Anak tunggal Watie iaitu Adam segak berbaju Melayu bagi meraikan hari bahagia ibunya.
KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi, Norwati Sadali atau Watie Elite dan suaminya, Zulkifli Daud (Joey) akhirnya mendedahkan tarikh pernikahan sebenar mereka selepas hampir lima bulan berteka-teki dengan pihak media.
Watie, 35, berkata, dia dan Joey telah selamat bernikah pada 22 Disember tahun lalu di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini dengan berwalikan adiknya iaitu Mohd Nor Azni Sadali.
"Ada banyak sebab mengapa kami enggan mendedahkan mengenai pernikahan kami kepada pihak media pada masa itu walaupun sebenarnya ingin berterus terang.
"Bagaimanapun semuanya telah selesai dengan baik dan diharapkan penjelasan ini telah menjernihkan keadaan," ujarnya kepada mStar Online.
Watie dan Joey, 38, ditemui ketika diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.
Watie dan Azza bersama pasangan masing-masing teruja dapat bersanding bersama-sama.
Turut diraikan adalah rakan baiknya iaitu Azza dan pasangannya iaitu Azlan Zulaily.
Terdahulu, pasangan ini kecoh dikatakan telah bernikah secara senyap dan apabila ditanya kedua-dua mereka enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, berkongsi detik dia dilamar suaminya, Watie berkata, Joey telah melamarnya pada ulang tahunnya pada 20 April tahun lalu namun tidak mengambil terlalu serius dengan lamaran tersebut.
Namun kata Watie, tanpa disedari suaminya itu telah menguruskan semua hal berkaitan pernikahan mereka dan hanya mengetahui akan dinikahkan pada tengah hari sebelum majlis dilangsungkan.
"Saya benar-benar tidak tahu Joey dan keluarga saya telah berpakat untuk mengadakan majlis itu dan pada tengah hari 22 Disember itu kakak saya telah menyuruh agar saya bersolek dan mengenakan pakaian yang cantik kerana keluarga Joey ingin bertandang.
"Masa tu saya tak fikir lain dan hanya menyangka kehadiran keluarga Joey dari Johor hanyalah untuk merisik saya dan tak sangka lepas solat Asar Tok Kadi semua ada di dalam rumah," katanya.
Pada majlis tersebut, turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah kerabat diraja Pahang iaitu Datuk Tengku Kamaruzaman.
TENGKU KamaruLzaman menepung tawar pasangan mempelai Watie dan Azza (dua dari kanan) di Bandar Baru Bangi, Selangor semalam.
Pasangan bahagia.
Manakala artis yang turut hadir adalah Mawi dan isteri, Ekin, Haiza, Maya, Zain Saidin, Sasha (Elite) dan Zila Bakarin.
Sementara itu, Watie yang kelihatan anggun dalam busana pengantin dari rona emas memberitahu berasa teruja dapat bersanding dengan rakan baiknya namun memohon maaf kerana tidak dapat menjemput semua kenalan ke majlis tersebut.
Watie berkata, dia dan Joey akan bersanding sekali lagi pada 7 Julai depan di Mydin Subang Jaya bersempena dengan karnival perkahwinan pasaraya itu dan berhasrat untuk menjemput semua kenalannya.
"Insya Allah majlis resepsi di Mydin nanti saya akan jemput semua rakan-rakan untuk hadir," ujarnya.
Watie dan Azza juga menerima kejutan daripada Tengku Kamaruzzaman yang telah menaja percutian ke Pulau Tioman kepada mereka sebagai hadiah berbulan madu.
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com