Gaya stylo Emma Maembong.
Emma Maembong kecewa diri terus disalah anggap, mahu lupakan episod pahit 2012
Kanvas seni pelakon Emma Maembong yang mula diwarnakan enam bulan lalu, tidak begitu indah. Kontroversi dan kisah sensasi dirinya bersilih ganti diperkata orang - baik di laman sosial mahupun akhbar atau majalah.
Gambar kontroversi Emma Maembong dan teman lelakinya.
Lalu tanpa usul periksa, dirinya dilabel artis bermasalah. Foto bermesra bersama teman lelaki, didakwa tidak datang ke sesi fotografi, enggan ditemui media dan tampil selekeh satu persatu menjadi bahan cerita artis baru ini.
Gadis yang memiliki nama indah, Fatimah Rohani Ismail ini mengakui dia bagai terkena kejutan budaya rentetan pelbagai kisah tidak enak ditabur terhadap dirinya.
Namun, lama-kelamaan dia semakin lali. Biarlah 2012 menjadi kenangan. Ini kerana dia mahu menyambut 2013 dengan suntikan semangat positif.
“Saya mahu lakukan yang terbaik untuk dua bidang yang amat saya minati iaitu lakonan dan lukisan,” dedah gadis kacukan Melayu-Scotland ini kepada HIP.
Sibuk menjalani penggambaran drama episod Tiga Nenek Tiga Dara, sebagai pendatang baru, pertama kali diusik dengan mainan kontroversi menyebabkan hatinya gundah gulana.
“Ketika baru hendak melangkah dalam dunia seni, memang sukar untuk saya menerima cakap-cakap buruk mengenai diri saya. Paling saya kecewa apabila pelbagai kisah tidak enak didedahkan satu persatu.
“Apabila cerita yang bukan-bukan timbul, tentulah saya kecewa dan sedih. Hubungan saya dengan ayah sangat rapat, jadi saya tidak mahu ayah terluka mendengar cerita demikian.
“Orang sewenang-wenangnya menilai saya dengan hanya melihat dari permukaan, bukan dari dasar. Tanpa tahu hujung pangkal, dengan mudah mereka melempar pelbagai tuduhan tidak betul mengenai diri saya,” kata Emma yang mula melangkah ke dunia seni menerusi drama rantaian Kau Yang Terindah.
Bakal bintangi filem tahun ini
Biarpun dihambat pelbagai kontroversi, gadis berusia 21 tahun ini bersyukur apabila rezeki lakonannya makin kencang. Dek kesibukannya, Emma terpaksa mengupah pengurus bagi mengendalikan aktiviti seninya.
Menyedari dirinya masih baru dalam bidang lakonan, Emma yang tersenarai antara calon awal Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPBH 2012), tidak mahu tamak menerima setiap tawaran. Sebaliknya, ujar gadis ini, dia mahu mengukuhkan prestasi lakonan sebelum ligat beraksi.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan perjalanan kerjaya seni.
“Bagaimanapun, saya tidak suka bersikap tamak. Sebaliknya, saya lebih gemar menumpukan perhatian kepada satu tawaran sebelum menerima tawaran lain,” katanya.
Emma berkata, dia sudah membintangi empat drama rantaian sejak mula menyertai dunia seni enam bulan lalu.
“Insya Allah saya akan berlakon filem tahun ini tetapi semuanya masih belum pasti selagi tiada hitam putih,” katanya.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com