Remy Ishak tidak berhubung dengan Maya Karin

Monday, July 26, 2010 by




BUKAN sahaja kerana bakat serta tuah mempopularkan aktor Remy Ishak, bahkan gosip hubungan rapatnya dengan aktres jelita Maya Karin turut menjadi bualan.
Justeru, apabila aktres itu sah bercerai dengan suaminya pada 16 Julai lalu, gosip antara Remy dan Maya kembali hangat.
Bertemu dengan Remy baru-baru ini di lokasi penggambaran filem Nur Kasih di Kampung Gulang Gulang, Tanjung Karang, Selangor, Remy tidak mahu gosip itu dipanjangkan.
Malah, Remy juga menegaskan meskipun Maya telah bercerai hubungannya dengan Maya masih kekal sebagai rakan tidak lebih daripada itu, malah, sejak itu mereka tidak berjumpa atau berhubung melalui telefon kerana terlalu sibuk.
"Saya tidak hubungi atau jumpa dengan dia selepas dia bercerai. Sebelum ini kami rapat sebab terlibat dengan produksi yang sama tetapi sekarang saya sibuk dengan kerja saya dan tidak ada masa nak ambil tahu hal orang lain.
"Kalau tengok jadual saya, sebelum ini tiga bulan saya terperap dalam hutan kerana penggambaran drama Arjuna, sekarang sibuk dengan filem Nur Kasih pula," katanya yang bekerja dengan Maya dalam filem Cun, Anak Halal dan teater Natrah.
Tambah Remy, cukup-cukuplah gosip yang mengaitkan mereka berdua sebelum ini kerana fokusnya kini hanya pada kerjaya sahaja.
"Sudah-sudahlah, saya tidak mahu komen mengenai kes penceraian Maya kerana saya tidak terlibat dalam urusan peribadi dia," akuinya sedih dengan gosip yang mengaitkan dirinya.

REMY ISHAK memohon jasa baik khalayak agar menghentikan spekulasi kurang baik tentang hubungannya dengan Maya Karin. Mereka hanya sahabat dalam industri.


Ditebak lagi, tidakkah Remy menghubungiMaya untuk memberi kata semangat tambahan pula mereka diuruskan oleh syarikat pengurusan yang sama iaitu Satu Entertainment.
"Memang kami tidak berjumpa langsung, walaupun berada di bawah pengurusan yang sama. Saya jarang ke pejabat pengurusan. Kalau berurusan pun melalui pengurus saya sahaja.
"Mengenai beri kata semangat itu, tidaklah. Sebabnya saya tidak lagi berhubung dengan dia. Saya tidak mahu komen panjang-panjang, hanya doa yang terbaik untuknya," tutur jejaka berkulit sawo matang itu lagi.
Jadi rebutan
Jika dibandingkan kejayaan dan populariti yang dimiliki aktor berusia 28 tahun itu dengan aktor seangkatan dengannya, langkah Remy dilihat lebih jauh dan lebih lincah.
Masa yang diambil untuk mengumpul kejayaan juga tidak lama. Tahun ini, genap empat tahun usia penglibatannya dalam industri seni.
Seiring dengan waktu ramai aktor senior dan penerbit meletakkan Remy di tangga teratas dalam senarai pilihan mereka sebagai pelapis baru hero filem dan televisyen tempatan.
Berwajah Melayu klasik, berbadan sasa dan penuh karisma antara ciri yang melayakkan Remy berada di tangga teratas populariti dan kualiti seseorang aktor.
Hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas pujian yang diberi, terpikul di bahunya satu beban yang cukup berat untuk ditanggung.
"Saya tidak tahu nak cakap macam mana kerana itu pilihan mereka bukan saya. Terima kasih banyak-banyak tetapi dalam pujian itu saya masih perlu banyak belajar supaya menjadi lebih baik.
"Rasa terbeban pun ada juga kerana apabila orang meletakkan harapan yang tinggi saya perlu memaksa diri supaya tidak gagal.
"Bagi saya ramai aktor yang lain juga bagus tetapi mungkin sudah rezeki saya sekarang ini, jadi bila peluang sudah diberikan saya harus gunakan sebaik mungkin," ucapnya dalam senyuman.

REMY dan Fizz Fairuz turut terbabit dengan babak menunggang unta sewaktu penggambaran dijalankan di Jordan.


Luah Remy lagi, kerana kehidupan yang sukar sebelum dia bergelar pelakon dan tanggungjawabnya sebagai anak lelaki sulung daripada empat adik-beradik membuatkannya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.
"Sebelum jadi pelakon, saya bekerja sebagai pelayan di hotel. Gaji pun tidak besar mana, jadi apabila rezeki saya ada dalam dunia lakonan, saya ingin kumpul duit sebanyak mungkin untuk menanggung keluarga dan mengumpul aset untuk masa depan.
"Walaupun nak cari duit, saya tetap amalkan ambil satu kerja dalam satu-satu masa supaya tidak kelam-kabut," katanya jujur.
Larut dalam emosi Adam
Watak Adam yang dilakonkan dalam drama bersiri Nur Kasih benar-benar memberi impak yang cukup besar buat Remy dan watak-watak yang lain dalam drama itu seperti Fizz Fairuz sebagai Aidil, Sharifah Sofea (Katrina), Tiz Zaqyah (Nur Amina) dan Ayu Raudah (Alia) apabila ia ditonton sebanyak 4.3 juta penonton setiap minggu.
Kini, ramai yang menantikan filem Nur Kasih yang masih dalam pembikinan dan dijangka masuk pawagam sekitar Mac tahun hadapan.
Bercerita lanjut mengenai watak Adam dalam filem Nur Kasih, perasaan teruja mula dilontarkan Remy dan menyifatkan watak Adam antara watak yang banyak bermain dengan emosi.
"Cabarannya lebih besar dan konfliknya lebih rumit. Bab watak tiada beza kerana filem ini kesinambungan daripada drama, cuma apa yang boleh cakap penonton akan menangis bila menonton.
"Saya sendiri bila baca skrip pun sudah tersentuh, memang hasil tangan penulis skrip Mira Mustafa dan pengarah Kabir Bhatia cukup baik," katanya yang mengunci mulut mengenai jalan cerita dan pengakhiran filem Nur Kasih.
Disoal tentang cabaran, Remy menjelaskan penggambaran filem Nur Kasih selama 10 hari di Jordan benar-benar menguji daya ketahanan dirinya. Meskipun itu kali kedua dia berada di Jordan, bekerja di luar negara cukup berbeza dengan negara sendiri.

KESUDAHAN cinta Nur Amina (Tiz Zaqyah) dengan Adam (Remy Ishak) masih enggan diumumkan.


"Cuaca di sana panas terik tetapi angin sejuk, siangnya lebih lama tetapi bila malam kami menggigil kesejukkan. Ada krew yang sakit teruk sebab tidak biasa dengan cuaca.
"Bab makan pun saya tidak biasa jadi saya hanya banyak makan roti sahaja. Kulit kering dan bertambah gelap walaupun saya pakai losen pelindung matahari yang paling tinggi pelindungannya," katanya dalam tawa.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com