KIM menganggap Kanye sebagai lelaki yang sangat memahaminya.
KIM KARDASHIAN dalam satu temu ramah mendakwa dia tidak suka berbicara tentang dirinya sendiri walaupun peminat gemar bercerita tentang model itu dan keluarga Kardashian.
Terbaharu, berita kehamilan Kim menjadi ledakan berita penghujung tahun. Pengumuman kehamilan itu dibuat sendiri oleh kekasih Kim, si penyanyi rap Kanye West di hadapan 5,000 penonton sewaktu konsertnya di Atlantic City, New Jersey pada 30 Disember lalu.
Dalam satu atmosfera kejutan, Kanye memberhentikan muzik dan mengumumkan seraya menunjuk ke arah Kim dan berkata: "Matikan muziknya dan bersoraklah untuk ibu kepada bayi saya!"
Tiada yang lebih membahagiakan Kanye selaku lelaki apabila buah hati pengarang jantungnya hamil 12 minggu. Malah penyanyi lagu Through the Wire itu sendiri pernah menyatakan bahawa jika Kim hamil, dia akan kelihatan cantik.
Populariti Kim
Soal mengapa seorang wanita berusia 31 tahun dengan nama Kim itu popular bukan satu perkara yang membuahkan pertanyaan lagi.
Ada yang menyatakan bahawa wanita tersebut popular kerana diberi perhatian. Ada pula yang memetik sebab kemunculan video seksnya membawa kepada faktor kemeriahan namanya dijulang. Sebelum itu, namanya naik kerana berpacaran dengan anggota kumpulan 98 Degrees, Nick Lachey dan bersahabat dengan selebriti Paris Hilton. Namanya jadi sebutan sejak itu.
Malah Kim sendiri pernah berkata: "Saat saya terdengar khalayak mempersoalkan populariti saya, saya mahu menjawab, 'Apa yang kalian perkatakan? Saya mempunyai program televisyen yang hit. Episod kami lebih lama daripada program The Andy Griffith."
Lalu program televisyen Keeping Up With The Kardashian turut dipersoalkan, kata khalayak dia tidak melakukan apa-apa kecuali diekori dengan kamera.
Pantas, si cantik Kim menjawab: "Untuk membolehkan diri sendiri membuka tentang kehidupan dan jika semua orang boleh lakukan, mereka pasti lakukan. Maksud saya, menyanyi dan berlakon bukanlah sahaja cara untuk dikatakan berbakat. Perlu ada kepakaran untuk membuatkan orang menyukai kamu kerana diri kamu sendiri."
Dia juga menambah ke atas pertanyaan tentang bakatnya: "Seekor beruang boleh berdiri di atas sebiji bola dan dia berbakat. Tetapi beruang itu tidak popular. Anda faham maksud saya?"
Walau apa pun jawapan Kim terhadap tahap glamornya dan bertubi-tubi soalan khalayak tentang kewujudannya dalam dunia selebriti, Kim masih di tangga atas populariti.
Buktinya, dia hanya kalah pada tahun lepas kepada Justin Bieber. Namun untuk tahun 2012, nama Kim masih di tangga pertama individu yang paling banyak dicari di laman internet tahun 2012.
BERSAMA Khloe dan Kourtney, Kim membuka perusahaan butik yang dinamakan Dash.
Seorang penerbit radio yang merupakan penulis buku Fame Junkie pernah merungkaikan faktor popular Kim.
"Tidak kisahlah seseorang itu terkenal kerana apa. Apabila seseorang melalui karpet merah dan orang mengambil gambar, khalayak sudah tertarik. Khalayak lebih tertarik kepada kehidupan semulajadi selebriti. Kim adalah seorang penghibur. Dia mempamerkan kehidupan 'selebriti palsu' dan mengemudi semua drama dalam dunia. Kim bagus dalam melakukan itu," katanya.
Kim Kardashian sebuah jenama
Pada satu aspek pasaran, penjualan jenama Kim Kardashian itu sebenarnya sangat berjaya. Apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat perhatian khalayak.
Kim juga bijak memanipulasi peluang. Dia merupakan wanita berkarier yang punya cita-cita besar. Sebelum terkenal, Kim hanya bekerja di bahagian peruncitan, menjual barangan di eBay dan akhirnya menjadi jurugaya.
Angan-angan untuk menjadi bintang realiti televisyen sudah dipasang sejak usianya menjengah 12 tahun.
"Saya memang mahu menjadi seorang bintang realiti televisyen," nekad itu dipegang hingga mimpinya menjadi realiti. Dia yang inginkan perhatian ramai mendapat lebih daripada apa yang diimpikan sebelum ini.
Hidupnya kini tidak melekat perkataan privasi. Kehidupan peribadinya diterjah kanan dan kiri oleh paparazi dan khalayak. Itu harga yang dibayar untuk impian kanak-kanaknya.
"Semuanya berlaku dengan pantas. Kami tidak tahu apa sebenarnya yang kami lakukan. Selepas kami membuat penggambaran, saya ditawarkan untuk bergambar dengan majalah Playboy," ujarnya tentang penggambaran program Keeping Up With Kardashian yang merupakan sebuah rancangan televisyen popular.
Wanita yang lahir pada 21 Oktober 1980 itu sudah rapat benar dengan predikat bintang. Dia adalah jenama sebutan ramai, usahawan, penyanyi, pelakon, pereka fesyen dan semua yang berkaitan.
BERITA kehamilan Kim Kardashian menjadi berita hangat penutup 2012.
Perkahwinan keduanya bersama Kris Humpries dibayar AS$18 juta (RM54 juta). Rumahtangganya bersama bintang bola keranjang itu hanya bertahan selama 72 hari dan kini hati Kim sudah dimiliki Kanye yang merupakan sahabat lamanya.
Pasangan selebriti tersebut pantas mendapat restu khalayak. Malah nama Kim dan Kanye disatukan menjadi 'Kimye' menunjukkan bahawa mereka adalah satu item di mata umum.
Berkenalan sudah lama, Kim sendiri sukar menjawab kenapa mereka mengambil masa yang lama untuk berpacaran. Kali pertama gambar mereka berdua diambil pada April tahun lalu, beberapa bulan selepas itu mereka mengaku sudah bercinta.
Kontrak RM48 juta
"Sangat menyenangkan apabila mempunyai seseorang yang mengetahui segalanya tentang diri saya. Dia juga menghormati, memahami dan melalui perkara yang sama. Saya boleh mengaitkan diri dengan kehilangan ayah kerana dia juga kehilangan ibuya. Saya sedang berada dalam fasa gembira," senyumnya dalam satu temu ramah.
Baru beberapa hari berita kehamilan diumumkan kepada dunia, namun janin berumur 12 minggu itu sudah membikin heboh.
Terdapat pihak yang sudah meramalkan jantina anak Kimye. Lebih dahsyat sudah ada yang melukis wajah bakal anak mereka.
Dua keping gambar sudah beredar dan menunjukkan wajah Kimye Junior, baik versi anak lelaki mahu pun anak perempuan.
Bayi tersebut diprediksi akan memiliki bibir yang penuh dan kulit indah eksotik seperti Kim. Sedang sang ayah akan menyumbangkan mata dan alisnya.
Seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail, seorang ahli nama bayi bernama Pamela Redmond Satran mulai meramalkan nama yang akan dipilih Kim dan Kanye. Menurutnya, Kim dan Kanye akan memilih nama dengan awalan huruf K.
Beberapa nama pun muncul, seperti Kassius, Kassia, Kauai, Kashmir, Kyoto, Kissa dan Kito. Selain itu, Pamela juga meramalkan nama-nama seperti Kalista, Kalixto, Kedence, Kalliope atau Kalypso.
Namun yang pasti, wang sebanyak AS$16 juta (RM48 juta) akan masuk ke dalam akuan pasangan tersebut apabila pihak produser televisyen sudah membincangkan penggambaran untuk mengikuti proses kehamilan Kim. Malah wanita tersebut akan menjadi duta bagi beberapa produk wanita hamil dan bayi.
"Kim sudah berbincang dengan pihak produser tentang penggambaran proses kehamilannya daripada proses imbasan bayi, melawat hospital hinggalah segala-galanya. Dia akan mendapat kira-kira AS$16 juta untuk itu," ujar satu sumber.
Nah, ini membuktikan penjenamaan nama Kim Kardashian sebagai bintang realiti televisyen berjaya pada zamannya. Senang benar mereka menjana pendapatan dengan hanya menjual nama.
Mengingatkan kepada salah satu pernyataan Kim: "Apabila melihat kepada mesej yang saya gambarkan, saya pasti bahawa saya maksudkan, kita bukan hanya menjadi diri sendiri malah menjadi yang terbaik."
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com