Natasha Hudson Kecewa...

Tuesday, July 27, 2010 by
PETALING JAYA: Pelakon Natasha Hudson (gambar) kecewa dengan syarikat rakamannya, Alibi Music sehingga memaksanya untuk berundur diri daripada menjadi artis di bawah syarikat rakaman itu.
Kata Natasha, Alibi Music gagal mengotakan janji dan dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menerbitkan albumnya seperti yang dijanjikan berbanding ketika mula-mula menandatangani kontrak pada November tahun lalu.
"Keputusan untuk meninggalkan Alibi diputuskan oleh saya kerana sikap tidak profesional mereka yang saya rasakan tidak bersungguh-sungguh dan komited dalam mengotakan janji mereka ketika menawarkan kontrak kepada saya.
"Ketika hendak tawarkan kontrak dulu, mereka beria-ia menjanjikan itu dan ini, tapi sampai ke hari ini, masih tiada sebarang perkembangan pun tentang album ataupun lagu saya," katanya.
Ujarnya lagi, ketika dia mengadakan rundingan dan menyuarakan hasratnya kepada Ketua Unit Muzik Alibi Music, KC Ismail mengenai rasa tidak puas hatinya dengan sikap tidak profesional syarikat itu, KC dilihat sekadar menyambut dingin luahan tersebut.
Malah KC juga seperti tidak hirau untuk melepaskan Natasha dari syarikat rakaman berkenaan.
Disebabkan perkara itu kata Natasha, dia membuat keputusan untuk meninggal syarikat rakaman berkenaan setelah beberapa rundingan menemui kegagalan.
"Saya sudah tinggalkan Alibi hampir dua minggu yang lalu setelah rundingan bersama pihak pengurusan gagal menemui keputusan yang memuaskan hati saya. Malah, ketika saya suarakan rasa tidak puas hati, luahan saya disambut dengan dingin.
"Lebih mengecewakan, mereka tidak kisah pun jika saya benar-benar hendak keluar dari Alibi. Maka, lebih baik saya undur diri saja dan bergerak sendiri dalam memperjuangkan muzik saya selepas ini," katanya lagi.
Tambah Tasha, keputusan untuk meninggalkan syarikat itu bertitik-tolak daripada isu lagu ciplak yang pernah memalit dirinya sebelum ini.
Sejak isu itu timbul, dia melihat Alibi tidak bersungguh-sungguh untuk memulihkan keadaan bagi membela nasibnya di mata masyarakat.
Malah, disebabkan oleh isu itu juga, lagu tersebut terpaksa dikuburkan begitu saja dan perancangan untuk penerbitan lagu baru pula tidak menyaksikan sebarang perkembangan daripada pihak Alibi.
"Saya kecewa dan jauh hati dengan sikap acuh tidak acuh mereka pada aspek pelaksanaan projek lagu pertama saya yang terus senyap selepas kontroversi lagu ciplak itu kecoh sebelum ini," katanya.
Ditanya pula mengenai status rasmi akan pengundurannya daripada syarikat itu, Tasha berkata, sebolehnya dia tidak mahu menghebohkan perkara ini terlebih dahulu kerana bimbang akan impak negatif yang bakal tercetus.
Namun, dek rasa terkilannya dengan sikap dan layanan Alibi Music, dia tegas dengan keputusan yang diambil dan bersedia untuk menjelaskan keadaan yang sebenar jika dirasakan perlu.
"Kalau boleh, saya tidak mahu kecoh-kecoh dulu tentang perkara ini kerana pasti banyak impak negatif yang bakal tercetus nanti.
"Namun, saya sudah 'malas' dan 'letih' untuk terus menunggu perancangan mereka yang tidak ubah seperti 'indah khabar dari rupa'. Mengenai status rasmi kontrak saya bersama Alibi, saya tidak boleh ulas lanjut buat masa ini. Kita kena tunggu dan lihat," jelasnya.-mstar

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com