Pasangan Artis Hangat Bercinta Menyambut Aidilfitri Bersama


Selain beraya bersama keluarga, hari yang mulia ini pastinya diraikan bersama insan tersayang. Begitulah dengan empat pasangan artis popular ini. Bakal menyambut raya bersama, Aidilfitri menjadi momen yang indah.

Fizz Dan Almy beraya di kampung masing-masing

Sama seperti pasangan kekasih lain, Fizz Fairuz dan Almy Nadia nampaknya 'punya mood' yang hampir sama apabila mereka lebih memilih untuk meraikan hari bahagia bersama keluarga tersayang.

Menurut Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 32, dia dan buah hatinya itu akan akan beraya di kampung halaman masing-masing, sepertimana tahun-tahun sudah.

Katanya, sementara masih berstatus bujang, inilah masanya untuk mereka menghabiskan masa dan mengalami pengalaman berhari raya bersama keluarga dan saudara mara.

“Fizz beraya di kampung di Raub, Pahang selama satu minggu pada tahun ini. Puas rasanya dapat berehat dalam tempoh seminggu walaupun tak panjang.

“Dapat jugalah berjumpa dengan saudara mara yang mana kebanyakannya hanya dapat berjumpa ketika ini saja.

“Malah, saya rasa teruja melihat ada pertambahan ahli keluarga, ada juga yang sudah berumah tangga dan yang lama tidak jumpa itu berbeza pula wajahnya apabila sudah dewasa,” ujar Fizz sambil ketawa kecil.

Cerita Fizz, saat paling menarik setiap kali berhari raya di kampungnya adalah apabila dapat berkumpul dengan saudara mara yang mana kebanyakannya berjumpa setiap kali Syawal saja.

Fizz berkata, setakat ini, dia belum bercadang untuk berkunjung ke kampung Almy di Pulau Pinang kerana harus kembali bekerja selepas raya.

Sementara Almy, memberitahu, dia amat memahami karier Fizz. Seperti tahun sudah, dia dan Fizz hanya akan berpeluang beraya bersama pada minggu kedua raya.

Katanya, kesibukan dengan jadual karier turut membataskan masa untuk bertemu, namun ia bukanlah menjadi masalah besar terhadap hubungan mereka.

“Bagi saya, lebih baik begini sebab tidak mengganggu kehidupan masing-masing. Lagipun, pegangan saya dan Fizz sama iaitu kami tidak akan punya banyak masa untuk diluangkan seperti pasangan bercinta yang lain.

“Sebab itu kami sedar bahawa masing-masing punya tanggungjawab terhadap keluarga dan masa terluang kami lebih bermakna jika dapat dihabiskan bersama mereka.

“Malah, jujur saya katakan saya berasa lebih gembira pada hari raya tahun ini kerana tidak perlu memikirkan masalah kami yang menimpa sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Pemilik nama sebenar Almy Nadia Shaiful Khairil, 25, ini menyifatkan bahawa selagi tiada ikatan antara mereka, selagi itulah mereka tidak mahu terlalu menceritakan hal mereka. Malah, sempat juga Almy berkongsi cerita keindahan beraya di kampungnya.

“Pagi raya meriah dengan telatah adik beradik apabila kami sibuk bercerita tentang aktiviti beraya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

“Jika dulu, kami dan sepupu antara insan yang paling seronok ketika itu. Mana tidaknya, belum pun pergi sembahyang raya sudah rancang mahu pergi buat ‘collection’ duit raya,” kata Almy yang sangat merindui saat-saat itu.



Kamal, Intan sambut raya berjauhan

Menarik apabila mendengar cerita hari raya pasangan pelakon Kamal Adli dan Intan Ladyana.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 25, berkata, tahun ini giliran keluarganya beraya di kampung bapanya di Jitra, Kedah.

Katanya, paling seronok pagi raya apabila dia sekeluarga berjalan kaki ke masjid yang terletak tidak jauh dari rumah kampungnya.

“Selepas selesai sembahyang raya, kami menziarahi kubur datuk dan nenek yang dikebumikan di tanah perkuburan di kampung ini.

“Bagi saya, pengalaman beraya di kampung ibu dan ayah memang berbeza kerana di Jitra, kami semua membakar lemang walaupun pada hari raya pertama. Percaya atau tidak, saya berjaya membakar beberapa batang lemang dengan baik.

“Tahun lalu beraya di kampung ibu di Pekan, Pahang. Suasana di sana ada meriahnya juga walaupun tidak seperti di Jitra apabila setiap malam hari raya rumah akan riuh rendah dengan bualan saudara mara,” katanya kepada Zass.

Kamal berkata, sehingga hari raya ketiga, sempatlah dia menghabiskan biskut raya kegemaran yang wajib ada di kampungnya itu seperti biskut semprit, tart nenas dan cornflakes madu.

Asyik bercerita perihal Kamal, apa pula cerita hari raya Intan Ladyana apabila sambutan oleh pelakon manja ini berbeza dengan kekasihnya itu.

Ketika dihubungi, Intan berkata, seperti kebiasaan dia dan keluarga berhari raya di kampung halaman di Bangkok, Thailand.

Menurutnya, kebanyakan saudara maranya tinggal dan menetap di sana. Oleh sebab itu, setiap kali Syawal hampir menjelang, hatinya sudah berada di negara tersebut.

Yang menariknya, Intan Ladyana atau Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 29, berkata, suasana sambutan hari raya di sana tidak seperti di Malaysia.

“Di sini (Bangkok) kami tidak memasak juadah hari raya. Sambutan juga tidak semeriah di Malaysia kerana selepas sembahyang raya, kami akan bersarapan pagi dengan menu kebiasaan di sini seperti roti.

“Budaya di sini memang begini kerana masyarakat beragama Islam hanyalah sebilangan kecil sahaja. Tetapi kami masih ada amalan berkunjung-kunjungan,” katanya.

Walaupun tiada suasana hari raya seperti di Malaysia yang meriah apabila kanak-kanak bermain bunga api dan hidangan pelbagai juadah, tetapi beraya di Bangkok katanya masih ada keistimewaannya.

“Semasa berkumpul dengan saudara mara pada hari raya pertama, masing-masing akan membawa hadiah untuk ditukar antara satu sama lain. Ia sudah menjadi tradisi keluarga kami di sini.

“Malah, jika di Malaysia umat Islam menikmati juadah hari raya dengan ketupat dan rendang, kami di sini istimewa dengan masakan berunsurkan sup seperti mihun sup dan 'pat tai',” katanya.

Sementara itu, kedua-dua pasangan pelakon ini katanya, akan beraya bersama dan saling bermaaf-maafan apabila sudah pulang dari kampung halaman masing-masing.

Jika Kamal pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga, Intan pula akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari raya keempat sebelum mengatur pertemuan untuk sama-sama berkunjung ke rumah rakan-rakan.



Farid tunggu Diana

Raya tahun ini mungkin amat bermakna bagi pelakon dan pengarah berbakat besar, Farid Kamil, apabila dapat meraikan peminat serta rakan-rakan seperjuangan yang banyak memberi sokongan dalam majlis rumah terbuka.

Menurutnya, memandangkan dia dan keluarga menyambut Aidilfitri di Jitra, Kedah, majlis tersebut diadakan di sana pada raya ketiga.

Oleh itu Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 30, berkata, dia pastinya sibuk melayan tetamu yang hadir pada majlis khas yang diadakan bagi meraikan kejayaan dan berkongsi bonus yang diterima filem kedua arahannya iaitu Kongsi.

“Alhamdulillah, ada rezeki lebih pada tahun ini. Jadi, dapatlah berkongsi dengan peminat dan rakan-rakan dengan mengadakan majlis rumah terbuka ini.

“Saya seronok lihat ramai tetamu hadir meraikan majlis yang diadakan ini. Malah, juadah wajib hari raya yang disediakan seperti ketupat, rendang, lemang dan beberapa lagi cepat saja habis,” katanya yang menerima bonus RM50,000 daripada David Teo.

Ketika ditanya tentang buah hatinya, Diana Danielle, Farid berkata, dia sudah menjemput buah hatinya ke rumah terbukanya itu, namun masih belum pasti sama ada, Diana akan hadir atau tidak memandangkan jarak kampung mereka terlalu jauh.

Sementara Diana, yang beraya di Kuala Lumpur pada tahun ini, berkata, dia tidak kesempatan untuk memenuhi jemputan Farid, kerana cuti rayanya terlalu pendek.

Menurutnya, dia cuma dapat berehat lebih kurang seminggu dalam bulan ini kerana terlibat dengan penggambaran telemovie berjudul Selepas 21 Hari arahan Jinggo.

“Jadi, waktu untuk saya beraya juga sangat terhad dan nampaknya seperti tidak sempat berjumpa Farid di rumah terbukanya. Malah, selepas beraya di Kuala Lumpur, saya beraya pula di kampung, di Taiping, Perak,” katanya kepada Zass.

Bercerita mengenai juadah yang digemari pula, Diana berkata, semua yang dihidangkan ibu serta saudaranya di kampung enak.

Istimewanya, katanya, rakan dan jiran yang tidak pulang ke kampung akan datang mengunjungi mereka sekeluarga di pagi raya di Kuala Lumpur.

“Apa pun beraya di kampung bersama sanak saudara lebih istimewa kerana suasana raya lebih dirasai. Malah, banyak memori bersama arwah datuk dan nenek.

“Sebab itu kalau dapat balik sekejap sudah memadai untuk ubat kerinduan,” kata Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20,
Kredit: Sumber


0 comments:

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com

Blogger Template by Clairvo