KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Rozita Che Wan dipilih sebagai pengacara Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, pemilihan Rozita adalah bagi memberikan kelainan kepada penganjuran kali ini.
"Pemilihan Rozita adalah unik dan akan memberikan kelainan pada malam itu nanti. Walaupun tidak mempunyai pengalaman sebagai pengacara, pihak kami yakin dia mampu melakukannya," ujarnya pada sidang media ASK2011 di sini, Rabu.
Ahmad Izham berkata, Rozita akan digandingkan dengan pengacara berpengalaman iaitu Ally Iskandar pada majlis tersebut.
Rozita akan digandingkan dengan pengacara berpengalaman iaitu Ally Iskandar
Beliau yakin gandingan itu akan memberi kelainan dan percaya Ally dapat menjadi mentor kepada Rozita sebagai persediaan.
Ahmad Izham berkata, acara karpet merah pula akan dikendalikan oleh Nabila Huda, Adzriefaiz Adzlan dan hos Bintang Pantene.
Sementara itu, Rozita yang ditemui berkata pada mulanya dia terkejut dengan pemilihan itu namun memandang positif dengan amanah yang diberikan.
Ujarnya, tugas itu adalah peluang besar untuknya dalam mengembangkan kerjaya seninya ke tahap lain.
"Sudah tentu saya takut dan fikir banyak kali sebelum menerima tawaran itu. Namun atas dorongan dan keyakinan pihak produksi serta Ally saya menyahut cabaran tersebut," katanya.
Manakala Ally pula berkata, dia akan mempersiapkan diri untuk acara gilang gemilang itu dan akan memastikan keserasian mereka berdua.
"Sebelum ini saya banyak mengacarakan program berbentuk hiburan dan ini kali pertama untuk ASK2011.
"Persediaan tetap perlu dilakukan kerana ia sebuah majlis anugerah dan latihan bersama Rozita akan diteruskan bagi mencari keserasian antara kami supaya tidak kekok nanti," ujarnya.
Sementara itu secara keseluruhan, ASK2011 akan mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman selain dua anugerah khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene selaku penaja utama.
Sepuluh kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.
ASK2011 ini akan mempertandingkan 17 buah drama, 10 drama rantaian dan tujuh drama komedi. Manakala kategori filem pula melibatkan 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan.
Menurut Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar calon-calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011.
"Drama terpilih juga berdasarkan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielson Media Research berdasarkan genre masing-masing," katanya.
Penghakiman juga adalah telus dan juri yang dilantik tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam drama atau filem.
Bercakap mengenai konsep ASK2011 tahun ini, Nurul Aini memberitahu tema 'Golden Glamour' dipilih pada malam tersebut.
"Konsep itu dipilih bagi merujuk kepada sentuhan magis para karyawan dan produksi yang menghasilkan karya hebat selain melahirkan bintang baru yang bersinar," katanya.
Malah katanya, persembahan pada malam itu juga akan menampilkan muka baru bagi memberi kelainan pada penganjuran tahun ini.
Antara artis yang akan menjayakan persembahan pada malam itu adalah Black, Ferhad, Najwa Latiff, Tomok, Shila Amzah dan Jaclyn Victor.
Persembahan daripada dramatis popular seperti Kilafairy, Nur Fathia, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay dijangka menarik perhatian penonton.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com