Shila Amzah Sedia Terima Johan As'ari Sebagai Bakal Suami

Thursday, October 31, 2013 by
Hubungan Shila dengan Johan As'ari bukan lagi rahsia.



PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah sedia menerima pelakon Johan As'ari sebagai bakal suami sekiranya mereka ada jodoh.

Shila berkata, setakat ini Johan antara sahabatnya yang paling rapat tetapi dia tidak dapat mengesahkan hubungan itu serius seperti pasangan bercinta.

"Kami lebih selesa akrab tanpa perlu meletakkan ia sebagai satu hubungan pasangan bercinta.

"Johan juga antara sahabat saya yang paling rapat dan saya terima dia dengan hati terbuka sekiranya dia merupakan jodoh saya satu hari nanti," katanya.

Shila ditemui pada majlis pengisytiharannya sebagai artis naungan Warner Music Malaysia di Hotel Royale Bintang, Damansara di sini pada Rabu.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu itu, Johan muncul dalam hidupnya sebelum dia mengerjakan umrah pada Mac lalu dan kehadiran lelaki itu seperti memberikan aura positif padanya serta keluarga.

"Saya percaya ibu dan ayah mempunyai perasaan yang kuat terhadap kawan-kawan anak mereka di mana mereka boleh mengagak baik buruknya perangai seseorang itu.

"Alhamdulillah dia (Johan) hadir dalam hidup kami membawakan aura positif dan kalau nak tahu mak saya dan mak dia sudah lama berkenalan rupa-rupanya.

"Ini membuatkan jalinan antara keluarga kami juga semakin kuat. Dan pada masa sama saya dan Johan saling memberi semangat dalam kerjaya masing-masing," ujarnya.



Shila (kanan) bersama Darren Choy. 


Sementara itu, Shila yang kini menetap di China bersyukur dapat bernaung di bawah Warner Music kerana ia lebih memudahkannya dalam menguruskan kerjaya seninya di Malaysia.

"Sekarang ini saya muncul dengan album baru berjudul Shila Amzah. Memandangkan saya banyak menghabiskan masa di China, saya memerlukan sesebuah pengurusan yang boleh mempromosikan album saya di negara ini.



 Shila kini menetap di China


"Selepas pihak Warner menawarkan saya berada di bawah naungan mereka, saya rasa ini adalah peluangnya di mana kontrak diikat mengikut bilangan album yang dikeluarkan," tuturnya.

Turut hadir pada majlis itu, bapa Shila iaitu N.D Lala serta Ketua Pegawai Eksekutif Warner Music, Darren Choy.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com