Jamal Abdillah Akui Tak Pandai Memikat Wanita

Tuesday, August 28, 2012 by
Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah mengakui perasaan malu yang ada dalam hidupnya untuk memikat wanita membuatkan dia masih lagi solo walaupun sudah lebih daripada lima tahun menduda.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata, perasaan itu membuatkan keinginannya untuk memiliki sebuah cinta terhalang dan sering berharap agar wanita yang disukai mengambil langkah memikatnya terlebih dahulu.

"Itulah masalah saya, tak reti nak pikat perempuan. Rasa malu itu lebih tebal daripada keinginan.

"Sebagai manusia normal, saya juga inginkan pasangan untuk menjadi teman hidup sehingga akhir hayat.

"Entahlah susah nak cakap. Saya melayan semua sebagai peminat. Tetapi apabila berkenan dengan seseorang dalam sesebuah majlis dan ingin memulakan perkenalan, saya risau dengan kata-kata negatif orang. Sudahlah saya ini pemalu, nak memikat pun tak reti," selorohnya.

Tambah Jamal, keadaannya yang semakin berusia juga antara penyebab dia semakin segan, tidak seperti di zaman mudanya dahulu.

Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu itu berkata, dia lebih senang berdamping dengan seorang wanita yang berilmu pengetahuan dan sedap mata memandang.

"Kalau boleh saya mahu seorang isteri yang lebih tinggi fizikalnya daripada saya. Mengikut kata orang tua-tua, wanita yang lebih tinggi daripada suaminya mampu membuatkan rumah tangga bertahan dan kekal sehingga ke anak cucu.

"Selain itu dia mestilah seorang yang lemah lembut. Karakter itu mampu meruntun hati terutamanya apabila saya dalam keadaan marah," ujarnya.

Mengenai perkembangan terbaru, Jamal sedang membuat persiapan bagi menjayakan Konsert Gemilang Malaysia bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Ia akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada 29 September 2012 dan 13 Oktober di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tiket yang berharga RM100 hingga RM500 boleh ditempah menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com