Senarai 24 Perkahwinan Artis Sepanjang Tahun 2012

Tuesday, January 01, 2013 by


Tahun 2012 disifatkan sebagai tahun perkahwinan buat kalangan selebriti tempatan. Apa tidaknya, sebanyak 24 majlis perkahwinan melibatkan selebriti terkenal tempatan telah dilangsungkan sepanjang tahun ini.
Menariknya, ada di antara selebriti ini yang memilih untuk mendirikan rumahtangga dengan pasangan hidup dari kalangan orang biasa dan ada pula yang senang memilik rakan selebriti sebagai sebagai teman hidup mereka.
Walaupun 2012 cuma berbaki kurang seminggu sahaja lagi, namun masih ada majlis perkahwinan selebriti yang belum dilangsungkan iaitu penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat yang memilih model jelita, Nor Leuniey Natasha sebagai isterinya selepas pelbagai kontroversi membabitkan jejaka tersebut hangat diperkatakan sebelum ini.
Apapun, portal Murai ingin membawa anda menyorot kisah perkahwinan selebriti tempatan kita sepanjang 2012 dan anda mungkin dapat menilaikan sendiri perkahwinan siapa yang paling grand, perkahwinan siapa yang paling simple dan perkahwinan siapa yang paling mengundang kontroversi.



Ash & Sherry Merlis
Membuka tirai 2012, Sherry Merlis dan Ash daripada kumpulan Gabba Gabba telah melangsungkan pernikahan pada 1 Januari 2012. Tanpa sebarang gosip atau cerita panas mengenai kedua-duanya di media, perkahwinan mereka juga telah diadakan dalam suasana yang sederhana. Mereka difahamkan hanya bercinta selama enam bulan sebelum disatukan. Perkahwinan ini adalah perkahwinan kedua bagi Sherry dan juga Ash. Sebelum ini Sherry Merlis pernah berkahwin dengan Esma Daniel, manakala Ash pula dengan dira Abu Zahar.

Ally Iskandar & Farah Lee
Masjid Kristal di Kuala Terengganu menjadi saksi penyatuan personaliti TV3, Ally Iskandar bersama gadis pilihannya, Norfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee pada 20 Jan lalu. Penuntut Universiti INHA di Korea Selatan ini telah berjaya memikat hati Ally yang sebelum ini menemui kegagalan apabila pertunangannya dengan peserta Gadis Melayu, Nur Aishah Zainal putus di tengah jalan.



Yusry Abd Halim & Lisa Surihani
Jika sebelum ini dia pernah menyatakan hasratnya untuk tidak lagi menerima mana-mana cinta, Yusry Abd Halim akhirnya telah memperisterikan aktres jelita, Lisa Surihani pada 23 Februari yang lalu selepas 5 tahun menduda. Menurut Yusry juga, hanya Lisa satu-satunya wanita yang berjaya membuka pintu hatinya untuk kembali bercinta dan mendirikan berumahtangga. Majlis pernikahan mereka telah berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya dan resepsi indah kedua mereka telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) tiga hari selepas diijabkabulkan.



Anna Raffali & Naim
Selang dua hari majlis pernikahan pasangan Yusry dan Lisa, tiba pula giliran penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku, Anna Raffali diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Ahmad Aznaim Abdullah. Aznaim juga merupakan pengurus peribadi kepada Ana atau nama penuhnya Ana Nurhidayah Mohd Raffali. Memilih untuk bersederhana, pasangan ini telah bersanding pada hari yang sama di Masjid Al- Hidayah, Jalan Melawati yang juga lokasi pernikahan mereka.



Adda (Butterfly) & Ridzuan
Walaupun cuba menyembunyikan perkahwinannya dengan seorang duda, Adda daripada kumpulan Butterfly ini akhirnya mendedahkan statusnya setelah bergelar isteri pada 30 Mac lepas. Bekas kekasih kepada Mamat Sepah itu menjelaskan sebab mengapa dia tidak menjemput media adalah kerana permintaan keluarga lelaki tersebut. Namun begitu, jodohnya bersama duda tersebut hanya bertahan selama 17 hari sahaja.


Azza Elite & Azlan
Setelah 7 tahun hidup solo selepas perkahwinan pertamanya dengan bekas suami pertama Camelia, MohdEhsan Tun Ahmad Zaidi Edruceg agal bertahan, bekas anggota kumpulan Elite, Azza atau Azzarima Zawari akhirnya telah memilih Azlan Zulalily, jejaka 9 tahun lebih muda darinya sebagai pasangan hidupnya. Pramugara penerbangan tambang murah Air Asia tersebut telah selamat dinikahkan dengan pelakon tersebut pada 1 April 2012 di Masjid Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang.


Natasha Hudson & Carleed Khaza
Aktres jelita Natasha Hudson telah menjadi pilihan penyanyi hip hop, Carleed Khaza atau Mohd Khalid Kamal sebagai pasangan hidupnya. Mereka telah selamat bernikah pada 12 April di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Dua tahun menyulam cinta bersama, Carleed berkongsi ceritanya apabila dia telah memohon petunjuk untuk jodohnya ketika menunaikan Umrah dan hatinya kuat mengatakan Natasha adalah calon terbaik permaisuri hatinya. Carleed sebelum ini pernah menghasilkan single berjudul Jika Ku Boleh Ubah Dunia dan menampilkan Natasha didalamnya.


Fasha Sandha & Rizal Ashram Ramli
Setelah melalui pelbagai fasa dalam hubungan cinta mereka, akhirnya Fasha Sandha telah disunting dan sah bergelar isteri kepada Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai. Memilih untuk melangsungkan majlis pernikahan di Hotel Crowne Plaza pada 27 April, majlis resepsi pula telah berlangsung di Tasoh Lake Resort, Perlis pada 3 Jun. Sebuah lagi majlis resepsi dijadualkan berlangsung di Jakarta tetapi setelah Fasha disahkan mengandung, majlis tersebut telah dibatalkan. Lokasi pernikahan pasangan ini antara yang menjadi bualan sebelum ia disahkan melalui kad undangan yang diedarkan kepada pihak media yang terpilih sahaja.


Awal Ashaari & Scha Al Yahya
Hubungan cinta pasangan romantis Schawal yang menjadi pujaan ramai ini akhirnya berakhir ke jinjang pelamin. Scha dan Awal meneruskan senarai selebriti terkenal yang melangsungkan hari bahagia mereka dalam tahun 2012. Memilih tarikh 4 Mei 2012, pasangan ini dinikahkan oleh bapa Scha Al Yahya sendiri, Syed Mahadzir Syed Kechik Al Yahya di Pullman Putrajaya Lakeside. Majlis resepsi pula berlangsung pada 6 Mei di PICC. Pihak Astro yang menjadi penyiar rasmi telah menghasilkan program khas Seia Sekata Schawal sempena penyatuan dua hati ini.


Nurul Wahab & Eric Depp
Penyanyi berkulit hitam manis, Nurul atau nama penuhnya Noorulhuda Abd Wahab yang juga bekas isteri kepada komposer Ajai ini telah memilih jejaka Perancis, Eric Depp sebagai teman baru dalam hidupnya setelah hidup solo selama beberapa tahun. Pasangan ini selamat disatukan dalam upacara akad nikah serba ringkas yang telah diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang pada 6 Jun 2012. Majlis resepsi pasangan ini telah diadakan di sebuah lokasi indah di Pulau Bali pada 14 Jun lalu dan hanya dihadiri teman rapat penyanyi tersebut.Difahamkan lokasi berkenaan merupakan antara 10 tempat resepsi perkahwinan yang terbaik di dunia.


Irma Hasmie & Redza Syah Azmeer

 
 

Setelah memilih untuk berhijrah dan mengubah penampilan dengan imej berhijab, Irma Hasmie telah bertemu jodohnya di hadapan Kaabah ketikamenunaikan umrah pada awal tahun 2012. Pasangannya, Redza Syah Azmeer merupakan seorang ahli perniagaan dan mereka telah melangsungkan pernikahan mereka pada 29 Jun lalu bertempat di Dewan Persidangan Putrajaya. Walaupun dilanda kontroversi mengenai pendedahan status sebenar Redza Syah selepas bernikah, namun ia tidak menjejaskan ikatan perkahwinan tersebut.


Asiahtunakma Abdullah & Farih Hamshi
Graduan rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-3, Akma telah disunting oleh seorang Eksekutif Petronas, Farih Hamshi Datuk Haji Mohd Fatmi dan bergelar isteri pada 30 Jun 2012 yang lalu. Akma atau nama penuhnya Asiahtunakma Abdullah tidak menunggu lama selepas bertunang hampir dua bulan sebelum dinikahkan oleh bapanya sendiri di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.



Ella & Azhar
Satu perkhabaran gembira diterima awal tahun 2012 apabila ratu rock, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin akhirnya mengumumkan bahawa dia akan mengakhiri zaman solonya. Jejaka yang berjaya mencuri hatinya, Azhar Ghazali adalah seorang juruterbang Firefly dan pasangan ini telah bertunang dan terus dinikahkan pada 7 Julai dengan mas kahwin RM50,300. Pasangan sempoi berjiwa rock ini berjaya menyembunyikan hubungan cinta mereka lebih sembilan tahun dan Azhar merupakan adik angkat kepada Amy Search.


Izreen Azmindar & Riza
Tanpa sebarang perkhabaran atau kisah cintanya dihebah-hebahkan di media, Izreen Azmindar Mohd Aznam telah mendirikan rumahtangga dengan seorang jurukamera produksi, Muhamad Riza Baharuddin pada 30 Ogos lepas di Country Golf Resort, Jitra Kedah. Lokasi penggambaran drama Tentang Dhia menjadi titik permulaan bibit cinta mereka sebelum mengikat tali pertunangan selama sebulan, sehinggalah mereka kemudian mengambil keputusan melangsungkan perkahwinan.



Diana Danielle & Farid Kamil
Selepas dikejutkan dengan berita pertunangan pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle yang dilakukan secara tiba-tiba, sekali lagi mereka membuat kejutan apabila mengumumkan bakal berkahwin lebih awal daripada yang dirancang sebelum ini. Mereka yang telah bercinta hampir 3 tahun itu telah sah bergelar suami isteri pada 3 November bertempat di Hotel Flamingo manakala majlis resepsi mengambil tempat di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lepas.



Lee Chong Wei & Wong Mew Choo
Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei yang juga merupakan pemain nombor satu dunia akhirnya menamatkan zaman bujangnya pada 9 dan 10 November lalu. Setelah 11 tahun menyulam cinta dan penantian lebih sedekad itu pasti dinantikan Wong Mew Choo yang juga pemain badminton negara untuk bersatu dengan ahli sukan pujaan ramai itu. Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, majlis selama dua hari tersebut telah dihadiri ramai VVIP termasuk Yang di-Pertuan Agong.



Hairie Othman & Dalia Diana
Hero kacak, Hairie Othman yang kini dilihat giat menceburi dunia politik turut menamatkan status dudanya dengan gadis pilihan Dalia Diana Ruslan pada 16 November lalu. Khabarnya suri baru di hatinya itu merupakan anak kepada VVIP dan juga aktivis politik. Majlis resepsi pasangan ini telah diadakan di Dewan Semarak Kayangan Felda, Kuala Lumpur. Ini merupakan perkahwinan kedua Hairie dan dia memiliki tiga orang anak daripada perkahwinan terdahulu.


Betty Benafe & Bruce Darghous
Ibtisam Abu Bakar Benafe, 33, atau Betty Benafe kini sah bergelar isteri kepada jejaka berketurunan Arab, Bruce Darghous itu pada 10 Disember 2012 dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Villa Kempas, Johor. Manakala persandingan pula telah berlangsung pada tarikh 12.12.12 yang diadakan di Danga Bay Convention Centre. Pasangan ini telah diarak menaiki cruise daripada Nusajaya ke Danga Bay Marina sebelum bermulanya majlis resepsi tersebut.


Suki Low & Jeremy Chong
Juara program realiti One In A Million musim pertama, Suki Low mengabadikan tarikh 12.12.12 sebagai episod baru dalam hidupnya setelah melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan Jeremy Chong yang juga merupakan eksekutif muzik. Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee telah dirai dalam majlis resepsi serta perkahwinan yang di Pulau Pinang dan disusuli dengan sebuah jamuan malam sempena perkahwinan itu di atas kapal SuperStar Libra tajaan Star Cruises.



Acong Sweetchild & Marya Zuraida
Vokalis kumpulan Sweetchild, Acong atau nama penuhnya Ahmad Fauzi Manan 39, telah memperisterikan Marya Zuraida pada 15 Disember yang lalu di kampung halaman wanita tersebut di Sungai Petani, Kedah. Mereka berjumpa pada 14 tahun dahulu di Kuantan ketika Sweetchild membuat promosi album dan kemudian terputus hubungan dan atas kuasa teknologi mereka mula berhubung semula sejak dua tahun lalu menerusi Facebook.



Fazurina & Haikal
Pelakon wanita yang popular menerusi siri Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir atau Fazurina 30, telah menamatkan zaman bujang dengan penuh kontroversi apabila dikatakan bernikah tanpa pengetahuan keluarga di Masjid Jamek, Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012. Perkara ini telah menggemparkan dan mengejutkan ramai pihak terutama adik beradiknya yang mengecam perbuatan aktres ini.




DJ Cza & Aimi Nadhirah
DJ Cza atau Ceza Mutyara yang juga adalah bekas anggota kumpulan Ahli Fiqir telah selamat mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya iaitu Aimi Nadhirah.Pasangan ini telah diijabkabulkan di Putrajaya pada Khamis 20 Disember 2012, manakala majlis resepsi mereka telah diadakan di The Duchess Palace, Jalan Ampang pada malam 23 Disember 2012. DJ Cza antara pasangan pengantin yang tidak ketinggalan mengabadikan tarikh 20.12.2012 sebagai hari penyatuan dengan insan tersayang.



Anne Ngasri & Sumali Reduan
Anne Ngasri telah mengejutkan industri hiburan apabila mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli politik kelahiran Johor, Mohd Sumali Reduan pada 11 November lalu. Berita ini mendapat liputan ramai kerana bekas kekasih Anne Ngasri iaitu penyanyi Aliff Aziz dikatakan kecewa selepas mendengar berita tersebut. Anne dan Sumali kemudian berjikah pada 22 Disember 2012 di Benut Pontian dan kemudian melangsungkanmajlis perkahwinannya di tempat yang sama pada keesokan harinya.




Khairul Fahmi & Leuniey Natasha
Menutup tirai senarai perkahwinan selebriti tahun 2012, pasangan Khairul Fahmi atau Apex dan Leuniey bakal disatukan pada 28 Disember ini di kampung halaman mereka berdua iaitu Kelantan. Penjaga gawang yang sebelum ini dikaitkan dengan ramai wanita itu akhirnya telah memilih Leuniey yang turut sama membintangi iklan komersial Simplysiti. Tiga resepsi bakal diadakan dimana dua di Kelantan dan satu di Kuala Lumpur. Murai telah menjadi portal rasmi sempena hari bahagia pasangan ini.

Kredit Sumber: MummyNemo

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com