Belasungkawa Datuk Jamil Sulong: Perginya Pengarah Terunggul

Saturday, September 27, 2014 by


Nama Datuk Jamil Sulong bukanlah asing lagi dalam kalangan peminat dunia perfileman Melayu sejak era filem hitam putih.

Dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat pada 6 Ogos 1926, Jamil atau lebih dikenali dengan pangilan Pak Jamil mula bekerja sebagai penterjemah dan seterusnya memegang jawatan penolong pengarah di syarikat Malay Film Productions pada 1951.

Beliau pernah berlakon dengan Tan Sri P Ramlee pada awal 1950-an menerusi filem Patah Hati (1952) dan Miskin juga pada tahun sama.

Menerusi pengalaman yang ditimba, Pak Jamil akhirnya muncul dengan filem arahan pertamanya, Batu Belah Batu Bertang­kup. Filem lain arahan beliau ialah Bidasari, Si Tanggang, Permintaan Terakhir, Ranjau Sepanjang Jalan dan Jasmin.


JENAZAH Pak Jamil disembahyangkan selepas solat Jumaat.
  
 JENAZAH diusung untuk dibawa pulang ke Janda Baik.


Raja Melewar adalah filem arahannya yang terakhir dan keseluruhannya Pak Jamil pernah mengarahkan hampir 30 filem.


Beliau amat mahir de­ngan gurindam dan sinonim sebagai penulis lirik lagu filem lakonan dan arahan Tan Sri P Ramlee antaranya Hujan Panas (1953), Siapa Salah (1953), Panggilan Pulau (1954), Hang Tuah (1955) dan Semerah Padi (1956).

Bakatnya yang luar biasa dihargai apabila diangkat sebagai penulis tamu (Ahli Cipta) di Universiti Sains Malaysia (USM), Ketua Panel Penilai Skrip di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan menjadi AJK Akademi Filem di FINAS.

Pak Jamil juga pernah menghasilkan buku berjudul Kaca Permata yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka dan Tiada Kata Secantik Bahasa yang diterbitkan FINAS pada 2008.

Beliau berkahwin dengan Datin Rosnani Jamil atau Mak Nani dan dikurniakan tiga anak iaitu Arjunaidi, 58, Anwardi, 55, dan Asnadi, 48, serta mempunyai lapan cucu.

Anwardi mengikut jejaknya apabila aktif dalam bidang pengarahan dan penerbitan manakala cucunya, Diandra aktif dalam bidang nyanyian.

Pak Jamil kini tiada lagi apabila pergi menghadap Ilahi pada usia 88 tahun akibat serangan angin ahmar. Lebih sebulan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.35 malam Khamis di rumah anaknya di Bukit Utama, Damansara, di sisi Mak Nani dan anggota keluarga lain.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid Al Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Pahang untuk disemadikan.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Mustapha Maarof, Datuk DJ Dave, Datuk Maria Menado, Datuk Hattan, Raja Norbaizura, Aziz M Osman dan ramai lagi.

Datuk Mustapha yang ditemui menyifatkan industri kehilangan sebutir permata hebat yang pernah menyinari persada seni sejak sekian lama.

“Saya mula kenal Allahyarham sejak 1953 dan beliau seorang yang lemah lembut, suka ketawa serta tiada sifat marah. Beliau jugalah yang me­ngambil saya berlakon filem Hang Tuah dengan memegang watak Tun Zainal.

Saya sempat melawatnya di PPUM 10 hari lalu, tetapi dia sudah tidak sedarkan diri ketika itu,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga sependapat dengan Mustapha apabila menyifatkan pemergian Pak Jamil suatu kehilangan besar kepada industri filem negara.

“Bakat luar biasa Allahyarham dalam pe­ngarahan filem pada zaman kegemilangannya sukar dicari ganti dan pemergiannya sentiasa dikenang.

“Biarpun ketika itu tidak mempunyai peralatan canggih dalam menerbitkan filem, namun, beliau masih mampu menghasil­kan karya berkualiti dan kebanyakannya masih diingati hingga ke hari ini,” katanya.

Anaknya, Dr Anwardi berkata, Allahyarham nampak gembira apabila berpeluang meraikan hari jadi salah seorang cucunya sebelum dijangka berang­kat ke Janda Baik.

“Bapa ada beritahu nak balik bercuti di rumahnya di Janda baik tetapi hasrat ini dibatalkan apabila beliau terkena serangan strok.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan pada masa sama, arwah dijemput Allah pada malam Jumaat 1 Zulhijah.

“Paling penting, bapa ada melahirkan kegembiraannya kerana anak serta cucunya berjaya dalam hidup,” katanya.

Sementara itu, Mak Nani yang kelihatan sugul meminta maaf kerana masih enggan ditemu bual kerana masih bersedih. Al Fatihah buat Allahyarham.

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com