Zaiton Sameon Bangkit Kembali Selepas Tragedi Hitam
Monday, April 02, 2012 by Author
Suatu ketika dulu, lagu Menaruh Harapan, pernah berjaya mencipta kemenangan di Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1987.
Sejak menjuarai anugerah berprestij ini, nama Zaiton Sameon, 56, semakin dikenali dan menjadi bualan ramai. Mana tidaknya, dengan penampilannya yang sentiasa bergaya dengan gaun-gaun berwarna terang, Zaiton berjaya mencipta fenomena tersendiri.
Namun, tragedi 21 Februari 1990 seakan meragut segalanya dan Zaiton terpaksa akur dengan kehilangan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, yang berusia 13 tahun dalam satu kemalangan.
Bukan hanya terpaksa menerima hakikat ketiadaan anak kesayangan, malah kemalangan itu turut memberi kesan mendalam kepadanya setelah koma beberapa hari.
Kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di Batang Kali, itu mengakibatkan kecederaan teruk di kepalanya sehingga melemahkan daya ingatan. Dari saat itulah, zaman kegemilangannya semakin malap dan terus malap.
Dalam kemalangan itu, van yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah lori ketika perjalanan pulang dari menghadiri persembahan di Kuala Ketil. Kemalangan itu turut mengorbankan pemuzik pengiring Zaiton, Ismail Shaari.
Mengakui, tragedi itu adalah peristiwa yang paling pahit dalam hidupnya, Zaiton masih tidak dapat melupakan insiden itu, walhal ianya telah berlalu lebih 22 tahun.
“Saya tak akan lupakan peristiwa itu sampai bila-bila. Sehingga kini, ia masih segar di ingatan dan saya masih boleh mengingati saat-saat terakhir bersama arwah anak.
“Saya mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat yang saya telah kehilangan putera tersayang. Namun, segala ketentuan telah ditetapkan oleh-Nya.
“Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu berserah dan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Masa yang ada kini, saya gunakan untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Saya banyak membaca buku-buku yang berkisarkan tentang ilmu dan agama jika ada masa terluang,” katanya yang kini menetap bersama anak angkatnya di Ampang.
Bermula dari kelab malam
Mengakui minatnya untuk bergelar penyanyi bercambah di usia kecil lagi, Zaiton menganggap penglibatan dirinya sebagai penyanyi didorong oleh keluarga yang terlibat secara langsung dalam bidang seni tari.
Kata Zaiton, arwah bapanya memang aktif dalam bidang seni tari di negeri kelahirannya, Melaka. Sejak kecil lagi, dia menyaksikan persembahan tarian bapanya di sekitar Melaka.
“Sebab itulah, keluarga saya tidak pernah melarang untuk bergelar penyanyi. Pada awal tahun 70 an, saya menyertai Band Polis Hutan (BPH) untuk mengasah bakat dalam seni suara.
“Lagipun, ketika itu bekas suami saya adalah salah seorang ahli kumpulan tersebut. Sehinggalah pada pertengahan tahun 70 an, saya menerima tawaran untuk menyanyi di kelab malam.
“Ketika menghadiri persembahan nyanyian di hotel terkemuka pada awal 80-an, saya ditawarkan untuk merakamkan album pertama, Menaruh Harapan. Bagaikan orang mengantuk di sorongkan bantal, saya terus menerima dan sejak itulah, saya mula aktif dan dikenali,” katanya yang tidak pernah menyangka dinobatkan sebagai juara AJL 1987.
Katanya, ketika pertandingan AJL ketika itu, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, cukup sekadar berjaya disenaraikan bersama nama-nama besar seperti Fransisca Peter, Datuk Khatijah Ibrahim, Raja Ema dan Allahyarham Sudirman.
“Ketika AJL, ibu bapa saya turut hadir. Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya terus bertepuk tangan. Saya tidak sedar mereka umum nama saya.
“Kemudian, ibu saya memberitahu, “Eton, kau menang!”. Tapi, saya masih ragu-ragu untuk bangun kerana tidak menyangka kemenangan itu milik saya.
“Tidak tahu bagaimana nak ungkapkan perasaan gembira, semua perasaan bercampur. Apa yang pasti, saya berjaya membuktikan kebolehan saya di pentas berprestij itu,” kata Zaiton yang kisahnya diangkat sebagai filem, Ceritaku.
Konsert bukti kemampuan
Ingin membuktikan dirinya masih mampu menyampaikan lagu dengan baik, Zaiton diberi peluang untuk kembali beraksi di pentas menerusi Konsert Amal Kebajikan Zaiton Sameon.
Konsert yang bakal diadakan di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, pada 7 April ini, akan menyaksikan kemunculan semula bintang pujaan ramai ini mendendangkan lagu-lagunya kembali.
Menurut Zaiton yang bakal menyanyikan 10 lagu di konsert itu, setelah bertahun lamanya menunggu saat-saat ini, akhirnya hasrat hatinya tercapai jua.
“Saya akan berikan yang terbaik dalam persembahan itu. Secara tidak langsung, ia membuka peluang untuk membuktikan bahawa saya masih boleh menyanyi dengan baik. Ada segelintir pihak cuba menutup periuk nasi saya dengan mengatakan saya tidak boleh menyanyi lagi.
“Sebelum ini, ramai yang tidak tahu, saya masih aktif dalam bidang nyanyian. Kerana tidak berjaya mendapatkan kepercayaan daripada pihak penganjur, maka saya hanya berpeluang menyanyi di majlis keramaian dan perkahwinan sahaja.
“Walaupun bayaran tidak seberapa, saya harus menerimanya kerana itulah mata pencarian saya. Saya tidak pernah terlintas untuk kembali bersaing dengan penyanyi yang ada, kerana saya tahu, zaman kegemilangan saya sudah lama berlalu,” katanya yang mendapat bantuan daripada Persatuan Karyawan dalam mengadakan konsert ini.
Konsert itu akan diadakan secara percuma dan penonton yang hadir boleh memberi derma ikhlas kepada Zaiton bagi meringankan bebannya selama ini.
Antara lagu-lagu yang bakal didendangkan oleh Zaiton ialah Siti Payung, Perigi Biru, My Way, Black Magic Women, Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar.
Dalam konsert itu, Zaiton tidak keseorangan kerana beberapa artis lain seperti Ali (Terra Rossa), Baggio (Damasutra) dan Farhana Jalil, turut sama menjayakan konsert amal itu.
Selain Pantai Remis, konsert itu berkemungkinan akan diadakan di lokasi seterusnya iaitu, Raub, Pahang, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan dan Tanjung Karang.
OLEH: AKMALIAH RAZAK
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com