Panas!! Remy Ishak Dan Tiz Zaqyah Sah Putus Cinta

Sunday, September 23, 2012 by
MULA bercinta di lokasi filem Nur Kasih The Movie, Remy mendakwa walaupun telah putus cinta dengan Tiz, mereka masih boleh meneruskan hubungan profesional dalam lakonan. Terbaru, mereka digabungkan sebagai pasangan kekasih dalam drama Cinta Jangan Pergi.

KALI ini putus cinta yang ke-453! Sebaik sahaja petikan usikan yang ditulis sebuah portal hiburan itu diucapkan semula ke telinganya, duta Dashing itu tergelak besar. Dia memberi isyarat tentang cerita yang sudah berbulan tersimpan di dada itu sudah bukan sesuatu yang menyakitkan untuk dikongsi. Sementelah kata Remy, dia tidak sanggup membiarkan imejnya tercalar disebabkan kisah peribadi.

Cerita cinta Remy Ishak dan Tiz Zaqyah muncul lagi. Kali ini, sekali lagi luahan beremosi Remy menerusi laman Twitter miliknya mengundang andaian peminat dan media bahawa dia dan Tiz sudah tidak sehaluan.

Petikan-petikan yang berbunyi 'the relationship was gone a long time ago...' serta 'the best way to end the relationship is to burn the bridge...' yang ditulis Remy beberapa hari lalu semakin menguatkan spekulasi ramai bahawa percintaan mereka sudahpun berkecai.

Akui Remy, tulisan itu sebenarnya satu kenyataan rasmi berhubung status percintaannya dengan Tiz yang sering berdepan persepsi ramai.

"Benar, kami sudah bukan lagi pasangan kekasih. Sudah tiga bulan dan rasanya sekarang saya patut membuat kenyataan agar kehidupan dan pergaulan seharian yang saya dan Tiz lalui tidak mengelirukan dan menimbulkan spekulasi yang lebih besar. Sebagai lelaki, saya ambil tanggungjawab itu untuk berterus-terang, saya tidak mahu memburukkan keadaan," tegas Remy tentang percintaannya yang telah bertemu jalan penamat.

Berputik cinta dari lokasi filem Nur Kasih The Movie, Remy bagaimanapun tidak menafikan dibaluti kesedihan kerana terpaksa melupakan perhubungan yang telah dibina sejak tiga tahun lalu.

"Siapa tak sedih lepas putus cinta, tapi saya kena terima hakikat bahawa kami tidak boleh meneruskan komitmen dan memasuki fasa yang lebih serius. Saya harus melepaskan Tiz, dia masih muda, masih banyak yang mahu diterokainya," ujar Remy sambil memohon semua pihak agar tidak mencari kesalahan mana-mana pihak atas perpisahan mereka.

REMY akhirnya mengakui secara terbuka bahawa hubungannya bersama Tiz tidak mampu diteruskan.

Lama menyembunyikan berita itu daripada pengetahuan umum, kata Remy, dia tidak berniat untuk menipu atau mempermain-mainkan harapan peminat.

"Selama ini saya dan Tiz anggap hubungan kami terlalu peribadi untuk dikongsikan. Saya tak mahu kecoh-kecoh tapi saya kena sedar, bila jadi artis saya tak boleh menidakkan keinginan orang untuk ambil tahu tentang hidup saya. Sudah tiga bulan kami bawa haluan masing-masing, sepanjang tempoh itu juga orang sudah mula pandang negatif apabila saya dan Tiz tidak lagi keluar dan masing-masing keluar bersama teman-teman berbeza.

"Sebelum timbul salah sangka atau cerita yang lebih teruk dan menjatuhkan imej kami berdua, rasanya sudah tiba masanya untuk saya buka mulut," katanya.

Sambil menjelaskan masih boleh berkawan dan perpisahan itu tidak menyekat hubungan profesional mereka sesama artis, sebagai bukti kata Remy: "Kami sama-sama di lokasi drama bersiri Cinta Jangan Pergi arahan Khabir Bhatia. Dalam drama itu saya masih boleh berlakon jadi kekasih Tiz."

Dua kali putus cinta bersama wanita berstatus selebriti, kali pertama bersama pelakon Ummi Nazeera dan kini Tiz, Remy ditanya tentang kesukaran mempertahankan cinta sesama artis yang berlaku ke atas dirinya.

"Kalau ada persefahaman yang kuat, rasanya tidaklah sukar sangat," jelas Remy yang pernah juga digosipkan bercinta dengan Maya Karin selepas berganding dalam teater Natrah dan filem Cun!

Ditebak lagi tentang punca perpisahan sesebuah percintaan yang lazimnya dikaitkan dengan kehadiran orang ketiga, Remy menafikan andaian itu.

"Seperti yang katakan tadi, saya tidak mahu kisah putus cinta antara saya dan Tiz ini dikaitkan dengan sesiapa, tiada siapa yang salah atau siapa betul. Kami putus secara baik. Saya dan Tiz kena terima hakikat bahawa kami tidak sefahaman dan tidak boleh meneruskan komitmen," katanya mahu fokus kepada karier namun tidak serik jika ditakdirkan jatuh cinta lagi.

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com