Dira Abu Zahar Tidak Lari Dari Wartawan

Sunday, May 13, 2012 by

SECARA fizikalnya si pengacara dan pelakon itu nampak lasak. Menggemari motosikal berkuasa besar sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia bukan seorang wanita yang penakut kepada cabaran.

Apabila diteliti pada dalamannya pula, Dira Abu Zahar nampak kuat. Banyak kontroversi yang melanda dirinya, tetapi ditelannya bulat-bulat.

Biarpun dihambat cerita-cerita negatif, Dira tetap tegar percaya bahawa pahit manis merupakan asam garam yang harus dilaluinya sejurus bergelar orang popular.

"Biarpun cerita baik dan buruk keluar tentang diri ini, saya tidak takut dan sudah lama bersedia. Saya terima segala perkara (kontroversi) kerana percaya bahawa ia sudah termaktub dalam 'kontrak' setelah bergelar selebriti.

"Apabila cerita kontroversi melanda saya tidak pernah lari daripada wartawan kerana faham akan situasi seperti ini," katanya yang baru-baru ini tampil dengan filem Chow Kit.

Sebelum ini nama Dira masih samar, namun setelah menjadi pengacara rancangan hiburan popular, Melodi, namanya tiba-tiba meletup.

Tidak cukup dengan itu, nama Dira bertambah popular setelah tersebar cerita kes pergaduhannya di pusat hiburan saat setahun bergelar pengacara rancangan itu.

Kini nama Dira sudah dikenali. Kontroversi yang terpalit membuatkan namanya lebih melekat. Sayangnya, dek cerita negatif itu dia direhatkan daripada mengacara rancangan tersebut.

Bahkan, kontroversi itu turut dikaitkan dengan keengganan pihak produksi menyenaraikan Dira untuk mempromosikan filem Chow Kit yang membariskannya sebagai bintang utama.