Soal Cinta Neelofa,Shahz Jazle dan Miera Liyana

Friday, November 18, 2011 by


FILEM Azura yang menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam industri perfileman tempatan sekitar era 80-an.

Memaparkan sebuah kisah tentang cinta antara dua darjat yang digarap cukup menarik, maka tidak hairanlah filem arahan Deddy M. Borhan itu terus diminati dan menjadi tontonan ramai setiap kali ditayangkan di televisyen.

Namun begitu, selepas 27 tahun filem terbitan Sabah Film Production itu dihasilkan, ternyata ia telah menarik minat seorang pengarah yang cukup terkenal iaitu Aziz M. Osman mengadaptasi filem Azura untuk versi 2011. 

Biarpun jalan ceritanya agak berbeza berbanding versi terdahulu, namun ia masih lagi mengekalkan tema yang sama iaitu mengenai kisah cinta yang terjalin di antara seorang gadis miskin dan lelaki yang dilimpahi dengan kemewahan.

Untuk versi baharu, ia mengisahkan tentang Azura, seorang gadis yang gigih hadapi cabaran hidup untuk mencapai cita citanya. Dia tinggal bersama ibu saudaranya, Yusni, setelah kedua-dua ibu bapanya terkorban ketika tragedi terowong Mina di Mekah pada 1990.
Sementara Zek pula membesar sebagai anak orang kaya sehinggakan kemanjaan dan kemewahan membuat Zek tidak mampu menahan diri daripada godaan. Dia sentiasa dikelilingi dengan manusia yang mahu mengambil kesempatan.

Selain menampilkan jalan cerita berbeza, ia turut menampilkan dua orang pelakon baharu yang semakin meningkat naik dan dikenali ramai iaitu Shahz Jaszle dan Neelofa yang memikul tanggungjawab sebagai watak utama.

Bagaimanapun, apa yang menarik sepanjang penggambaran filem Azura berlangsung, terdapat khabar angin yang mengatakan tentang wujudnya kisah cinta lokasi yang membabitkan Shahz dan Neelofa.

Sememangnya Shahz dan Neelofa dilihat cukup mesra bersama dan digosip bercinta sebelum ini, tetapi ia mencalar kontroversi apabila tiba-tiba Shahz yang sebelum itu dikatakan bercinta dengan aktres veteran jelita, Maria Farida dengan mudah beralih cinta pula kepada seorang lagi pelakon baharu, Miera Liyana.

Percintaan antara Shahz dan Miera digosip bercinta selepas mereka sama-sama membintangi filem Rentaz dan kedua-dua Shahz dan Miera tampil mengesahkan sememangnya mereka kini sedang bercinta! 

Malah, pada majlis pelancaran filem Azura di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur kelmarin, Shahz sebaliknya mengakui sememangnya dia terpikat kepada Neelofa ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran filem tersebut. 

Namun kata Shahz, hatinya terpikat kepada Neelofa atas dasar karakter Azura yang dilakonkan Neelofa dalam filem itu.
Shahz tidak mahu peminat salah sangka kerana apa yang dimaksudkannya itu adalah dia terpikat dengan karektor Azura itu sendiri yang berhasil dibawakan dengan baik sekali oleh aktres jelita itu.

"Memang saya sangat tertarik dengan watak Azura itu dan saya puji Neelofa kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dengan berkesan. Sehinggakan saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian walaupun kali pertama bergandingan bersama," jelasnya.

Shahz lantas menegaskan dia dan Neelofa tidak pernah menjalinkan hubungan cinta sekali gus menafikan gosip percintaan mereka yang tersebar selama ini.

"Sebenarnya saya ingin menyatakan yang memang kami tidak pernah menjalinkan hubungan percintaan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Hubungan kami pada masa itu agak rapat, tetapi tidaklah sampai bercinta. 

"Lagipun kami hanya rapat di lokasi dan tidak pernah keluar berdua bersama. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran filem Azura, kami terus membawa haluan masing-masing dan agak jarang berhubung," katanya.

Neelofa tidak ketinggalan meluahkan rasa tentang isu gosip cintanya dengan Shahz itu. 

Dia menganggap gosip tentang percintaan mereka sebelum ini adalah disebabkan kerana ketika itu dia tidak mempunyai kekasih, manakala Shaz pula sedang berhadapan dengan masalah bersama bekas kekasihnya iaitu Maria Farida.

Jelasnya, dia yakin gosip cintanya dengan Shaz yang pernah ditimbulkan sebelum ini tidak akan berlaku seandainya dia sudah mempunyai kekasih sewaktu mereka berdua menjalani penggambaran filem Azura.

"Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana, mungkin juga saya adalah mangsa keadaan kerana status saya yang solo. Namun, saya memang menganggap Shaz tidak lebih daripada rakan sesama artis.

"Malah, sekarang ini pula saya digosipkan bercinta pula dengan Hans Isaac. Sebagai seorang artis baharu saya akui perkara sebegini memang sukar untuk dielak, tetapi kalau terus berlaku boleh membuatkan saya rimas," tegasnya.

Ujarnya, buat masa sekarang ini sebagai langkah yang terbaik buat dirinya adalah terus memberi fokus kepada kerjayanya yang semakin meningkat naik tanpa mempedulikan sebarang kisah hangat yang melanda dirinya.

SHAHZ JASZLE turut ditemani kekasihnya, Miera Liyana ketika majlis pelancaran filem Azura kelmarin. 

Miera Liyana cemburu? 

Ketika ini pastinya ramai yang sudah mengetahui tentang hubungan percintaan yang telah terjalin di antara Shahz dengan seorang pelakon muda yang pernah dikaitkan dengan isu kontroversi iaitu Miera Liyana atau nama penuhnya Miera Liyana Kasmi.

Biarpun baru menjalinkan ikatan kasih bersama, tetapi sudah ada ura-ura yang mengatakan bahawa kedua-dua pelakon itu bakal mengikat tali pertunangan dalam tempoh yang terdekat ini. 

Pada majlis pelancaran filem Azura tersebut, Shahz turut ditemani Miera biarpun Meira tiada langsung kaitan dengan filem itu.
Diminta mengulas mengenai perkara berkenaan, Shahz menafikan dia dan kekasihnya itu akan bertunang tidak lama lagi. 

"Memang kami berdua ada berbincang bersama-sama tentang hal pertunangan, tetapi tidak pernah meletakkan sebarang tarikh tertentu. Lagipun buat masa ini kami masih lagi sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Bagaimanapun, saya sebenarnya memang ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga pada usia yang muda memandangkan ayah saya sendiri semakin tua dan dalam usia sebegini rasanya sudah sesuai untuk bergelar suami," jelas pelakon yang baru berusia 23 tahun itu.

Ditanya adakah dia tidak menyesal sekiranya mereka berkahwin pada usia yang muda, dia menganggap soal umur bukanlah satu masalah yang besar memandangkan ibunya sendiri mendirikan rumah tangga ketika berusia 18 tahun.

"Pada saya usia bukanlah penentu kepada kebahagiaan dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Lagipun apa yang paling penting adalah persefahaman yang terjalin di antara satu sama lain agar perhubungan dapat terus berkekalan," tegasnya.

Sementara itu, Miera menjelaskan dia menemani kekasihnya itu bukanlah semata-mata disebabkan perasaan cemburu.

"Sebenarnya Shaz sendiri yang ajak saya datang ke majlis ini. Lagipun sebagai kekasih, ini adalah sebahagian daripada tanda sokongan saya memandangkan Azura merupakan filem sulung lakonan Shahz," ucapnya.

Disebalik namanya yang kini semakin meningkat naik sebagai seorang pelakon, kali ini Neelofa telah mengejutkan ramai pihak apabila menjadi pilihan pihak TV3 untuk menjadi pengacara rancangan Nona bersama Fara Fauzana. 

Menurut Neelofa, dia sendiri sangat teruja untuk menjadi pengacara bersama dalam rancangan tersebut dan menganggap ia adalah satu pencapaian yang cukup besar dalam kariernya sebagai anak seni.

"Sebenarnya memang sejak dari dahulu lagi saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pengacara, tetapi ternyata rezeki yang saya peroleh terlebih dahulu menerusi bidang lakonan.

"Yang menariknya, selepas kenyataan saya keluar dalam sebuah majalah baru-baru ini tentang impian dan hasrat mahu menjadi pengacara Nona, tidak sangka pula ia tiba-tiba telah menjadi kenyataan," ujarnya.
Menurut Neelofa, selain gembira dengan tawaran yang diterima dia sendiri tidak sabar untuk menjalani rakaman untuk rancangan tersebut yang dijadualkan bermula pada pada akhir bulan ini.

Pada masa yang sama, pelakon tersebut memberitahu meskipun selepas ini dia agak sibuk tugas baharunya itu, tetapi ia langsung tidak mengganggu perjalanan kariernya dalam dunia lakonan.

"Buat masa ini saya memang tidak menerima sebarang tawaran berlakon drama kerana mahu memberi tumpuan kepada filem dan mengacara. Saya hanya akan berlakon dalam drama yang menampilkan jalan cerita dan watak yang betul menarik dan bagus," jelasnya.


Kredit: Sumber

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com