Pelakon Izreen Azminda Dapat Hak Penjagaan Anak

Sunday, October 05, 2014 by
 
Izreen Azminda dan anaknya, Muhammad Umar Adrian.



KUALA LUMPUR: Hari ini umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha dan sambutan raya ini cukup sinonim dengan tema pengorbanan dalam pelbagai aspek kehidupan kita.

Bagi pelakon, Izreen Azminda selepas bergelar ibu tunggal kepada anak lelaki bernama Muhammad Umar Adrian yang berusia setahun tiga bulan sejak 9 Jun lalu, beliau banyak berkorban kepada cinta hatinya yang satu itu.

Malah lebih menggembirakan ibu tunggal ini apabila hak penjagaan anaknya itu jatuh sepenuhnya kepada Izreen sebagai ibu seperti diputuskan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Selasa lalu.

Bagaimanapun Izreen tetap mengizinkan bekas suaminya berjumpa dengan anak mereka walaupun mereka tidak lagi hidup sebumbung.

"Saya tak kejam kepada pihak sebelah sana (bekas suami). Ada masa, dia boleh jumpa Umar. Cuma tiada spesifik hari tertentu untuk dia bertemu Umar. Saya pun faham jadual kerjanya sebagai jurugambar produksi yang tak tentu masa.



Gambar Izreen Azminda bersama bekas suaminya, Muhammad Riza Baharuddin.


"Dia boleh jumpa Umar, tapi saya tak benarkan dia bawa Umar bermalam di rumahnya. Kalau nak jumpa anak dengan pengawasan saya sendiri atau wakil yang saya percaya.

"Saya masih sedar Umar perlukan bapanya cuma di atas dokumen secara bertulis hak itu jatuh kepada saya sepenuhnya," katanya.

Bercakap mengenai pengorbanan dirinya, Izreen mengakui apa yang dilakukan adalah untuk masa depan anak tersayang.

Pada awal melalui fasa perceraian, Izreen mengakui bergelut dengan banyak perkara kerana beliau menjadi ibu dan bapa pada satu masa.

"Sekarang saya semakin biasa melakukan kedua tanggung jawab sebagai ibu dan bapa kepada Umar. Apabila hidup 'single' balik ini memang banyak benda kena uruskan sendiri. Saya kini cuba melaluinya dengan tenang.



Izreen Azminda dikatakan sedang  hangat bercinta dengan pelakon Amar Baharin.




"Saya tak mahu terlalu kusut dan menganggap semua ini bebanan. Apatah lagi ada saja pandangan negatif yang mula bertebaran apabila saya bergelar janda.

"Untuk tidak terlalu larut dengan semua sisi negatif ini, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Saya hidup macam biasa... seadanya," katanya.

Izreen dan bekas suaminya, Muhammad Riza Baharuddin berkahwin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah.

Izreen melahirkan Umar pada 13 Julai 2013. Pasangan itu sah bercerai pada 9 Jun lalu selepas Riza memfailkan tuntutan cerai pada 14 Mei.


Oleh Zaidi Mohamad


0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com