INDUSTRI perfileman Bollywood dipenuhi lautan bakat besar, namun hanya segelintir kecil yang berjaya memecah gelombang bergelora untuk memahat nama pada kedudukan selesa di layar perak.
Bersilih ganti bakat baru muncul sekali gus mencipta kejayaan luar biasa yang membanggakan Bollywood namun nama ini kekal dalam senarai bintang paling cemerlang sepanjang 2010.
Pencapaian gemilang yang meletakkan mereka dalam senarai Top 5 bintang Bollywood paling berpengaruh sepanjang 2010 impak daripada populariti, rekod filem pecah panggung serta konsistensi persembahan di layar lebar.
Amir Khan
AKTOR berkaliber ini mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon lelaki berwibawa menerusi persembahannya dalam filem terbaru, Three Idiots yang mencatat kutipan pecah panggung.
Saban tahun Amir meyakinkan peminatnya dengan himpunan filem terbaik dan mampu mencipta fenomena, selain memiliki daya tarikan komersial.
Dikenali sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, Amir meletakkan sepenuh kesungguhan dalam setiap peranan yang dimainkannya untuk muncul meyakinkan di layar perak.
Shah Rukh Khan
DIKENALI sebagai King Khan, Shah Rukh Khan diakui antara permata berharga pernah dilahirkan oleh industri perfileman Bollywood.
Popularitinya mencetuskan histeria kepada pelbagai generasi pencinta filem Hindi, malah kemampuannya terus diasah dalam setiap produksi yang dibintanginya.
Filem terbarunya, My Name Is Khan muncul sebagai filem blockbuster sepanjang zaman selain mendapat ulasan terbaik dalam negara dan di luar negara.
Filem itu dialih suara dalam pelbagai bahasa untuk ditayangkan di negara asing. Mungkin ada yang melihat dirinya bukan aktor versatil namun karismanya di layar perak membuatkan Shah Rukh Khan selesa dalam kelas tersendiri.
Akshay Kumar
KARIER lakonannya berputar hampir dua dekad dan Akshay Kumar diakui antara aktor versatil dalam industri perfileman Bollywood.
Selain filem aksi, karisma lakonannya juga dipertontonkan dalam genre drama dan komedi. Kunci kejayaan Akshay adalah kerja keras, selain keberaniannya mencipta kelainan dalam setiap produksi yang dijayakan.
Akshay juga diakui sebagai seorang aktor yang berani mengambil risiko dan kini diakui sebagai raja filem komedi sebenar menerusi lakonannya dalam filem seperti Khatta Meetha dan Houseful.
Ajay Devgan
PENDAKIANNYA ke puncak populariti tidak terlalu pantas tetapi Ajay Devgan bertahan dalam senarai aktor hebat Bollywood.
Dua filem terbarunya, Golmal 3 dan Once Upon A Time In Mumbai mencatat kejayaan luar biasa di panggung. Dia antara contoh artis yang tidak terlalu bergantung kepada publisiti dan pengiktirafan.
Tanpa kedua-dua elemen itu, Ajay membuktikan keampuhan bakatnya yang berterusan untuk meletakkannya dalam kelompok terbaik Bollywood.
Salman Khan
BRAT Khan itu gelaran diberikan kepadanya. Berdekad dalam industri, biarpun pernah cuba dijatuhkan oleh kritikan yang menghentam namun Salman Khan akan bingkas bangkit umpama juara.
Filem lakonannya sentiasa mencatat kutipan tertinggi pada hari pembukaan dan namanya terus popular di India dan luar negara.
Dua filem terbarunya, Wanted dan Dabaang mendapat sambutan luar biasa. Salman juga memiliki himpunan filem besar yang bakal menemui penonton untuk dua tahun akan datang.
Filem My Love Story lakonannya bersama Kareena Kapoor adalah antara filem paling dinanti pada 2011.
TOP 5 AKTRES TERBAIK
Deepika Padukone:
EMPAT filem lakonannya menemui penonton pada 2010 dna sebuah lagi, Khelein Hum Jee Jaan Sey menyusul pada bulan ini.
Filem Housefull menerima sambutan memberangsangkan manakala Karthik mendapat ulasan yang positif selain mengaut kutipan yang selesa.
Mungkin Lafangey Parindey tidak mencatat kutipan pecah panggung tetapi lakonannya menerima pujian daripada pengkritik.
Deepika baru tiga tahun menembusi industri perfileman, namun sudah meraih kepercayaan untuk menonjolkan kekuatan bakatnya selain membintangi filem komersial yang mendapat sambutan hebat.
Kareena Kapoor
MENGAKUI dirinya sebagai aktres nombor satu, keyakinan Kareena Kapoor meletakkan namanya di hati peminat selain menjadi pilihan penerbit dan pengarah filem.
Dilahirkan dalam keluarga berpengaruh dalam industri perfileman Bollywood, Kareena ialah sepupu kepada Ranbir Kapoor, pelakon yang sedang mencipta nama ketika ini.
Tidak meniti jalan pintas, Kareena menempuh laluan berliku untuk membuktikan kekuatan bakatnya. Kareena membuktikan kehebatannya membawakan watak pelacur dalam Chameli.
Dari segi komersial, Kareena mempunyai barisan filem yang mendapat sambutan hangat termasuk Golmaal 3.
Katrina Kaif
PERNAH mencuba untuk menembusi industri perfileman menerusi filem Boom, namanya bagaimanapun menyepi. Katrina Kaif kembali meraih perhatian apabila beraksi di samping Salman Khan.
Biarpun tidak fasih berbahasa Hindi, Katrina tetap menjadi pilihan pengarah. Dia dilabel sebagai maskot bertuah kerana hampir kesemua filem lakonannya mencatat kejayaan.
Gandingannya bersama Salman dan Akhsay (Kumar) sering membawa tuah kepada penerbit filem. Katrina bekerja keras untuk menggilap pertuturannya selain bersungguh dalam setiap filem lakonannya.
Katrina diangkat sebagai primadona filem Bollywood yang sedang mencipta fenomena.
Aishwarya Rai Bachchan
DIKHABARKAN sebagai aktres Bollywood dengan pendapatan tertinggi, Aishwarya Rai ialah wajah sinonim dengan festival filem antarabangsa selain menjayakan kempen iklan di peringkat kebangsaan dan luar negara.
Dia ialah wajah antarabangsa India kerana pernah membintangi filem di Britain dan Amerika Syarikat. Aishwarya pernah muncul dalam program bual bicara bersama Oprah Winfrey selain menerima pelbagai pengiktirafan atas platform berbeza.
Dia ialah ikon dalam industri perfileman Bollywood, penari terbaik selain dikenali sebagai aktres berkaliber. Empat filem lakonannya ditayangkan pada 2010 iaitu Action Replayy, Robot, Raavan dan Guzaarish, kedua terbanyak selepas Deepika.
Kajol
DIA ialah aktres yang disenangi umum, justeru perkahwinan dan gelaran ibu tidak sesekali memadamkan populariti serta karisma Kajol di layar perak.
Kajol memecah kepercayaan karut bahawa aktres Bollywood hanya mampu mencipta kecemerlangan ketika sebelum berkahwin.
Isteri kepada Ajay Devgan itu membuktikan perkahwinan dan menjadi ibu tidak menjejaskan mutu persembahannya sebagai pelakon.
Kajol seorang yang selektif dan hanya menjayakan beberapa filem setahun tetapi setiap satu lakonannya akan mencatat kutipan pecah panggung.
Tiada aktres lain yang mampu mencapai populariti seperti yang pernah diraihnya. Tahun ini, Kajol cemerlang dengan dua filem iaitu My Name Is Khan dan We Are Family.
Oleh:Zul Husni Abdul Hamid
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com