Terpukau Dengan Vokal Gemersik Anuar Zain

Thursday, May 03, 2012 by
GOLONGAN wanita menjadi tidak keruan setiap kali berpeluang melihat Anuar Zain membuat persembahan secara langsung.

Setiap kali menjelang musim minggu setiausaha sepanjang bulan April, ramai artis popular akan dijemput mengadakan persembahan secara eksklusif khusus bagi meraikan golongan setiausaha dan ahli korporat.

Pada kebiasaannya, antara artis yang tidak pernah terlepas daripada membuat persembahan bersempena minggu setiausaha pada setiap tahun termasuklah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi.

Tidak lengkap senarai tersebut jika tidak disertakan nama seorang lagi penyanyi hebat tanah air, siapa lagi kalau bukan Anuar Zain.

Dikurniakan vokal yang gemersik, Anuar nyata sering menjadi kegilaan khususnya dalam kalangan wanita setiap kali mengadakan persembahan, sementelah untuk minggu setiausaha yang rata-ratanya dihadiri golongan Hawa.

Figura kelahiran Merlimau, Melaka itu baru-baru ini muncul buat kali kedua membuat persembahan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh menerusi kerjasama Permaisuri Hotels & Resort.

Dalam persembahan selama satu jam tersebut, penghibur berusia 42 tahun itu membuktikan profesionalisme dirinya yang wajar dipuji.

Ini kerana vokalnya sewaktu mengalunkan lagu-lagu sepanjang persembahan itu langsung tiada cacat cela, biarpun Anuar khabarnya kurang sihat sejak beberapa minggu sebelum itu.

Adele


Pada majlis yang dikenali sebagai Sepetang Bersama Anuar Zain itu, Anuar mengenakan sut hitam seperti seorang ahli korporat tetapi versi elegan.

Tepat pukul 10 malam, Anuar memulakan persembahan dengan lagu Kau Bunga Cintaku sekali gus membuatkan tetamu majlis yang terdiri hampir 80 peratus wanita itu terus bersorak kerana dilanda keterujaan yang amat sangat.

 ANUAR ZAIN membuktikan dirinya kekal sebagai penghibur dengan karisma yang hebat.

Sejurus selepas lagu pertamanya tamat, Anuar terus mengalunkan lagu hit, Keabadian Cinta yang turut dinyanyikan bersama-sama para tetamu majlis.

“Baik sama-sama anda sambungkan lirik ini yang berbunyi, bukan ilusi oh...kasih,” ucap Anuar secara berseloroh disambut jeritan tetamu-tetamu wanita penuh kegirangan.

Apa yang istimewa, pada majlis itu Anuar turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi secara acapella khusus buat seorang tetamu, membuatkan dewan MITC dipenuhi dengan sorakan.

Pada kemuncak persembahan, adik penyanyi wanita terkenal Ziana Zain itu mengejutkan tetamu yang hadir apabila dengan penuh emosi mengalunkan lagu popular Adele, Someone Like You.

Sewaktu lagu itu didendangkan, dewan MITC terus bertukar menjadi sunyi sepi seolah-olah semua tetamu dipukau oleh vokal gemersik Anuar.

Rata-rata hadirin secara berbisik mengakui terkedu dengan vokal Anuar. Malah, ada yang mengatakan vokal Anuar kedengaran sama hebat seperti suara Adele.

“Maaf, saya baru hendak belajar menyanyikan lagu Someone Like You atas permintaan peminat pada saat-saat akhir,” ucap Anuar merendah diri.

Sebagai reaksi kepada sambutan hangat para tetamu itu, Anuar lalu turun dari pentas sebelum mengalunkan pula rantaian lagu-lagu popularnya antaranya Sesuci Cintaku, Ketulusan Hati, Terindah dan Bila Resah sebelum menamatkan persembahan dengan penuh emosi menerusi lagu hit, Cinta Harus Memiliki.

Nabil

Selain Anuar, majlis itu turut diserikan dua artis yang bertindak sebagai pengacara majlis iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahirah yang begitu mencuit hati penonton dengan lawak jenaka mereka.

Dalam pada itu, Anuar yang ditemui usai majlis persembahannya itu mengaku dia sangat berpuas hati dengan persembahannya tersebut.

“Saya anggap persembahan pada malam ini sebagai tenang dan santai. Apa yang lebih menimbulkan keterujaan, saya bukan hanya sekadar membuat persembahan tetapi turut pulang ke kampung halaman apabila menjejakkan kaki ke negeri kelahiran saya sendiri ini,” tuturnya.

Tambahnya: “Lagu-lagu yang didendangkan tadi merupakan pilihan saya sendiri dan tidak ketinggalan merupakan pilihan peminat seperti lagu Adele, Someone Like You.

Oleh: NUZULSHAM SHAMSUDDIN