Hubungan Abby Abadi Dan Suaminya Bermula Sebagai ‘Adik Dan Kakak’
Saturday, July 20, 2013 by Author
Melihat gambar-gambar dirakamkan, Arbaiyah Abdul Manan atau Abby, 35, nampak makin gembira dan berseri-seri sejak diikat sebagai isteri oleh pemuda kacak, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24.
Meskipun enggan mendedahkan lebih lanjut tentang pernikahannya yang dikatakan berlangsung di Thailand, sekurang-kurangnya Abby sudah memberikan tarikh majlis kenduri kahwinnya kelak.
Jika tiada aral, pasangan yang diijabkabul pada 9 Julai lalu ini akan mengadakan majlis resepsi mereka pada 31 Ogos akan datang.
Mengulas detik awal perkenalan dengan suaminya yang berasal dari Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan, Abby menyatakan mereka mula berkenalan di sebuah pasar raya.
Daripada bertukar pandangan, mereka tertarik pada satu sama lain lalu berhubung beberapa kali selepas itu.
Abby dipetik bercerita kepada sebuah akhbar tempatan:
“Ketika itu kami membahasakan diri adik dan kakak. Dalam masa dua minggu berkawan, dia menyuarakan hasrat hati mahu menjadikan saya teman wanitanya, tetapi saya kata dalam Islam mesti ada hubungan yang sah jika tidak, hubungan itu hukumnya haram.
Terus dia melamar saya dan saya kata kepadanya, ‘beraninya awak melamar saya’.”
Bagaimanapun akur bahawa jodohnya dan Farhan sudah tertulis di Loh Mahfuz, Abby akhirnya menerima lamaran pemuda berkenaan semata-mata kerana Allah.
Mungkin, itu solusi terbaik bagi pasangan ini bagi mengelak fitnah dan perkara tidak elok sementelah Farhan difahamkan banyak membantu Abby di butik muslimah miliknya yang terletak di Taman Melawati, Syuhada Kasih Abadi.
Dalam pada itu, Abby dilihat agak sibuk kerana turut turun padang membantu jentera pilihanraya PAS menjelang PRK DUN Kuala Besut, 24 Julai ini.
Antaranya semalam, Abby melelong beberapa pakaian miliknya di Karnival ‘Jom Bersama Che Long’ di Kampung Baharu.
Semua pakaian yang dilelongnya habis dibeli malah sepasang kurung hijau bersulam telah dibida bekas Exco Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Alani Abd Kadir pada harga RM1,010.
Difahamkan, hasil jualan itu akan disumbangkan kepada dana jentera pilihan raya PAS.
Oleh: REM RAMZI
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com