Shahir AF8 Dilanda Seribu Satu Kontroversi

Thursday, December 08, 2011 by

PESONA...biar Shahir dilanda seribu satu kontroversi, peminat sentiasa setia menyokongnya.

MISTERI kehilangannya dan soal cinta sangat sinonim dengan jejaka kacak berwajah manis ini. Melihat kepada perwatakan dan tutur bicaranya yang sopan, membuatkan ramai berasa hairan bagaimana juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawani boleh dikaitkan dengan pelbagai cerita panas dan spekulasi.
Sebagai selebriti dikenali, mahu atau tidak itulah hakikat yang harus ditelan. Begitupun, jauh di sudut hati anak kelahiran Ipoh, Perak ini tersembunyi rasa kecewa dan kesal ekoran dikaitkan dengan pelbagai cerita yang kurang enak didengar.
Walaupun dibebani pelbagai gosip panas sehingga menimbulkan spekulasi, Shahir yang ditemui ketika rakaman Muzik-Muzik 26 di Shah Alam, baru-baru ini tidak langsung menunjukkan sebarang perubahan.

Senyumnya masih sama meleret dengan dihiasi pendakap gigi dan tuturnya juga lancar menjawab setiap persoalan tanpa sedikitpun menunjukkan riak kurang senang.





Jelasnya, kehilangannya sebelum ini bukan kerana mahu menyorokkan sesuatu, apatah lagi dikaitkan dengan pelbagai misteri yang menimpa. Sebaliknya, cerita yang tersebar selama ini berlaku disebabkan salah faham.

“Insiden jatuh dalam bilik air pada Jun lalu adalah permulaan segala cerita kerana selepas itu saya diberi cuti dua bulan dan kemudian saya terus sambung cuti sepanjang Ramadan. Tidak sangka pula sepanjang ketiadaan saya selama tempoh tiga tiga bulan itu timbul pelbagai spekulasi bukan-bukan. Sedangkan sepanjang tempoh itu, saya hanya duduk memerap di rumah.

“Bayangkan saya dituduh hilang dan sakit, kemudian dikatakan terbabit dalam kegiatan gerakan Islam. Entah macam mana kisah terbabit boleh timbul pun saya tidak tahu. Saya hanya duduk berehat di rumah kerana tidak boleh meneruskan aktiviti seni memandangkan kesihatan yang tidak stabil ketika itu. Pihak pengurusan sendiri memberikan cuti agar saya dapat berehat dan cepat sembuh.

“Hikmah di sebalik apa yang berlaku, ibu bapa saya semakin faham dengan permainan dunia seni kerana sebelum ini jika ada cerita kurang enak mengenai saya, pastinya mereka tertanya-tanya bagi mendapatkan penjelasan.

“Apabila berada di depan mata mereka sepanjang bercuti dan gosip mengenai diri saya hangat dimainkan di media, mereka sendiri bertindak sebagai pendinding dan cuba menasihati saya agar terus kuat berhadapan dengan ujian ini. Pada waktu sama, tidak dinafikan mereka jadi pelik bagaimana orang boleh membuat spekulasi dan andaian sedangkan saya elok saja berehat di rumah.

“Begitupun, apa yang berlaku tetap saya hargai kerana ia membuatkan saya menjadi lebih kuat untuk terus berhadapan dengan cabaran. Ia kekal menjadi satu pengalaman yang banyak mendidik untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya tersenyum.

Penyanyi yang mempertaruhkan lagu Luar Biasa di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 26 ini bagaimanapun menyifatkan setiap kisah yang timbul mengenainya dianggap satu perhatian dan penghargaan kerana masih ada pihak ingin tahu mengenai perkembangan dirinya.



Berbicara lebih lanjut, wajah Shahir sedikit pun tidak menunjukkan riak terkejut apabila dramatis, Rozita Che Wan yang terus dikaitkan dengan namanya akan ditanya. Waktu sama, dia seperti sudah mengagak soalan itu akan diajukan.

Menganggap segala kontroversi dan kisah cinta yang timbul itu hanya sekadar satu gosip dan tiada kebenarannya, Shahir hanya mampu mengharapkan agar suatu hari nanti peminat dapat menilai sendiri kerana tiada guna sekiranya dia terus menafikan dalam usaha untuk membetulkan keadaan.

“Kami masih berkawan dan memang sejak dulu kami berhubungan sebagai kenalan. Tidak lebih daripada itu. Sesiapa juga boleh melihat semula mana-mana artikel atau kenyataan yang dikeluarkan saya, tidak sekali pun saya mengesahkan mengenai gosip cinta antara kami, sebaliknya memang apa yang ada hanyalah hubungan persahabatan.

“Saya akui kami pernah akrab dan ada keserasian, namun semuanya terlalu awal dan saya sendiri masih sibuk mencatur perjalanan kerjaya yang baru hendak bermula. Mana mungkin saya mengalih perhatian untuk berbicara soal cinta sedangkan keluarga dan kerjaya adalah keutamaan. Apa saja kenyataan dan kisah mengenai saya dan Rozita sebelum ini adalah satu salah faham.

“Saya masih lagi sendirian dan tidak pernah menjalin hubungan serius dengan sesiapa sejak menyertai AF. Biarlah masa dan keadaan yang menentukan segala-galanya kerana apa yang penting bagi saya keluarga tahu perkara sebenar. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dan melukakan hati sesiapa.

“Laluan saya kini hanya pada kerjaya nyanyian yang masih perlu ruang bagi terus diperkukuhkan,” katanya yang tidak mahu terus mengulas secara terperinci mengenai gosip cintanya.

Sebaik mengubah topik kepada perkembangan kerjaya seni, Shahir terus tampak bersemangat. Lebih-lebih lagi sudah lama dia tidak berkongsi cerita bersama peminat yang sentiasa merinduinya.

Meletak sepenuh fokusnya pada pembikinan album terbarunya yang dijadual berada di pasaran Disember depan, Shahir yang kini sudahpun merakamkan empat lagu dan berbaki dua lagi lagu mengharapkan usahanya ini akan mengubat kerinduan peminat yang tidak henti memberikan sokongan.

“Bintang kelahiran program realiti seperti saya adalah produk yang hidup atas sokongan peminat. Mereka sanggup meletakkan saya di atas. Atas alasan itu, ada tanggungjawab yang perlu saya lakukan iaitu mengembalikan apa yang diinginkan peminat. Saya harus berterima kasih dan memberikan yang terbaik kepada mereka kerana sejak awal lagi merekalah penyokong kerjaya saya selain keluarga.

“Satu magis buat saya apabila sokongan peminat yang langsung tidak berbelah bahagi. Meskipun timbul pelbagai cerita dan spekulasi, mereka terus setia dan sentiasa menunggu kehadiran saya.

“Lantas Disember depan atau selewat-lewatnya awal tahun depan, saya akan muncul dengan album solo yang masih mengangkat muzik Pop Rock dengan sedikit sentuhan melodi romantis.

“Saya ingin memastikan peminat berpuas hati dengan album itu nanti yang semuanya dirakam semula dengan alunan vokal yang menceritakan perasaan saya,” katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Ahmad Shahir Zawani
TARIKH LAHIR: 5 September 1988
UMUR: 23 tahun
TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak
KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 8 dan Artis Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011
LAGU: Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Tiba (Bersama Faizal Tahir & Faizal Ismail), Dimanakan Ku Cari Ganti (Bersama Stacy, Aizat, Ning Baizura, KRU, Atilia dan Ella), Luar Biasa, Pendam, Cerita Kita, Dia Yang Kau Pilih dan Cintakan Kembali
FILEM: Karak
PROGRAM TELEVISYEN: Lawaknya Fantasia Raya, Cerciter Cinta, Diariku... Shahir, Lemang, Lebaran, Labuci dan Konsert Reunion AF8
DUTA: Duta Brand’s Generasi Hebat dan Ikon Belia Perak

Oleh Murshid Eunos

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com