Anzalna Akan Berkahwin Tahun Depan

Thursday, January 10, 2013 by
Gambar Anzalna Nasir bersama kekasihnya Hanif Zaki.Anzalna berazam untuk lebih aktif sebagai penyanyi dan pengacara pada tahun ini.
 


 
KISAH usung atau sorok kekasih sudah lali dalam dunia hiburan malah tidak menjadi hal sekiranya perkara sebegitu menjadi ibarat trend sebagai seorang selebriti yang diperhati ramai.

Jika terlalu banyak publisiti pasti akan ada pihak yang melabelkan artis itu tidak tahu malu.

Begitu juga sebaliknya, sekiranya timbul kes sembunyikan kekasih, akan ada yang membuat penilaian artis itu sengaja mahu menyombong.

Hal yang sama terjadi kepada aktres jelita, Anzalna Nasir yang baru-baru ini memutuskan untuk mengurangkan pendedahan media terhadap kekasihnya, Hanif Zaki sehingga menyebabkan timbul rasa kurang senang segelintir pihak.

Kosmo! menghubungi Anzalna yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Rabu lepas untuk mendapatkan kepastian berkenaan perkara itu dan perancangannya masa depannya bersama Hanif.

Kosmo!: Benarkah Anzalna sudah serik mendedahkan teman lelaki kepada umum? Kenapakah?

ANZALNA: Bukan serik tetapi saya mahu kurangkan publisiti yang terlalu banyak mengenai hubungan kami. Adalah lebih baik untuk bertanya dan bercerita mengenai kerjaya saya berbanding hal peribadi. Saya juga kurang selesa apabila setiap kali ditemu bual, pasti soalan teman lelaki akan ditanya.

Sebelum ini, ada beberapa pelakon yang terlalu banyak mendedahkan teman lelaki akhirnya hubungan itu goyah kerana terlalu banyak publisiti. Komen Anzalna tentang perkara itu?

Saya rasa itu tidak menjadi masalah kerana kami sama-sama memahami kerja dan ruang peribadi masing-masing. Apa yang orang sekeliling cakap tidak menjejaskan hubungan kami kerana kami ada pendirian. Lagipun, hubungan kami adalah serius dan kami sudah ada perancangan masa depan.

Apakah perancangan kalian selepas ini?

Perancangan untuk berkahwin sudah ada cuma sekarang tengah kumpul duit terlebih dahulu. Rezeki lebih penting daripada populariti. Kami mahu kekalkan hubungan seperti sekarang dan berdoa tidak akan putus di tengah jalan.

Adakah Anzalna sudah bersedia untuk bergelar isteri?

Memandangkan umur pun sudah meningkat, saya memang bersedia. Cuma mungkin perlu tunggu setahun dua lagi untuk berkahwin dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya terhadap rumah tangga. Saya sasarkan untuk menamatkan zaman solo pada umur saya 26 tahun.

Apakah perkembangan terkini Anzalna?

Saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod Maskara melakonkan watak Hani, seorang wanita lemah lembut tapi tegas. Menariknya, dalam drama ini saya bertudung sepanjang masa. Selepas ini saya akan memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod Bangkitnya Seorang Perempuan untuk slot Samarinda TV3. Saya ada mendapat tawaran untuk mengacara sebuah program bual bicara pagi dan menyanyi di bawah sebuah syarikat rakaman tapi mungkin belum masa yang sesuai untuk menerimanya. Biarlah perlahan-lahan.

Adakah Anzalna enggan dilabel terlalu tamak sekiranya menerima semua tawaran itu?

Salah satunya kerana sebab itu tapi saya mahu memajukan karier lakonan saya dulu sebelum memfokuskan bidang lain. Bagaimanapun, memang azam saya tahun ini untuk mengacara dan menyanyi.

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN