Iqram Dinzly 'Terasa Hati' Dengan Pihak Produksi 'JJCM'

Tuesday, March 19, 2013 by
Iqram mengaku merajuk dengan pihak JJCM kerana tidak menyambung kontraknya.

 

PETALING JAYA: Pelakon Qi Razali berharap bekas pengacara Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) iaitu Iqram Dinzly tidak berkecil hati kerana penamatan kontrak mengacara rancangan itu.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 35, berkata, dia tidak berniat untuk ‘mencantas’ Iqram sebaliknya sekadar memenuhi tawaran pihak TV3 yang mahukan semula khidmatnya mengendalikan rancangan itu seperti sebelum ini.

"Sejujurnya saya sendiri terkejut apabila diberitahu Iqram tidak akan muncul dalam musim terbaharu program itu namun saya tidak pasti apakah sebab-sebabnya.

"Tawaran yang datang bukan kerana saya berjumpa dengan pihak produksi dan merayu agar mereka menerima saya kembali.

"Saya terima kerana mahu kembali aktif dalam bidang pengacaraan yang telah saya tinggalkan hampir dua tahun lalu kerana memberi tumpuan kepada bidang lakonan," jelasnya kepada mStar Online.

Media sebelum ini melaporkan, Iqram terasa hati dengan pihak produksi JJCM yang tidak menyambung kontraknya untuk musim terbaharu dan menganggap pengorbanannya dipandang sebelah mata oleh mereka.

Qi pernah mengendalikan program berkenaan untuk beberapa musim terdahulu sebelum ia diambil alih oleh Iqbal Mazlan dan Shiha serta Iqram Dinzly.



Qi bakal kembali sebagai pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) menggantikan Iqram Dinzly.

 
Dalam pada itu kata Qi, dia berharap pertukaran itu tidak menyebabkan hubungan akrab mereka berdua terjejas.

"Saya dan Iqram memang berkawan dan hubungan kami masih baik dan berharap ia akan terus kekal begitu kerana kami memang tiada sebarang masalah sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Qi berkata, dia yakin pihak produksi mempunyai sebab tertentu tidak menyambung kontrak Iqram yang hanya bertahan selama satu musim sahaja.

Malah kata Qi, pertukaran pengacara bagi sesebuah program adalah lumrah dan berharap Iqram tidak berputus asa dalam mengembangkan lagi kerjayanya.

"Saya tidak boleh ulas perkara itu kerana saya sendiri hanya seorang pengacara sahaja namun sebagai seorang kawan kepada Iqram saya sentiasa mengharapkan terbaik buatnya," jelas Qi.

Tambah Qi, dia bakal membuat sedikit perubahan dari segi gaya pengacaraannya dalam JJCM dan memberitahu sudah pun merakamkan lapan episod untuk musim terbaharu itu.

Selain JJCM dia juga akan kembali mengacarakan program yang memperkenalkannya sebagai pengacara iaitu Destinasi Bajet.

Jelas Qi, kali ini dia akan menjelajah ke negara Asia seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam dengan tip-tip yang lebih padat serta bajet terhad.

"Saya teruja musim terbaharu program itu akhirnya dilaksanakan kerana saya memang gemar aktiviti melancong dan buat masa ini kami telah pun memulakan penggambaran namun tidak pasti bila ia akan ditayangkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Qi berkata juga akan muncul dalam dua buah filem iaitu Bencinta dan Anak Jantan selain beberapa buah drama.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI