menyebelahi diri. Saya masih ada peminat yang menyapa kalau keluar di khalayak ramai. Ada yang kenal saya. Macam baru-baru ini impak drama Walau Sedetik Cuma yang sudah habis siarannya di TV Al Hijrah cukup mengesankan.

“Drama itu terbitan Zeel Production milik Fadzil Teh. Saya bergandingan dengan Zul Ariffin. Saya bertudung dalam cerita berkenaan dan Alhamdulillah ramai yang memuji karakter yang saya bawakan,” katanya.
Sheera sempat ditanyakan mengenai kisah peribadinya. Beberapa episod cintanya turut berakhir tanpa penamat yang indah.

“Buat masa sekarang saya masih solo. Tak dinafikan di usia sekarang, pada suatu ketika, timbul tekanan bila lagi nak menamatkan zaman bujang. Tapi apabila sudah lama, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin belum sampai waktunya untuk saya menamatkan zaman solo. Nak kahwin ini pun kita berharap ia berpanjangan. Kahwin bukan untuk sehari dua,” katanya.

Oleh Zaidi Mohamad

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com