Kes Nusyuz Pelakon Sari Yanti Dibicara 17 Disember Depan

Friday, October 17, 2014 by
Mohd. Edy Casmadi Che Hussain (kiri) dan Sari Yanti semasa hadir di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling. 


Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling pada Rabu lalu telah menetapkan tarikh 17 Disember sebagai perbicaraan kes nusyuz yang difailkan oleh suami pelakon Sari Yanti, Mohd. Edy Casmadi Che Hussain, 34.

Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan kedua-dua pihak untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

Semasa prosiding berlangsung Peguam Syarie, Marlina Amir Hamzah yang mewakili Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan afidavit pembelaan kes itu minggu hadapan.

“Ini adalah berikutan terdapat beberapa perkara yang masih dalam perbincangan bersama anak guamnya,” katanya.

Peguam Syarie yang mewakili Mohd Edy turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan pembelaan pada 4 November.

Pada 8 September lalu, mahkamah menolak bantahan awal Sari Yanti dengan kos RM500.

Pada 25 Februari lalu, Sari Yanti memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.

Mohd Edy kemudian memfailkan nusyuz ke atas isterinya pada 7 Mac lalu di bawah Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.