Siti Fazurina Dakwa Ibunya Pernah Tolak Lamaran Risik Hykal Tanpa Sebab

Monday, December 24, 2012 by
   
 
KUALA LUMPUR – Pelakon Siti Fazurina yang didakwa keluarganya kahwin lari dengan jejaka pilihan hatinya mendedahkan ibunya pernah menolak lamaran risik dari keluarga Hykal Zulkifli.

Fazurina menjelaskan perkara berkenaan selepas pelbagai cerita negatif timbul mengenai pernikahannya dengan Hykal yang juga rakan perniagaannya.

Fazurina memberitahu melalui laporan portal OhBulan!, keluarganya termasuk ibunya mengenali rapat diri Hykal memandangkan keluarga suaminya itu tinggal di kediaman yang sama dengan keluarga Fazurina.

Cuma, rumah mereka berada di berlainan tingkat.

“Ya, memang mereka mengenali antara satu sama lain kerana keluarga Hykal tinggal di tingkat 16 manakala keluarga Nina di tingkat 14 di dalam kondominium yang sama di Hartamas,” kata Fazurina.

Justeru, bagi Fazurina, tidak timbul cerita yang mengatakan keluarganya tidak mengenali peribadi Hykal secara dekat.

Sebelum mereka bernikah, keluarga Hykal pernah datang merisik Fazurina di kediamannya dan merancang untuk berkahwin.

Namun, lamaran keluarga Hykal itu ditolak oleh ibu Fazurina tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Ekoran dari tindakan ibunya, Fazurina telah mengambil keputusan untuk merujuk situasinya kepada beberapa orang ustaz selain berusaha melalui solat istikharah sebelum nekad bernikah dengan suaminya.

“Nina dan Hykal bukan kahwin lari. Majlis pernikahan kami dihadiri oleh sejumlah ahli keluarga yang amat besar termasuk ibu dan bapa saudara kami. Mereka semua bersetuju dan menyukai pasangan hidup pilihan Nina. Tak dinafikan, memang benar ibu dan adik-beradik Nina tak hadir sama.

“Sebelum bernikah pun, Nina sudah pergi merujuk pada ustaz-ustaz untuk bertanya serta mendapatkan kepastian tentang situasi kami. Nina juga ada buat solat Istikharah. Walaupun ibu tak bagi, tapi Nina tahu satu hari nanti pasti pintu hatinya akan terbuka. Nina percaya, hubungan antara ibu dan anak takkan terpisah,” terang Fazurina.

Minggu lalu, kecoh dengan cerita dari keluarga Fazurina mendakwa pelakon wanita itu telah lari dari rumah dan bernikah secara senyap hingga menyebabkan ibunya jatuh sakit.

Namun, Fazurina menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan dia bernikah secara sah dan akan mengadakan majlis resepsi pada 9 Februari tahun hadapan.