Pakej Kontroversi Izreen Azminda

Wednesday, January 04, 2012 by
 
BIARPUN dipalit dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan gosip, pemilik nama Muhamad Riza Baharudin atau Riza, 29, tenang menutur kata menjawab satu demi satu persoalan yang dilontarkan pihak media. Seakan sudah bersedia dengan jawapan, Riza tidak kekok berhadapan dengan gerombolan wartawan biarpun ‘watak’ dirinya sebelum ini sekadar individu di belakang tabir dunia glamor iaitu sebagai jurukamera bebas produksi filem.
Itu lelaki yang kini bergelar tunang Izreen Azminda Aznam, 27, pelakon baharu yang diketahui umum sudah mempunyai pakej kontroversinya sendiri gara-gara mendakwa bercinta dengan aktor Johan Asaari yang bergandingan dengannya dalam drama bersiri popular, Juvana, sedangkan Johan pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut!
Justeru apabila perancangan Izreen dan Riza untuk bertunang dicium pihak media, timbul pula kontroversi di pihak Riza. Seperti biasa laman web internet menjadi medan yang kononnya cuba membogelkan kisah sebenar Riza, sekali gus dilihat sebagai percubaan dalam menghalang pertunangan mereka.
Kononnya dalam salah sebuah blog gosip ada individu tertentu yang didakwa menghantar e-mel yang menampilkan kenyataan pencetus daripada seorang pengurus produksi yang hanya dikenali sebagai Rafeda. Dakwa Rafeda dia merupakan tunangan Riza dan Izreen pula dilabelkan sebagai perampas tunang orang dan dalam kes ini tunang Rafeda!
Tidak cukup dengan itu, Riza juga didakwa pernah berkahwin dengan bekas isteri pelakon Badrul Muhayat, Julia Daud yang mana kes Badrul dan Julia juga pernah menjadi isu panas apabila Badrul meninggalkan Julia yang ketika itu sedang sarat mengandung anak pertama mereka.
Rafeda juga mendakwa dia dan Riza pernah bercuti ke luar negara dan masih menyimpan segala bukti yang berupa gambar-gambar dan rakaman video sepanjang percutian mereka itu. Malah, ada yang lebih kontroversi,
Rafeda turut didakwa pernah mengandung anak luar nikah daripada benih Riza tetapi Riza telah mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan Rafeda kerana ketika itu Riza masih bergelar suami kepada Julia!
Lengkap sudah pakej sebuah kontroversi yang cukup sesuai dijadikan skrip drama atau filem. Namun, seolah-olah kalis segala tohmahan, tuduhan dan fitnah itu, Izreen dan Riza akhirnya membuktikan keutuhan cinta mereka apabila selamat menjalani acara pertunangan pada hari pertama tahun 2012 ini di kampung halaman Izreen di Alor Setar, Kedah.
Riza sanggup buat ujian DNA
Apa yang jelas, Riza berjaya mencairkan hati gadis yang memerankan watak Cikgu Zakiah dalam drama Juvana itu dengan meniupkan semangat.

IBU Riza, Zainon Baba menyarungkan cincin di jari manis Izreen sebagai tanda sudah sah ikatan pertunangan antara Riza dan Izreen.

“Saya banyak beri semangat kepada Izreen apabila banyak orang hentam dia. Semangat itu menguatkan Izreen dan agar dia tidak jatuh,” tutur Riza yang ditemui usai acara pertunangan yang disempurnakan dengan Riza membawa lima dulang hantaran dibalas tujuh dulang hantaran oleh Izreen.
Namun, bagaimana pula dengan Riza sendiri yang datang dengan pakej lengkap kontroversi itu? Apakah jawapannya terhadap segala dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah itu?
“Saya tidak pernah bertunang dengan (perempuan bernama) Rafeda!,” tegas Riza. Tambahnya: “Keluarga pun terkejut, saya bertunang tak jemput mereka. Kalau nak tuduh biarlah. Mereka boleh cakap semahu hati. Alhamdulillah, jika itu yang mereka cakap.
Menurut Riza lagi, dia sudah menceritakan segala kisah silamnya kepada Izreen. Malah, Riza dengan terbuka mengakui dia pernah berkawan dengan Rafeda dan pergi bercuti bersama gadis itu, namun, dia enggan bercerita lebih lanjut mengenainya.
“Cukup kalau saya beritahu saya sudah cerita kisah silam saya kepada Izreen. Memang saya ada berkawan dan pergi bercuti dengan Rafeda di luar negara tetapi hubungan kami sudah putus tetapi kami tidaklah sampai bertunang,” tegasnya lagi.
Tambah Riza: “Dakwaan saya ada anak luar nikah, gugur bayi, itu semua tak betul. Perkara itu saya tidak buat tetapi orang tuduh saya. Orang yang bercakap itu, sepatutnya tampil dan kemukakan bukti. Kalau ada anak itu, saya sanggup buat ujian DNA,” katanya.
Namun apa yang menarik, Riza mengakui pernah mengenali Julia selain berterus terang bahawa dirinya pernah dan berkahwin serta mempunyai seorang anak. Sememangnya Riza yang tidak mahu menyembunyikan hakikat status dirinya yang sudah bergelar duda itu.
“Saya pernah berkahwin, tetapi bukan dengan Julia Daud seperti yang didakwa. Memang saya ada berkawan dengan isteri pelakon Badrul Muhayat itu kira-kira lapan tahun lepas, tetapi hubungan itu tidak lama. Ia cerita lama tetapi dibangkitkan semula, saya pun terkejut,” ujar Riza.
Menjelaskan isu perkahwinan pertamanya Riza memberitahu, dia berkahwin dengan wanita biasa tetapi hanya bertahan selama dua tahun.
“Saya dikurniakan seorang anak lelaki yang kini dijaga bekas isteri. Saya rasa kecewa sebab keluar benda yang tidak betul. Orang buat cerita, mahu memburukkan saya. Macam saya jahat sangat, macam saya yang buat, sedangkan saya tidak buat,” tutur Riza.
Pasrah dengan segala tohmahan, Riza mahu membuka buku baharu dengan cinta baharunya, Izreen. “Orang yang buat (fitnah) itu bukan tuju kepada Izreen tetapi kepada saya. Saya pula bertunang dengan Izreen, jadi tempias itu turut terkena kepada Izreen.
“Harapan saya moga tidak ada orang nak burukkan saya, saya nak mulakan hidup baharu, selepas perkahwinan pertama gagal,” ujar Riza.
Izreen enggan ambil tahu
Izreen yang berada di sisi Riza dalam pada itu menegaskan dia tidak mahu terbawa-bawa dengan kisah silam Riza dan yakin dengan pilihan hatinya itu.

CINCIN bertatah berlian tanda Izreen kini sudah menjadi tunang Riza.

“Sepanjang kenal Riza, dia memang lelaki bertanggungjawab, saya tidak mahu ambil tahu kisah silamnya. Saya sedia terima Riza sebagai orang baharu dalam hidup saya,” katanya.
Menurut Izreen lagi, apa yang dilihatnya sekarang pada diri Riza semuanya elok belaka.
“Apa yang berlaku sebelum ini dalam hidup Riza saya tidak mahu ambil pusing sebab semua orang ada kisah silam sendiri. Apa yang penting, sepanjang mengenali Riza semuanya elok,” jelas Izreen.
Namun bagi Izreen yang mula rapat dengan Riza sejak September tahun lalu, dia tidak boleh menipu dirinya daripada dihantui dengan kisah silam Riza namun dia menegaskan mahu menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka.
“Memang (kisah silam Riza) ada menghantui diri saya. Kalau nak cakap apa-apa, perlu ada bukti, gambar percutian Riza dan Rafeda yang tersebar di internet itu, memang saya tahu sebab Riza ada cakap,” akui Izreen yang mengakui teruja menanti tarikh pernikahannya yang dijangka menjelang 31 Ogos tahun ini.

Kredit: Sumber