Jamal Abdillah Mimpi Arwah Bapa Ketika Tunai Ibadah Haji

Saturday, October 18, 2014 by
Akhirnya impian Raja Pop untuk mengerjakan ibadah haji terlaksana pada usianya mencecah 55 tahun.

   

Datuk Haji Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali berangkat ke Tanah Suci pada 26 September dan selamat kembali ke tanah air, Rabu lalu.

Pastinya terpilih menjadi tetamu Allah SWT adalah pengalaman terindah yang sukar untuk diluah melalui kata-kata bagi umat Islam.

Memetik petikan Harian Metro Jamal berkata, dia sangat bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan ibadat itu.

“Alhamdulillah, saya dianugerahkan kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci. Seperti jemaah lain, saya cuma batuk dan selesema ringan kerana perubahan cuaca di sana,” kata Jamal.

“Saya juga sempat buat ibadah korban dengan menyembelih dua ekor kambing untuk arwah ibu bapa dan diri sendiri. Antara doa saya ketika di sana agar dianugerahkan kesihatan yang baik untuk meneruskan karier seni, berjaya dalam perniagaan, doa untuk anak supaya mereka menjadi insan soleh, berjaya di dunia dan akhirat,” ujar Jamal.

Jamal turut berkongsi pengalaman bermimpi melihat arwah bapanya.

“Saya bermimpi bertemu dengan arwah bapa sebanyak tiga kali.

“Kali pertama sebelum berangkat ke Tanah Suci dan lagi dua kali ketika mengerjakan ibadah haji di sana.

“Dalam mimpi itu, saya lihat arwah bapa tersenyum dengan wajah ceria,” katanya.

Menurut Jamal lagi, dia akan tetap menjadi penyanyi kerana itu adalah sumber rezekinya dan pada masa sama turut berusaha untuk menjadi umat islam yang lebih baik.