Jadikanlah Kisah Hidup Zaiton Sameon Sebagai Iktibar

Tuesday, November 06, 2012 by
 Zaiton pada zaman mudanya.


ADOIII...

ADA seorang pelakon dan penerbit drama popular meluahkan perasaan kepada saya selepas menonton filem Zaiton Ceritaku.

Kata produser drama itu, dia menangis membayangkan kesusahan Zaiton Sameon (Eton) yang top suatu ketika dahulu tetapi hidup menderita pada hari ini.

Begitu juga seorang pelakon lelaki ini. Katanya, kisah Zaiton banyak memberi pengajaran kepada kehidupan artis. Semua artis wajar menonton filem itu dan menjadikan kisah Zaiton sebagai pengajaran.

Dalam filem itu digambarkan bagaimana kehidupan dan kesengsaraan Zaiton selepas dia ditimpa kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan anak tunggalkannya.

Malah selepas kemalangan itu, Zaiton tidak boleh berfikiran waras. Semua harta yang dimilikinya juga habis begitu sahaja akibat ditipu.

Apa yang terjadi kepada Zaiton memberi makna mendalam kepada generasi artis pada hari ini.

Zaiton memiliki segala-galanya. Kekayaan, glamor dan populariti. Tapi sayang, segala-galanya hilang sekelip mata.

Saya pernah berkunjung ke rumah Zaiton di Rembau, Negeri Sembilan lebih 10 tahun dulu. Zaiton menunjukkan kepada saya koleksi pakaian yang dipakainya ketika membuat persembahan suatu ketika dahulu.

Ia termasuk juga koleksi kasutnya yang disusun rapi. Ketika di rumah itu Eton memberitahu saya dia akan melihat pakaian-pakaian itu untuk mengubat rindunya sebagai penyanyi.



Wajah terkini Zaiton Sameon 

Dia juga amat berbangga dengan pencapaian serta populariti yang diraihnya pada zaman kemuncak. Tapi sayang, hari ini Eton tak ada apa-apa lagi.

Saya difahamkan, koleksi pakaian yang menjadi kenangannya telah pun dimusnahkan. Rumah dan tanah di kampungnya juga sudah menjadi milik orang lain.

Walaupun Eton sudah hilang segala-galanya tetapi dia meninggalkan satu jasa iaitu sebuah karya yang wajar menjadi perhatian generasi muda.

Seperti mana kata seorang pelakon kepada saya yang insaf selepas menonton filem itu, saya berharap perasaan serupa ada pada artis-artis lain.

Pelakon dan penyanyi pada hari ini mendapat macam-macam kemudahan. Malah kerajaan juga menyediakan dana industri kreatif untuk melihat dunia seni benar-benar diangkat.

Bayaran yang diberikan kepada para pelakon juga tidak seperti dahulu kerana imbuhan mereka cukup besar bergantung kepada populariti masing-masing.

Cuma para artis harus bijak bagaimana mereka hendak bersaing bagi memasarkan diri masing-masing.

Dek pengalaman yang terjadi kepada Zaiton itulah artis-artis wajar untuk menyelamatkan masa depan mereka dengan mengumpul harta sebanyak mungkin.

Kehidupan artis di Malaysia tidak seperti di Hollywood kerana artis-artis muda sahaja yang biasanya diangkat menjadi hero dan heroin. Apabila mereka sudah tua, watak yang sesuai hanyalah menjadi ibu, bapa, datuk ataupun nenek. Paling “lekeh” pun watak orang gaji.

Kepada artis yang tengah masyhur namanya hari ini, ambilah kisah hidup Zaiton itu sebagai pengajaran. Ingat... ketika kita tersenyum hari ini, belum tentu kita akan terus ketawa esok hari.

NIEZAM: Tak kaya, cukuplah ada sedikit harta.

Oleh NIEZAM ABDULLAH

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com