Zul berkata, adalah tidak mungkin dia dapat melupakan hubungannya bersama Abby yang telah berlangsung selama tiga tahun begitu sahaja dan masih menghormatinya sebagai seorang kawan.
"Hubungan saya dengan Abby masih baik dan ada kalanya kami bertanya khabar melalui panggilan telefon atau pun berbalas SMS. Sudah tentu perasaan sayang kepadanya masih ada kerana percintaan kami bukan berlangsung selama tiga hari tetapi tiga tahun lamanya.
"Sudah tentu ia masih berbekas di hati saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan bekas penyanyi kumpulan Elite itu, Zul menjawab ringkas. “mungkin...!
Zul juga mendedahkan dia masih mengambil tahu mengenai perkembangan diri Abby dan tiga anaknya menerusi laman Facebook milik bekas kekasihnya itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca keretakan hubungan mereka, Zul enggan mengulas lanjut dan menyifatkan ia adalah perkara bersifat peribadi untuk dikongsi kepada umum.
"Saya tidak pernah menyesal mengenali Abby malah dia adalah antara insan yang paling baik pernah saya temui selain daripada keluarga saya.
"Cuma saya sesalkan mengenai kesalahan dan kesilapan yang pernah berlaku sepanjang kami bersama," ujarnya.
Bercakap mengenai perkembangan terbaru mengenai dirinya, Zul berkata dia bersyukur dapat berlakon di dalam filem Penanggal arahan sulung pelakon berbakat Elly Suriati.
Ujarnya, peluang berlakon di bawah arahan pelakon berkaliber itu adalah peluang keemasan buatnya untuk membuktikan diri sebagai seorang pelakon yang baik.
"Elly Suriati sangat berbakat dan begitu profesional ketika berada di lokasi penggambaran dan sentiasa memastikan apa yang dilakukan adalah terbaik.
"Walaupun ada mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang garang tetapi bagi saya jika kita sebagai pelakon mempersiapkan diri sebelum ke lokasi tiada sebarang alasan untuk dimarahi.
"Jika ada pun itu sudah tentu untuk kebaikan bersama bagi menjayakan filem berkenaan," ujarnya.
Zul berkata, cabaran berlakon dalam filem yang turut menggandingkannya bersama Azri Iskandar dan Fasha Sandha itu adalah dia perlu bercakap dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun katanya, atas bimbingan pengarah yang mengadakan kelas bahasa dan persediaan berlakon telah memberikannya semangat dan keyakinan diri untuk melakukannya.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com