Scha dan Awal di samping cinta hati mereka, Lara Alana.
KUALA LUMPUR: Scha Alyahya mengakui rutin hidupnya selepas bergelar ibu berubah 180 darjah.
Kehadiran Lara Alana Ahmad Awaluddin, 2 bulan, ternyata mengubah dirinya ke satu fasa lain yang kian menyeronokkan.
Ia satu pengalaman dan tanggungjawab baru buat isteri kesayangan Awal Ashaari ini. BH Online bertemunya petang tadi di Bangsar. Akui Scha pada fasa permulaan bergelar ibu, perasaan gelabah dan terkejut itu bermain di fikiran.
Kini Scha sedang membiasakan diri mengikut rentak dan momentun kehidupan barunya itu. Kehadiran Lara melengkapkan lagi kebahagiaan Scha dan Awal. Pasangan ini berkahwin pada Mei 2012.
"Lara jenis akan bangun dua jam sekali minum susu. Jam 6.30 pagi dia sudah bangun tidur untuk ajak kita bersembang dan bermain dengannya. Di awal kelahirannya, saya yang banyak menjaganya. Tapi sekarang sudah seimbang kerana suami pun ambil tanggungjawab bersama.
"Pendek kata ketika ini memang keutamaan kepadanya. Tambahan saya belum kembali bekerja. Masa memang banyak dibahagikan kepadanya. Bayangkan saya ambil masa sekitar tiga jam untuk menyiapkan Lara untuk keluar rumah atau ke mana-mana.
"Perlu siapkan bekalan susun serta keperluan bayi lagi. Itu belum kira dalam perjalanan menaiki kereta ke destinasi dituju pasti kena berhenti untuk tukar lampin. Jadi perjalanan ke destinasi itu pasti tertangguh atau lewat dari kebiasaan kerananya," katanya yang masih mengacarakan program Muzik Muzik di TV3 selain menunggu untuk ke lokasi penggambaran sebuah drama tak lama lagi.
Scha memberitahu beliau dan suaminya juga sedang merancang untuk mengeluarkan rangkaian pakaian bayi tidak lama lagi. Sebelum ini pun pasangan suami isteri berjinak-jinak menjual pakaian kasual sendiri.
"Apabila melihat anak, naluri saya dengan suami mula tercetus untuk menghasilkan jenama pakaian bayi pula. Awal sendiri pun memang suka bergaya. Jadi kami terfikir kenapa tak keluar dengan pakaian yang menarik untuk digayakan golongan bayi.
"Kami akan keluarkan idea dengan rekaan sendiri untuk projek ini. Ketika ini perniagaan pakaian saya Schapaholic masih beroperasi seperti biasa di The Curve. Suami saya pun merancang untuk membuka restoran di The Curve juga," katanya.
Oleh Zaidi Mohamad
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com