Panas!! Fauzi Nawawi Anggap Rita Rudaini Tidak Matang

Thursday, January 17, 2013 by
Fauzi Nawawi bersama isteri, Lisdawati




Kuala Lumpur: “Sikap dia seperti budak belum matang. Saya sendiri tidak faham apa masalahnya sampaikan tidak mahu saya berada di lokasi penggambaran ketika dia ada,” kata pelakon Fauzi Nawawi mengenai kenyataan Rita Rudaini terhadapnya.

Fauzi bersama isteri, Lisdawati dan Rita terbabit sama dalam penggambaran drama terbaru, Kerana Sarah arahan Murali Abdullah yang kini menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang.

Fauzi berkata, dia bersikap profesional berdepan situasi itu dan menghormati permintaan Rita kepada pihak produksi yang tidak membenarkan dia berada bersama ketika penggambaran dijalankan.

“Saya tiada masalah dengannya dan boleh bekerja dengan sesiapa saja. Lakonan adalah karier saya, jadi apa jua situasi yang berlaku, saya kena menempuhnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, skrip asal menampilkan mereka bertiga dalam drama itu tetapi ia dipinda atas permintaan Rita. Sebagai pelakon dan suami, dia berharap tiada kejadian tidak diingini berlaku antara Rita dengan isterinya.

Lisdawati pula berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk memberikan komitmen pada lakonan dalam drama ini. Malah, penggambaran berjalan lancar membabitkan adegan dia bersama Rita.


Rita Rudaini 


“Kami hanya terus berlakon apabila di lokasi penggambaran. Suatu ketika dulu kami memang rapat seperti belangkas, tetapi sampai sekarang, saya tidak tahu apa punca kami bersengketa,” katanya.

Lisdawati dan Rita pernah mencetuskan kontroversi apabila mereka bergaduh dalam satu adegan di kolam renang ketika bersama membintangi drama Kau Yang Ku Sayang arahan Rashid Sibir, tujuh tahun lalu.

Akibat kejadian itu, Lisdawati membuat laporan polis kerana mendakwa dicederakan Rita ketika penggambaran di sebuah hotel di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Oleh Elrafaei Sapi