Kes Penceraian Romie Dan Nur Liyana Ditangguh, Kerana Romie Gagal Dikesan

Saturday, October 18, 2014 by
 
Romie Razin Adilha Abd Jais dan isterinya, Nur Liyana Abdul Manan.
 
 
PERBICARAAN penceraian Nur Liyana Abdul Manan dan suaminya Romie Razin Adilha Abd Jais ditangguhkan kepada 4 Disember depan apabila Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan tarikh untuk pihak plaintif, Nur Liyana Abdul Manan menghantar laporan penyampaian secara ganti.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Syarie Azmi Aziz setelah defendan, Romie, 34, gagal hadir ke mahkamah pada sebutan kali pertama, semalam, memetik laporan Sinar Harian.

Berikutan itu peguam, Siti Nur Aira Mat Joha yang mewakili Nur Liyana, 29 memohon tarikh baru untuk laporan penyampaian secara ganti atau tampalan.

Menurutnya, notis saman itu gagal diserahkan kepada defendan meskipun telah membuat serahan sebanyak tiga kali.

Serahan pertama dibuat pada 27 September lalu, diikuti pada 8 dan 10 Oktober namun Romie tidak berada di lokasi penyerahan.

“Kami telah cuba membuat serahan notis tersebut pada 27 September lalu jam 4.30 petang di rumah ibunya yang terletak di Taman Sri Andalas, Klang. Selain itu pada 8 dan 10 Oktober lalu, notis tersebut turut gagal diserahkan di pejabat defendan yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor,” katanya.

Nur Liyana yang sebelum ini memohon penceraian secara fasakh kemudian menarik balik berikutan Romie ingin bercerai secara baik.

Susulan itu, Nur Liyana memfailkan penceraian secara talak pada 15 September lalu  mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.








Gambar percutian Romie bersama Hanez Suraya yang pernah menimbulkan kontroversi.
 

Rumah tangga Nur Liyana yang juga seorang ahli perniagaan menjadi tumpuan ramai selepas suaminya didakwa menjalinkan hubungan intim dengan pelakon Hanez Suraya.

Sepanjang perkahwinan, mereka berdua telah dikurniakan dua orang cahaya mata.

Hanez Suraya dilaporkan pernah memutuskan hubungannya dengan Romie selepas isu rumah tangga kekasihnya itu hangat diperkatakan kerana tidak mahu dibabitkan lagi namun terdapat laporan mendakwa mereka kemudiannya telah berbaik semula.