MENYELITKAN elemen kejutan dalam sesebuah rancangan realiti TV dilihat antara langkah paling berkesan untuk menarik minat penonton serta mampu menaikkan lagi rating rancangan sebegitu.
Oleh yang demikian, rancangan Maharaja Lawak Mega yang menampilkan pelawak-pelawak otai dari tiga buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah melakukan satu kejutan menarik biarpun baru minggu pertama disiarkan.
Siapa sangka pihak Astro telah melantik tiga orang juri tetap yang bukan terdiri daripada pelawak profesional, sebaliknya mereka yang dilantik sebagai juri adalah penyanyi, chef dan pemain bola sepak terkenal.
Antara tiga orang juri tetap yang dilantik adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan legenda bola Malaysia, Zainal Abidin Hassan.
Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani yang ditemui selepas rancangan tersebut berakhir berkata, memang daripada awal lagi pihaknya inginkan juri yang bukan terdiri daripada pelawak sendiri.
“Kalau kita memilih pelawak sebagai juri tetap, rasanya ia bukanlah satu tindakan yang tepat kerana mungkin ada di kalangan peserta yang bertanding adalah rakan baik dengan juri yang dilantik.
“Jadi kami merasakan adalah lebih baik sekiranya ketiga-tiga juri tetap ini adalah daripada bidang yang langsung tidak kena mengena dan komen yang diberikan adalah pandangan sebagai seorang penonton,” jelasnya.
Ditanya tentang pemilihan Siti, Chef Wan dan Zainal Abidin sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega, Nizam menganggap ia adalah sebagai satu tarikan istimewa memandangkan ketiga-tiganya memang terkenal dalam bidang masing-masing.
Jelasnya lagi, dengan persetujuan yang diberikan oleh mereka untuk menjadi juri, ia dilihat sebagai satu penghormatan yang tertinggi serta mampu menarik minat lebih ramai penonton untuk menonton rancangan tersebut.
“Dengan melantik mereka sebagai juri tetap, ini bermakna mereka perlu memberi komitmen selama 10 minggu rancangan ini disiarkan. Sedangkan kita tahu mereka sendiri turut mempunyai jadual yang cukup ketat.
“Misalnya, Datuk Siti Nurhaliza sendiri sebenarnya perlu membuat satu persembahan di tempat lain pada salah satu minggu. Namun, setelah perbincangan dibuat akhirnya jadual persembahan tersebut telah diubah dan beliau akan terus bersama Maharaja Lawak Mega sepanjang siaran ini berlangsung,” ujarnya.
Menurut Nizam lagi, selain ketiga-tiga juri tetap yang dilantik itu, pihak Astro akan turut mengundang seorang juri jemputan setiap minggu sama ada dari Singapura atau Indonesia.
Sementara itu, Siti menjelaskan dia menerima tawaran untuk menjadi juri tetap adalah disebabkan dia merupakan salah seorang peminat setia rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak serta sering menantikannya pada setiap minggu.
Ujarnya, dia memang gemar dengan sesebuah rancangan yang menghiburkan dan menganggap kedua-dua rancangan tersebut telah mewujudkan satu fenomena dalam dunia komedi tempatan.
“Pada mulanya saya memang terkejut apabila ditawarkan untuk menjadi juri tetap dan tidak yakin dapat memberikan komen yang baik. Namun, setelah diterangkan oleh pihak Astro barulah saya menerima tawaran berkenaan.
“Bagaimanapun, saya tidak menganggap pemilihan saya semata-mata mahu menaikkan lagi rating kerana rancangan ini sebenarnya sudah pun mempunyai peminat yang cukup ramai termasuk saya,” ujarnya.
Seorang lagi juri iaitu Chef Wan pula menjelaskan dia sebenarnya adalah peminat setia rancangan komedi. Malah, dia kerap mengikuti pelbagai rancangan komedi luar negara.
“Memang komedi adalah bukan bidang saya, tetapi setiap komen yang saya berikan adalah berdasarakan kepada pengalaman saya sebagai penonton yang memang kerap menonton rancangan komedi sejak dahulu lagi.
“Pada masa yang sama, saya sangat mengharapkan agar kesemua peserta yang bersaing dalam rancangan ini dalam mempersembahkan satu bentuk komedi yang unik dan mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.
Tiada penyingkiran
Memandangkan rancangan tersebut baru minggu pertama disiarkan, maka pihak Astro telah membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang penyingkiran dan semua peserta akan kembali bersaing untuk minggu seterusnya.
Kesemua 17 peserta yang beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega rata-ratanya telah membuat satu persembahan yang cukup menarik termasuklah peserta dari Singapura dan Indonesia.
Bagaimanapun, kumpulan yang Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik paling mencuri tumpuan sehingga mendapat peratusan yang tertinggi daripada juri dan penonton.
Begitu juga dengan dua peserta solo iaitu Jalil Hamid dan Adlin Aman Ramli yang berada di tangga kedudukan 10 terbaik, manakala kumpulan Bawel dari Indonesia pula menjadi peserta luar negara yang berada di tangga teratas iaitu di kedudukan kelima.
Barisan Peserta-Peserta Maharaja Lawak Mega
1. Pimai (Sathiya, Imuda dan Yassin Sulaiman)
2. Hiro (Hamdan, Ilya dan Ropie)
3. Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik)
4. Anje (Achong & Joey)
5. Osbon (Mr. Os dan Abon)
6. Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri)
7. Rap (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak dan Rama)
8. Comel (Radhi Khalid dan Bell Ngasri)
9. Lanun (Jegan, Elyas dan Salman)
10. 3G (Yassin, Didie Alias dan Enot)
11. Adlin Aman Ramli
12. Jalil Hamid
13. Gebu (Hani dan Azian) – Singapura
14. Syok (Ifa Raziah, Suhaimi dan Arif Sudin) – Malaysia + Singapura.
15. Bawel (Dodon, Amin dan Dadang) – Indonesia
16. Saehu (Eko, Bocil dan Vicha) – Indonesia
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com