Siapakah Pemenang Sebenar Anugerah Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 2011 ??
Wednesday, November 23, 2011 by Author
Dengarnya... Trofi Yuna akan ditarik balik?
NAMPAKNYA, bulan ini memang bulan kontroversi. Yalah, kalau ada saja acara anugerah, pastinya ada kontroversi menyusul. Ibaratnya, anugerah dan kontroversi itu sungguh sinonim sekali, bagai isi dengan kuku.
Belum habis orang ramai bercerita mengenai kemenangan tiba-tiba lagu Penakut ciptaan dan dendangan Yuna pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 yang dijulang sebagai Lagu Terbaik, timbul pula ketidakpuasan hati sesetengah pihak apabila nama Jurey Latiff Rosli diangkat sebagai Pengarah Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 yang baru berlalu.
Kononnya, mereka mempertikaikan bagaimana pula Jurey yang juga Presiden GAFIM, boleh bertanding dalam anugerah yang mereka anjurkan sendiri? Sedangkan, kalau kuiz sekalipun, syarikat penganjur, kakitangan dan keluarga mereka pun tak boleh ikut serta sekali. Inikan pula acara besar seperti FFM. Entahlah, Cik Normah pun sudah jadi pening mengikuti cerita dalam industri seni kita ini. Tidak habis cerita Jurey, tiba-tiba telinga Cik Normah dihembuskan dengan khabar yang mengatakan, kontroversi membabit lagu Yuna itu belum berakhir. Trofi dimenangi penyanyi bertudung pada AIM lalu itu khabarnya akan ditarik balik. Trofi berkenaan, dengar ceritanya, akan diserahkan kepada pencipta serta penyanyi lagu Sedetik Lebih, Edry Abdul Halim dan Anuar Zain.
Khabar itu juga ada menyatakan, kononnya ada kesilapan pada perkiraan sehingga lagu Penakut diumumkan lagu terbaik keseluruhan AIM18, sedangkan ia tidak pun memenangi lagu terbaik kategori yang ditandingi. Selalunya, Lagu Terbaik akan dipilih daripada pemenang kategori Lagu Pop, Rock, Nasyid mahupun Etnik Terbaik.
Jika diikutkan, Lagu Terbaik AIM18 sepatutnya menjadi rebutan antara Sedetik Lebih yang memenangi Lagu Pop Terbaik, Pelita (Rock), Pedoman (Nasyid) dan Joget Tak Senang Hati (Etnik).
Apatah lagi lagu Penakut sebenarnya sudah pun tewas kepada Sedetik Lebih dalam kategori Pop, yang turut ditandingi Beribu Sesalan nyanyian Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, Sungai Lui (Aizat) dan Dengarkanlah (Datuk Sheila Majid).
Cik Normah pun terfikir juga, apakah anugerah itu tidak diserahkan kepada pencipta dan penyanyi Sedetik Lebih pada malam berkenaan kerana ada pihak yang enggan mencetuskan kontroversi, seperti yang berlaku kepada Jurey? Maklumlah, pencipta lagu itu ialah Edry, adik kepada Norman. Sedangkan, Norman ialah Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), pihak yang bertanggungjawab dalam penganjuran AIM18.
Mungkin juga niat murni terbabit akhirnya memakan diri sendiri, apabila topik kemenangan lagu Penakut semakin hangat diperkatakan peminat, terutama di internet?
Tidak mengapalah, mungkin sehari dua ini, akan ada kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan pihak penganjur. Kita sama-sama tunggu dan lihat nanti. Bagi Cik Normah, ia pengajaran terbaik buat semua pihak supaya jika ada kesilapan di mana-mana pun, perkara sama tidak berulang pada masa depan. Dalam hal ini, Yuna yang sememangnya nampak terkejut ketika diumumkan pemenang pada malam itu memang tidak bersalah apa-apa pun. Dia sebenarnya mangsa kepada keadaan, jika betul trofinya itu akan ditarik balik.
Oleh Normah Becok
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com