Bekas Suami Leina Hangat Tidak Faham Maksud Taklik

Sunday, April 08, 2012 by
 (Gambar Fail) Leina Hangat bersama bekas suaminya,Muhammad Jamal Delaloy Abdullah.


KUALA LUMPUR: Suami ‘hilang’ lebih empat tahun tanpa nafkah zahir dan batin, dipukul serta suami ada wanita lain antara dugaan dihadapi penyanyi dan pelakon, Leina Hangat, 39, ketika berkahwin dengan mualaf warga Perancis, Muhammad Jamal Delaloy Abdullah.

Leina atau nama sebenarnya, Norazlina Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, dia dihalau bekas suaminya yang ketika itu bekerja sebagai chef di Singapura pada 2003 dari hotel yang menjadi kediaman mereka di negara berkenaan dan mendakwa lelaki itu menjalin hubungan sulit dengan wanita warga Vietnam.

“Saya tahu dia menjalin hubungan dengan wanita itu apabila dia memberitahu ketika saya menghubunginya selepas dihalau dari hotel itu. Saya juga dapat bercakap dengan wanita itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Leina yang pernah membintangi filem Awas dan Satay, melangsungkan perkahwinan dengan lelaki itu pada 21 Ogos 2002 dan bercerai pada Ogos 2008.

Leina turut mendakwa bekas suaminya suka keluar malam dan pemabuk. Dia juga kerap dimarahi dan dipukul jika tidak membenarkan bekas suaminya mengambil minuman keras.

Katanya, selepas lelaki itu menghilangkan diri, dia pernah cuba menghubunginya dan menunggu bekas suami mencarinya tetapi gagal.

Leina Hangat kini bahagia dengan perkahwinan keduanya bersama Mohd Zaipul Bahri Ghazali.

Namun, selepas bertemu kembali pada 2007 dan mengemukakan permohonan fasakh, bekas suaminya memperlekeh dan mentertawakan peguam Leina yang menghubunginya ketika itu.

“Dalam kes kami, saya tidak meletakkan 100 peratus kesalahan kepada bekas suami kerana berasa saya turut menjadi penyumbang. Saya akui ketika itu ilmu agama tidak cukup kuat, menyebabkan saya gagal menangani masalah rumah tangga.

“Sepatutnya saya menggalakkannya mendalami agama Islam, sebaliknya saya pula terikut-ikut gaya hidupnya. Dia pula baran dan saya pula melawan, tidak hairan dia kerap ‘naik tangan’,” katanya.

Leina berkata, bekas suaminya tidak faham tuntutan agama Islam dan memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengannya.

“Ketika bernikah, dia hanya membaca taklik tetapi tidak memahaminya langsung,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perkahw inan, dia juga tidak pernah bertemu keluarga bekas suaminya.

Leina kini bahagia dengan perkahwinan keduanya bersama Mohd Zaipul Bahri Ghazali, 40, pada 2009.

“Saya lebih banyak belajar dalam perkahwinan kedua. Saya perlu menjaga hati suami dan buang sikap negatif seperti sikap dulu seperti suka menjawab apabila bertengkar dengan suami,” katanya.

Kredit: Sumber