KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein berharap cerita negatif tentang dirinya sebelum ini mampu ditutup selepas melangsungkan majlis pertunangan di Bukit Kiara Equestrian Resort, di sini, Ahad.
Sebelum ini, Elly pernah didakwa bercinta dengan VIP bergelar Datuk dan tidak kurang juga mengatakan dia sudah berkahwin dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sebelah utara.
Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Bakawali ini turut digembar-gemburkan bercinta dengan seorang pengarah yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.
Namun begitu, Elly enggan mengimbas kembali setiap persoalan yang pernah dikaitkan dengannya sebaliknya tidak mampu menahan sebak apabila menganggap segala-galanya sudah terjawab kini.
“Saya tak mahu komen tentang cerita yang mengatakan saya mengambil suami orang kerana hari ini merupakan hari bahagia saya.
“Saya tidak sabar untuk bergelar isteri pada Februari tahun depan memandangkan usia saya sudah mencecah 30 tahun. Saya juga sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri dan ibu,” katanya yang telah bertunang dengan duda beranak dua, pengarah Azmi Hata.
Menurut Elly, mereka berkenalan sejak 2009 dalam satu pertemuan yang tidak dirancang melalui rakan. Seterusnya selang lima bulan selepas itu, mereka mula serius bercinta sebelum Azmi melamar Elly pada Februari lalu.
“Saya tak kisah dengan status Azmi. Bagaimanapun, saya mengharapkan yang terbaik daripadanya hingga dia menunaikan janjinya untuk memperisterikan saya.
“Salah satu faktor yang membuatkan saya jatuh cinta dengannya adalah ciri-ciri kebapaan yang ada pada Azmi apabila melihat dia pandai mengambil hati anak saudara saya.
“Selain itu, dia merupakan seorang yang sangat baik hati, menghormati orang lain, matang, pandai mengambil hati saya serta ibu dan bapa saya dan romantik kerana selalu membuat kejutan kepada saya,” ujarnya di samping Azmi.
Dalam pada itu, Azmi memilih Elly untuk menjadi suri hatinya apabila merasakan wanita itu mempunyai banyak keserasian dengannya.
“Apabila bersama dengannya, saya rasa diri saya sangat istimewa. Saya tahu ramai lelaki yang sukakan Elly tetapi saya rasa bertuah apabila tercalon untuk menjadi teman hidupnya.
“Dia juga seorang yang lemah-lembut, cantik, manja dan memahami karier saya. Saya juga bersyukur kerana dia dapat menerima anak-anak saya dan mempunyai keperibadian seorang ibu. Malah anak-anak saya memanggilnya mama,” katanya.
Ellie bersama Bonda
Azmi bercerai beberapa tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak iaitu Azim, 10 dan Aqif, 9.
Elly turut pernah berlakon di bawah beberapa drama arahan Azmi seperti Hantu Gigi, Relakan Cinta dan Kasih Berbunga Lalang.
Dalam perkembangan lain, Elly yang hanya sempat mengambil cuti singkat dua hari untuk majlis pertunangannya akan memasuki penggambaran drama Secangkir Cinta Semanis Madu dan menunggu single terbarunya, Please Forgive Me diputarkan di radio.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com