Saiful Apek Tetap Tuntut Hutang Dari David Teo

Sunday, May 13, 2012 by
SAIFUL APEK tetap akan meneruskan tuntutan terhadap haknya walaupun terpaksa berjuang di mahkamah.

PERKATAAN 'sedekah' yang diulang sebut oleh penerbit terkenal, David Teo sebanyak dua kali dalam sebuah program sensasi televisyen terhadap Allahyarham Bob Kuman mencetuskan polemik.

David yang sering mengeluarkan kenyataan celupar kali ini menyebabkan Saiful Apek hilang sabar. Sahabat baik Bob Kuman itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya dalam laman sosial Twitter dan Facebook. Apek menyelar David dan menuntut tauke Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG) itu memohon maaf secara terbuka.

Tuntutan Apek itu mendapat pelbagai respons termasuk media arus perdana. David akur dengan kecaman Apek dan membuat satu kenyataan menerusi e-mel, Khamis lalu.

Masih tidak puas hati dengan bahasa David yang dianggap kurang beradab, Apek kemudian tampil dengan tuntutan-tuntutan sampingan termasuk memperjuangkan isu bayaran tertunggak berjumlah RM200,000. Dakwa Apek, bayaran itu sepatutnya dilangsaikan David hasil kutipan filem lakonannya dalam filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali, lima tahun lalu.

Permohonan maaf David sebelum ini dianggap belum cukup untuk membasuh luka dan hina terhadap keluarga Allahyarham Bob. Tidak sahaja hutang lakonan dan pelaburannya, pelawak itu turut menuntut David membayar tunggakan puluhan artis serta kru yang lain.

"Tanggungjawab nombor satu saya ialah menuntut David supaya membayar hutang maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel tetapi menerusi media elektronik.

"Dia (David) keluarkan kenyataan menerusi media elektronik jadi permohonan maaf juga harus dengan media elektronik. Memang David tiada hutang duit dengan arwah Bob, dia cuma ada hutang maruah kepada arwah dan keluarga arwah. Itu sahaja," jelas Apek saat dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Sensasi Bintang juga difahamkan Apek bersama sekumpulan artis serta kru penggambaran akan mengadakan sidang media tergempar. Selain itu, Apek didakwa akan mengemukakan bukti-bukti penyelewengan pemilik rumah produksi gergasi itu.

Boleh namakan artis yang akan hadir untuk menuntut hak mereka nanti?


SAIFUL APEK: Terlebih dahulu saya minta maaf, saya tak boleh nak nyatakan di sini. Biarlah mereka hadir dulu ke sidang media berkenaan dan barulah masyarakat akan tahu dengan sendiri. Jika tidak dapat, saya memang mahu merakamkan luahan mereka untuk dipertontonkan kepada media pada sidang media berkenaan.

Adakah David Teo digesa hadir ke sidang media berkenaan?

Saya memang tak jemput tapi kalau David dan pihaknya ada rasa tanggungjawab, maka kehadiran mereka dialu-alukan.

Masalah ini nampaknya sudah berlarutan daripada satu isu kepada satu isu, apa sebenarnya tuntutan Apek?

Nombor satu, saya mahu tuntut hutang maruah dan permohonan maaf secara terbuka. Minta maaf menerusi e-mel tidak beri erti. Cara David bercakap kepada Melodi lain, dan cara dia hantar e-mel juga lain. Memandangkan David dan MIG ada masalah dengan ramai artis dan kru penggambaran, sidang media itu juga akan perjuangkan soal bayaran yang selama ini tidak diketahui pihak luar. Ramai yang takut mahu buka mulut sebab sayangkan periuk nasi.

Kenapa tak guna persatuan atau peguam untuk selesaikan soal bayaran itu?

Saya tak berniat nak ketepikan persatuan seni dalam soal ini. Media sudah buat hebahan dan saya yakin persatuan sudah sedar perkara ini. Saya amat berbesar hati jika ada pihak persatuan yang mahu turun padang bersama-sama saya nanti. Soal peguam pula, saya memang sedang berbincang dengan peguam. Saya sudah lantik peguam yang baharu untuk kendalikan kes ini. Kes saya dulu pernah dibicarakan di mahkamah, tapi hingga ke hari ini, saya sendiri tidak tahu apa statusnya.

Anda sendiri ada hubungi David berhubung isu bayaran itu?

Saya sudah puas saya turun naik pejabat MIG, sekarang tak guna lagi berdiam diri. David sendiri tidak hubungi saya, tapi seorang stafnya ada menghantar pesanan menerusi Twitter seolah-olah memperlekehkan saya. Tak mengapalah, saya berani kerana benar.

OLEH: TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com