'Marimar' Yakin Dingdong Tidak Akan Curang

Sunday, January 20, 2013 by
Watak Marimar lakonan Mari­an Rivera dalam telenovela MariMar yang bergandingan dengan kekasihnya Dingdong telah mendapat sambutan hangat.

 
Wanita cantik ini bukan hanya menjadi idaman lelaki tetapi kejelitaannya turut dicemburui wanita. Apatah lagi bintang MariMar ini, Mari­an Rivera, 29, didampingi pelakon kacak Dingdong Dantes sebagai kekasih.

Berjinak-jinak dengan dunia seni pada 2005, Marian mula dikenali di Filipina menerusi drama Kung Mamahalin Mo Lang Ako manakala di Malaysia pula, lakonannya sebagai Marimar dalam telenovela MariMar berganding dengan Dingdong mendapat sambutan hangat. Watak sama dijayakan aktres Mexico, Thalia dalam MariMar versi Mexico.

Sejak 2006, Marian memenangi 25 anugerah antaranya Pelakon Harapan Terbaik (38th Guillermo Mendoza Memorial Scholarship Award), Pelakon TV Terbaik ( 1st Annual Fil-Am Visionary Awards) dan Pelakon Terbaik (Kzone Awards (Philippines)).

Bukan hanya bergelar pelakon, Marian juga model, penari dan penyanyi. Dia kini sibuk menjalani penggambaran Temptation Of Wife, membawa dua watak berbeza.

Pada awal cerita, Marian membawa watak Angeline Santos, wanita lemah lembut namun berubah karakter apabila mengubah namanya sebagai Chantal. Perubahan watak ini berlaku apabila Angelina mendapati suaminya curang dan perempuan simpanan suaminya adalah rakan baiknya sendiri.

“Saya bukan hanya mengubah cara bercakap tetapi juga gaya berjalan dan berpakaian agar dapat memberi gambaran tepat mengenai personaliti Angeline ataupun Chantal.

“Ketika membawa watak Chantal, karakter saya berubah menjadi seorang yang sangat angkuh dan ego. Saya menggunakan pendekatan berbeza sesuai dengan watak wanita yang ingin membalas dendam,” katanya.

Membawa dua karakter dalam satu drama bukanlah mudah namun Marian akui watak Chantal lebih mencabar kerana membawa watak wanita yang disakiti.

“Walaupun hanya lakonan, perasaan sakit kerana ditipu suami dan rakan baik sangat menyakitkan. Saya harap ia tidak berlaku kepada saya pada masa depan. Saya sebenarnya bernasib baik kerana mempunyai kekasih yang yang sangat setia,” katanya yang bercinta dengan Dingdong sejak berlakon drama MariMar.

Walaupun Marian yakin Dingdong tidak akan curang, dia tetap mempersiapkan emosi dirinya agar dapat menerima keadaan itu dengan tenang sekiranya terjadi.

Dia percaya, apa pun yang berlaku semuanya sudah ditentukan Tuhan dan dia tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan perkara yang terjadi dalam hidupnya.

Mengenai perkahwinan, Marian mengakui dia dan Dingdong sudah berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka. Bagaimanapun dia enggan berkongsi cerita lebih banyak.

“Saya sangat gembira kerana Dingdong akhirnya mengajak saya berkahwin. Tetapi sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hal ini, biarlah keluar dari mulut dia sendiri.

“Saya sangat selesa dengan keluarga dia. Ibunya agak pendiam tetapi dapat melayan kerenah saya yang suka bercakap dan buat bising,” katanya sambil ketawa.

Susunan HELLINIE SINA