Gambar Farah ketika ditemubual oleh wartawan.
Kuala Lumpur: “Dakwaan kononnya saya perempuan aneh dan psiko sangat melampau dan saya tidak akan berdiam diri kerana saya bukannya bodoh seperti mana dia sangkakan,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 21 yang ditangkap khalwat bersama aktor Shahz Jaszle di sebuah unit Apartmen Taman Sri Subang, 16 Mei lalu.
Jelas Farah yang ditemui semalam, dia kesal dengan kenyataan Shahz atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin yang sudah pun bertunang dengan Redzwani Puteri Disember lalu bagi menyelamatkan diri sendiri dan menutup sikap curang terhadap tunangnya.
Gambar Shah Jaszle dan Tunangnya, Redzwani Puteri
Katanya, yang bekerja di sektor perbankan itu, dia terkejut membaca kenyataan Shahz dalam akhbar semalam kerana semuanya adalah penipuan dan permainan ‘murah’ seorang lelaki yang ingin lari daripada masalah.
“Bukti dan saksi yang tahu kami bercinta ada pada saya dan jangan sampai semuanya didedahkan jika keadaan mendesak. Malah, saya masih menyimpan semua perbualan kami menerusi BBM (Blackberry Messenger) di telefon bimbit sebagai bukti.
“Saya tidak teragak untuk membawa semua saksi dan bukti itu kepada media asalkan nama baik saya dan keluarga dapat dibersihkan. Jika benar dia (Shahz) bercakap benar, datang bersemuka atau kita berdepan pihak media bersama,” katanya.-HM
Minggu lalu nama Shah Jaszle kembali panas ekoran seorang wanita tampil membuat kenyataan tentang isu khalwat yang membabitkan pelakon it, kepada sebuah program hiburan hujung minggu lalu.
Dalam sebuah akhbar hari ini pelakon berusia 25 tahun itu tampil membuat kenyataan balas dengan menyifatkan tindakan wanita tersebut serta boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Bagi menjelaskan apa yang berlaku, pelakon itu berhasrat mengadakan sidang media dalam waktu terdekat untuk mendedahkan segala-galanya, termasuk dakwaan mengatakan dia mempunyai hubungan istimewa dengan wanita terbabit.
“Saya akan mengemukakan semua bukti, termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur paksaan yang dihantar kepada saya. Dia hanya menunjukkan sebahagian SMS saja, tetapi kenapa tidak kemukakan semua sekali apa yang dihantar kepada saya?
“Lagipun apa bukti menunjukkan saya penghantar SMS itu, sedangkan tiada nombor yang tertera pada paparan skrin telefon?
“Sepatutnya saya dan peguam mahu memberikan fokus pada kes khalwat, tetapi nampaknya wanita itu bertindak melampau.
Dia sudah keterlaluan, jadi saya tidak boleh berdiam diri walaupun dinasihatkan menutup mulut,” katanya.
Selama berkenalan dengan wanita itu, kata pelakon ini, dia tidak pernah berjanji apa-apa dengannya.
“Dia memang suka mendesak, malah sanggup ke rumah keluarga untuk mencari saya,” katanya sambil menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan wanita ‘misteri’ itu, seperti didakwa.
Jelas Shah lagi, dia mengenali wanita yang juga seorang kru dan pelakon tambahan itu ketika terbabit dalam penggambaran drama Lembayung Kasih Mu. Mungkin sikapnya yang mudah mesra membuatkan wanita terbabit menyalah tafsir niatnya.
“Kami kenal tiga minggu saja, jadi bagaimana dia boleh mendakwa kami mempunyai hubungan istimewa? Dia mengeluarkan gambar kami berdua, seolah-olah hendak membuktikan kami mempunyai hubungan intim. Memang saya mengaku itu gambar saya, tetapi ia diambil sewaktu di lokasi penggambaran.
“Saya rasa dia psiko. Dia sengaja mahu memutuskan hubungan saya dengan tunang, Redzwani Puteri. Sebelum kes khalwat ini, memang dia ada berjumpa dengan tunang saya, untuk mendedahkan mengenai hubungan yang kononnya wujud antara kami.
Tetapi, tunang saya tidak layan, malah tidak juga melatah. Mungkin kerana masih gagal memisahkan kami, dia menggunakan cara lain pula untuk memburukkan lagi keadaan.
“Memang saya sangat terkejut dengan tindakannya dan ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya pada kerja. Mujur tunang saya memahami dan mengenali siapa saya.
“Dia seorang yang pelik kerana selepas kes khalwat itu, dia tidak menunjukkan rasa bimbang atau serba-salah dengan apa yang berlaku. Seumur hidup, saya belum pernah berjumpa dengan manusia seanehnya,” katanya.
Shah Jaszle dan wanita berkenaan ditahan kerana dipercayai berkhalwat pada 16 Mei lalu, menerusi serbuan dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Pangsapuri Taman Sri Subang, kira-kira jam 3.30 pagi.-BH
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com