Datuk Sharifah Aini Mahu Buka Sekolah Agama Tahfiz Al-Quran

Wednesday, November 16, 2011 by


KUALA LUMPUR – Biduanita Datuk Sharifah Aini menyatakan impiannya mahu menubuhkan sebuah sekolah agama tahfiz al-Quran bagi menampung kemasukan pelajar dalam bidang itu sebagai salah satu kerja kebajikannya pada masa depan.
Menurut Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, sudah sampailah masanya dia berkecimpung dalam kerja-kerja amal yang boleh membawa bekalan pahala di akhirat selepas hampir 42 tahun terbabit dalam bidang seni suara tanah air.
“Saya melakukan kerja-kerja amal bukan baru tetapi sejak dulu lagi di mana setakat ini saya telah melakukan hampir 3,000 kerja-kerja amal terutamanya dengan mengadakan persembahan. Cuma sejak kebelakangan ini kerja-kerja amal saya lebih kepada membantu anak-anak yatim.


 
“Selain itu, saya juga aktif membantu membiayai perjalanan sekolah-sekolah agama Islam terutamanya sekolah tahfiz al-Quran. Terbaru kerja amal yang akan saya jalankan ialah majlis Makan Malam Tiga Sahabat yang akan diadakan pada 17 Disember ini,” katanya.
Pada sidang akhbar di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor semalam jelas Kak Pah, majlis makan malam amal yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini itu bertujuan mengutip sumbangan buat Madrasah Tahfiz Tahsin, Puchong dan Rumah Baitul Ehsan, Cheras.
Penyanyi berusia 57 tahun ini berkata, pada majlis makan amal yang mengenakan bayaran daripada jualan meja berharga dari RM3,500 hingga RM10,000 untuk sebuah meja dengan 10 orang itu, ia akan dijayakan oleh dua penyanyi dari Indonesia iaitu Grace Simon dan Dewi Yul.
“Selain daripada dua penyanyi terkenal itu, saya juga akan mengadakan persembahan pada malam itu. Kami bertiga antaranya akan berduet dalam sebuah lagu lama bertajuk Sepanjang Jalan Kenangan pada persembahan selama dua jam 45 minit itu nanti.
“Para tetamu yang hadir berpeluang memenangi cabutan bertuah antaranya dua tiket penerbangan ke mana-mana destinasi ke Eropah tajaan Oman Air. Sebarang pertanyaan berhubung tempahan meja ke majlis itu sila hubungi talian 019-2495277,” ujarnya lagi.

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com