Nilai Eksklusif Jamal Abdillah Tidak Akan Hilang

Wednesday, April 04, 2012 by
 Jamal membuat persembahan penuh bertenaga di PWTC sempena minggu setiausaha.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah menaruh keyakinan tinggi nilai eksklusif pada dirinya tidak akan musnah meskipun banyak artis baru muncul pada ketika ini.

Jamal,53, berkata, perbezaan yang ditampilkan dalam setiap persembahan adalah faktor dia berjaya mengekalkan populariti selepas kejayaannya dalam Bintang RTM pada tahun 1979.

“Saya yakin dapat mempertahankan nilai eksklusif diri saya. Saya mengadakan konsep persembahan berbeza dalam setiap acara yang saya lakukan.

"Peminat tidak akan melihat saya membuat persembahan yang sama dalam setiap konsert yang saya lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Pada majlis itu Jamal menyanyikan lebih 20 buah lagu antaranya Aku Penghibur, Perjalananku, Kau Lupa Janji, Sepi Seorang Perindu, Keluhan Perantau dan Gadis Melayu.Artis Dee (Jangan Ketawa) bertindak sebagai pengacara sementara Isma (AF) sebagai penyanyi jemputan.

Dee (kiri) berjaya mencuit hati dengan aksi lucunya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar dan Pengurus Komunikasi Korporatnya, Datin Fadzilah Said.

Jamal berkata, lagu-lagu lama nyanyiannya tidak akan luput biarpun ketika ini pelbagai karya baru dihasilkan dengan kreativiti yang berbeza.

Malah ujar Jamal, menjadi trend apabila lagu-lagu malar segar sekarang semakin popular dan sering berkumandang di corong radio.

“Sekarang kita tengok banyak lagu lama dipopularkan semula. Itu membuktikan bahawa lagu yang pernah hit suatu ketika dahulu tetapi akan menjadi popular walaupun zaman telah berubah,” ujarnya.

Bagaimanapun dia tetap menyesuaikan diri dengan keadaan muzik pada hari ini untuk memikat hati golongan muda seperti menghasilkan lagu “Maafkan Kamu”, kolaborasinya dengan komposer Malique.

Dalam pada itu Jamal berkata dia tetap bimbang peminat yang kerap menyaksikan persembahannya akan jemu sekiranya dia tidak tampil berbeza untuk menghiburkan mereka.

Peminat amat teruja dengan koleksi lagu-lagu pilihan Jamal.
 

Kebolehannya bermain beberapa instrumen seperti gitar, piano dan dram akan ditunjukkan untuk persembahannya pada masa akan datang.

“Ramai orang tak tahu saya boleh bermain beberapa alat muzik. Mungkin suatu hari nanti saya akan membuat persembahan dengan menggunakan alatan muzik itu,” katanya.

Bercerita mengenai persembahannya di PWTC itu Jamal agak kurang berpuas hati kerana merasakan corak penyampaiannya gagal untuk diterima oleh peminat.

Kata Jamal dia kecewa jika tidak mampu membuat peminatnya menangis ketika menyampaikan lagu-lagu yang menyentuh jiwa.

“Jika peminat tidak menangis melihat persembahan saya, ia mesti ada yang tidak kena. Itu yang saya takut. Sebab itu kalau saya membuat persembahan, saya mesti mahu ada jiwa dalam diri saya,” ujarnya.
Oleh NIEZAM ABDULLAH

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com