Siti Nurhaliza Takut Ancaman Penyakit Kanser

Wednesday, December 05, 2012 by
Datuk Siti Nurhaliza Tarudin



KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza meluahkan rasa takutnya terhadap pelbagai penyakit kanser terutamanya berkaitan dengan hal dalaman wanita.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 33, berkata, antara penyakit yang paling digeruni ialah kanser payudara dan rahim, di mana ia sebahagian daripada mahkota tubuh bagi setiap wanita.

"Jika dua organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia adalah organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling.

"Sebab itu saya begitu risau jika terjebak dengan kanser payudara dan rahim.

"Lebih-lebih lagi dengan kehidupan kita yang serba moden serta sering terdedah dengan makanan segera, penyakit-penyakit seperti ini lebih mudah menyerang kita," katanya.

Tambah Siti, walaupun belum terjebak dengan penyakit-penyakit itu, dia tetap membuat persediaan dengan menjalani ujian kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Malah, katanya, setiap wanita digalakkan untuk membuat ujian kesihatan terutama berkaitan dengan hal-hal penyakit wanita sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

"Risiko untuk mendapat pelbagai jenis penyakit, bukan sahaja berkaitan kanser payudara dan rahim, semakin meningkat dengan peningkatan usia setiap individu.

"Malah, kadar kejadian dikatakan terus meningkat dengan mendadak dari tahun ke tahun akibat gaya hidup moden.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang ialah wanita di Malaysia segan untuk membuat pemeriksaan dan mereka hanya mendapat tahu yang mereka terkena dengan kanser selepas penyakit tersebut sudah berada di peringkat ketiga," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti juga bertegas supaya golongan wanita perlu melakukan rutin senaman kerana ia sedikit sebanyak dapat menaikkan imun pada tubuh badan.

"Pengambilan makanan tambahan juga amat penting. Jangan pandang remeh dengan perkara itu.

"Saya percaya, dengan rutin aktiviti harian yang sangat padat, ambillah masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bersenam. Buatlah apa sahaja asalkan dapat mengeluarkan peluh.

"Alhamdulillah, sepanjang melakukan pelbagai penjagaan diri, saya belum mendapat sebarang penyakit lagi, tetapi itu bukan lesen untuk kita tidak meneruskan membuat pemeriksaan doktor," nasihat Siti.

Pada 30 November lalu, Siti telah mengadakan majlis makan malam amal, Pink Jazzy Affair 2012 bersempena dengan bulan kesedaran penyakit kanser payudara, Gleneagles Kuala Lumpur.



Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com