Alyah Masih Dalam Proses 'Hijrah' Selepas Berhijab

Tuesday, July 15, 2014 by
ALYAH tidak pernah melabelkan dirinya sebagai individu yang sudah berhijab sepenuhnya.


BERHIJRAH menuju kebaikan merupakan suatu fasa yang bukan mudah untuk diselusuri. Lebih-lebih lagi apabila karier yang ditunjangi berkait rapat dengan dunia hiburan.

Begitupun, perjalanan yang diatur dalam tempoh memperkemaskan jati diri tidaklah selancar seperti yang difikirkan. Dugaan dan cabaran yang datang berbisik perlu ditepis sebaiknya agar tiada cakap-cakap belakang yang timbul di kemu- dian hari.

Itulah yang sering terlintas di benak fikiran pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan ini.

Lebih dikenali dengan nama pentas Alyah, penyanyi berusia 33 tahun ini ternyata lebih berhati-hati dalam menjaga tingkahnya sejak dia berhijrah kira-kira setahun yang lalu.

"Hijrah itu terlalu besar maknanya. Walaupun saya telah mengenakan hijab tahun lalu, saya masih dalam proses untuk menjadi yang lebih baik.

"Saya tidak melabel diri sebagai seorang individu yang telah berhijrah sepenuhnya kerana saya masih dalam industri. Cuma, saya hanya perlu menjaga tata susila sebagai seorang wanita Muslimah," luahnya sambil tersenyum.

Kelihatan anggun mengenakan busana rona kombinasi hitam dan emas, Alyah yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Sony Music Malaysia di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur baru-baru ini turut mengakui, sebagai seorang yang dikenali, dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

"Pada awal fasa mengenakan hijab, saya fikirkan bahawa ia merupakan suatu proses yang mudah. Namun tidak dinafikan, dugaan yang saya terima juga semakin menebal.

"Sebagai seorang selebriti, apa sahaja yang saya lakukan pasti menjadi bualan. Baik atau buruk, kita tetap akan dikritik. Sejujurnya, saya tidak boleh memuaskan kehendak semua orang," luahnya.

Fenomena berhijab


Sejak kebelakangan ini, ramai antara selebriti yang mengambil keputusan untuk berhijrah dengan mengenakan hijab dan menutup aurat.

Lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan, beberapa orang selebriti turut mengambil keputusan untuk memakai tudung.

Menyentuh mengenai perkembangan tersebut, pelantun lagu Kisah Hati ini enggan meletakkan dirinya sebagai hakim bagi mengulas mengenai trend berkenaan.

Tuturnya, dia juga pernah berada ditempat mereka sebelum ini. Sebagai individu yang baru bertukar imej, dia lebih gemar untuk memperbaiki serta bermuhasabah diri.

"Jika mahu diikutkan, bidang seni bukanlah tempat yang sesuai untuk seseorang yang sedang berhijab untuk meneruskan karier.

"Justeru, seperti yang dikatakan tadi, saya masih menyanyi dan merakamkan lagu. Saya tidak berani untuk menyuarakan pendapat mengenai fenomena berhijab yang melanda industri kini," ujarnya.

Tambah Alyah, dia mengambil langkah berdiam diri kerana dia juga pernah melalui fasa tersebut suatu ketika dahulu.

"Suatu ketika dahulu, saya juga tidak berhijab. Justeru, tidak molek rasanya saya memberikan pandangan terhadap keputusan artis lain untuk berubah dan menutup aurat," tuturnya sambil tersenyum.

Sesal Separuh Nyawa

Apabila bercakap tentang perkembangan kariernya, perkara pertama yang dibayangkan adalah kesungguhan anak jati negeri Johor ini menempa nama sebagai seorang penyanyi.

Selepas lagu Kisah Hati dan beberapa buah single lain, Alyah kini muncul pula dengan sebuah lagu baharu berjudul Sesal Separuh Nyawa.

Lagu berentak balada ini mendapat sentuhan Alfie Tiga dan Aidil serta liriknya ditulis oleh Shah Shamsiri dan Alyah sendiri.

Menyambung legasi klip video Kisah Hati yang pernah menjadi bualan peminat beberapa tahun lalu, Alyah sekali lagi memberi tanggungjawab mengarahkan klip video bagi lagu baharunya itu kepada pengarah terkemuka Ghaz Abu Bakar.

Menariknya, jalan cerita yang ditampilkan dalam klip tersebut begitu meninggalkan kesan di hati penonton. Ditanya adakah jalan cerita itu ada kena mengena dengan pengalaman hidupnya, Alyah menegaskan, ia hanyalah rekaan semata-mata.

Namun, dia tidak menyangkal bahawa perkara sebegitu banyak berlaku dalam masyarakat masa kini.

"Jalan ceritanya mungkin ada kena mengena dengan masyarakat kita tetapi ia bukanlah penga- laman saya sendiri.

"Saya lebih memfokuskan pada teknik visual yang diterapkan dalam video itu kerana ia merupakan penampilan saya yang pertama dengan hijab," tutur- nya lagi.

Ramadan

Melewati hari-hari pada bulan Ramadan tahun ini, Alyah mengakui bahawa dia banyak mengurangkan aktiviti seninya dan lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga.

"Selama lapan tahun bergelar penyanyi, saya tidak pernah berehat apabila tibanya bulan Rama- dan. Maklumlah, pada awal waktu dikenali, saya perlu rajin bekerja untuk membina nama. Sehingga sering berbuka puasa dalam kereta.

"Namun tahun ini, saya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menjalani ibadah puasa bersama-sama," ujarnya.

Penyanyi yang turut bergelar ibu angkat kepada Mohd. Alif, 8, dan Naziatul Afiqah, 4, ini turut ber- kata, lebaran tahun ini bakal disambut secara sederhana di kampung halamannya di Johor.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini saya bakal pulang ke Johor bersama anak-anak. Persiapan hari raya juga dilakukan secara sederhana," katanya menutup bicara.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com