Aishwarya Rai Hamil!

Thursday, June 23, 2011 by



MUMBAI: Bekas Ratu Dunia yang kini bergelar aktres popular Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan dilaporkan sedang hamil, kata bapa mentuanya yang juga aktor Amitabh Bachchan.

“Berita!!! Saya bakal menjadi seorang datuk. Aishwarya kini hamil. Amat gembira dan teruja!!!,” tulis bintang veteran dalam akaun Twitter beliau pada Selasa.


Amitabh Bachchan paling gembira apabila mendapat tahu menantunya telah hamil.





Aishwarya Rai, 37, berkahwin dengan anak pelakon bintang mega Bollywood itu, Abhishek, 35, pada April 2007. Ia adalah anak pertama pasangan itu dan berita berkenaan muncul selepas beberapa minggu media di India dalam ruangan gosip mula membuat spekulasi memperkatakan mengenai berat badan aktres terbabit dilihat naik mendadak.
Amitabh dalam laman twitter beliau, berkata beliau dibanjiri maklum balas mengenai berita itu daripada pengikutnya dan menerima 2,843 ucapan tahniah di Twitter hanya dalam masa kira-kira setengah jam.

Kehamilan itu disahkan pada awal pagi, tulisnya dalam blog beliau, bigb.bigadda.com awal semalam, sambil menambah: “Ia adalah kegembiraan dan keseronokan kepada kami,” katanya.

Bagaimanapun pelakon itu tidak menyebut bila bayi terbabit bakal dilahirkan.
Sementara itu ,seorang jurucakap Ashwarya dilaporkan mengesahkan berita itu kepada IANS.
“Ya, ia adalah benar,” kata jurucakap terbabit.

Keluarga Bachchan iaitu Amitabh, isterinya, Jaya, Aishwarya dan Abhishek adalah ‘keluarga Bollywood’ pertama dan mempunyai pengikut fanatik di India serta seluruh dunia.

Anak perempuannya, Shweta Nanda memiliki dua cahaya mata.

Amitabh berkata, dia berasa amat gembira dengan berita itu lebih-lebih lagi bayi berkenaan adalah anak pertama Abhishek yang bakal membawa nama ‘Bachchan’, yang pertama dalam generasi ini.

Keluarga berkenaan memboikot Anugerah Majalah Filmfare tahun lalu selepas sebuah akhbar tabloid di Mumbai menulis bahawa Aishwarya tidak boleh mengandung, menyebabkan notis undang-undang dihantar mendesak penarikan semula artikel berkenaan dan permohonan maaf secara terbuka.

Aishwarya yang dinobatkan sebagai ratu cantik dunia pada 1994 membuat kemunculan pertama dalam filem Bollywood pada akhir 1990-an dan sudah membintangi lebih 40 filem sejak itu.

Terbaru, dia membintangi filem hebat Selatan India `Endhiran' di samping bintang filem Tamil, Rajnikanth yang memecahkan rekod kutipan pawagam di India.

Dia juga muncul sebagai pencuri berlian dalam filem Hollywood `Pink Panther 2' yang turut dibintangi Steve Martin. Selain itu, dia membintangi filem bahasa Inggeris seperti `Bride And Prejudice' serta `The Last Legion' pada 2007.

Aishwarya menghadiri Festival Filem Cannes bagi mempromosikan filem terbarunya `Heroine' yang bakal menjalani penggambaran tahun ini.

Ketua Eksekutif UTV Motion Pictures, Ronnie Screwvala berkata Aishwarya kini memiliki aura seorang bintang.

“Dia adalah duta jenama untuk India dan mewakili filem India di French Riviera (Festival Filem Cannes),” katanya.

Dia juga memiliki kontrak peragaan lumayan termasuk dengan syarikat kosmetik terkemuka Perancis, L’Oreal.

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com