Haleeda Kini Tampil Bertudung Selepas Lama Menyepi

Tuesday, March 12, 2013 by
Haleeda 



Masihkah anda ingat dengan pelakon dan penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah popular menerusi lagunya berjudul ‘Setia Kasih’ iaitu Haleeda Mazlin.

Agak lama juga Haleeda meninggalkan dunia hiburan tempatan dan kali terakhir berlakon adalah pada tahun 2009 menerusi drama berjudul ‘Kecuali Cintamu’ untuk saluran Astro.

Sewaktu bertemu dengan pelakon ini di Sri Pentas TV3 petang semalam, penampilan Haleeda kini kelihatan semakin ayu dan anggun apabila pelakon tersebut telah mula berubah mengenakan hijab sejak 3 tahun lalu.

“Sebenarnya niat berhijrah ini dah lama, tapi lebih menguatkan lagi adalah masa arwah mak saya tengah sakit tenat. Masa itu terdetik nak berubah sebab saya rasa kita perlu cari ketenangan dalam hidup ini.

“Ini baru hijrah kecil sahaja, maksudnya saya baru belajar berubah dari segi penampilan. Kalau nak berhijrah ini, sikap pun kita kena ubah sekali, oleh itu orang paling dekat dan sering memberikan nasihat adalah ayah saya sendiri.

“Kalau nak dikira, hijrah ini bukanlah suatu perkara besar untuk diraikan, lagipun saya pun masih lagi belajar,” ujar Haleeda sambil tersenyum.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perubahan ini, muncul juga persoalan adakah perubahan ini melibatkan mana-mana parti politik dan adakah Haleeda di jemput untuk menyampaikan ceramah di mana-mana majlis ilmu seperti artis-artis lain?

“Semua ini bergantung pada diri individu itu sendiri. Masing-masing punya kehendak tapi, apa yang penting adalah nawaitu sendiri.

“Saya tak layak untuk beri ceramah apa-apa. Biarlah mereka yang arif sahaja memberikan ceramah,” katanya.

Merujuk perkembangan terbaru, Haleeda bakal muncul dengan drama terbarunya berjudul ‘Bangkitnya Seorang Perempuan’ yang akan ditayangkan di Slot Samarinda, TV3 pada 13 Mac ini.

Berikut kami lampirkan video klip lama Haleeda berjudul “Setia Kasih” buat tatapan anda semua. Jom imbas masa silam sekejap.


Sumber: OhBulan