AS Mohon Maaf Kepada Shah Rukh Khan
Sunday, April 15, 2012 by Author
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memohon maaf kepada Shah Rukh Khan kelmarin selepas bintang filem Bollywood berkenaan menyatakan dia ditahan oleh pihak berkuasa AS semasa tiba di negara berkenaan dengan menaiki sebuah jet peribadi.
Washington turut menafikan dakwaan Shah Rukh Khan dijadikan sasaran perkauman dalam insiden tersebut.
India mengemukakan bantahan diplomatik selepas Shah Rukh memberitahu, dia ditahan lebih 90 minit pada petang Khamis lalu selepas pesawatnya mendarat di lapangan terbang kecil White Plains di negeri New York.
Hero filem Dilwale Dulhania Le Jayenge itu berada di AS kerana menerima undangan untuk berucap di Universiti Yale.
Universiti Yale di New Haven, Connecticut, tempat Shah Rukh Khan menyampaikan ucapan pada Khamis lalu.
“Kami amat menghormati Shah Rukh sebagai seorang seniman dan juga kerja kemanusiaan yang dilakukannya,” kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner kepada pemberita sekali gus mengulangi kenyataan serupa oleh Kedutaan AS di New Delhi.
“Kami memohon maaf atas segala kesusahan yang terpaksa ditempuh oleh Shah Rukh,” tambahnya.
Namun, pada masa yang sama, Toner menafikan hero Bollywood itu dijadikan sasaran dalam insiden tersebut kerana dia memiliki nama orang Islam.
“Tuduhan ini tidak benar kerana puluhan ribu orang Islam masuk dan keluar dari AS setiap hari tanpa mereka ditahan atau dilengahkan,” jelas Toner.
Katanya, Shah Rukh hanya dilengahkan ketika dia berada di dalam pesawatnya. Aktor Bollywood itu tidak pernah dibawa ke bilik tahanan.
Shah Rukh, 46, yang merupakan antara bintang filem Bollywood paling popular, meneruskan perjalanan ke Universiti Yale selepas insiden tersebut
Mengulas tentang kejadian memalukan itu, Shah Rukh memberitahu, dia juga pernah ditahan selama lebih dua jam di lapangan terbang Newark, dekat New York pada 2009.
“Justeru, saya sudah biasa dengan insiden seperti ini. Ia sentiasa berlaku kepada saya, ia bagus kerana setiap kali saya berasa besar kepala, saya akan membuat kunjungan ke Amerika (AS),” katanya dengan nada berseloroh ketika berucap kepada sekumpulan pelajar universiti ternama itu.
“Pegawai-pegawai imigresen pandai membuatkan anda berasa rendah diri walaupun anda sebenarnya seorang bintang pujaan,” kata Shah Rukh.
“Lain kali, saya akan menjadikan insiden ini lebih menarik dengan memberikan sedikit cabaran. Apabila mereka (pegawai imigresen) bertanya: Apa bangsa anda? Saya akan menjawab saya orang kulit putih,” kata aktor berkenaan yang pernah membintangi hampir 80 buah filem. – AFP
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com