Isteri Pelakon Shaharuddin Thamby Minta Cerai Selepas 33 Tahun Hidup Bersama

Tuesday, April 26, 2011 by

Shaharuddin Thamby


KUALA LUMPUR : “Saya masih sayangkan isteri. Walaupun dia minta cerai, namun sebagai suami bertanggungjawab, saya tidak akan melakukan demikian kerana memahami emosinya yang terganggu disebabkan menderita kanser rahim,” kata pelakon drama, Shaharuddin Thamby, 54, di dalam Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.
Shaharuddin berkata demikian ketika ditanya Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin berhubung tuntutan cerai dikemukakan isterinya, Nor’aini Muhammad, 51, dan tidak bersetuju dengan tuntutan berkenaan.

Sebaik kes disebut kira-kira jam 11.45 pagi, Shaharuddin yang memakai kemeja biru dan bersongkok mengaku ada menerima saman yang difailkan plaintif (Nor’aini).
Ketika prosiding berlangsung, Shaharuddin kemudian membuat pengakuan yang dia masih menyayangi isterinya dan tidak berniat langsung untuk bercerai. “Isteri saya menghidap kanser rahim dan doktor memaklumkan dia terpaksa menjalani pembedahan kerana ia berada di peringkat bahaya. Disebabkan hal itu, Nor’aini terpaksa menjalani pembedahan, namun doktor memberitahu ada kesan perubahan emosi.

                                                              



“Apa yang diperkatakan doktor ternyata benar dan doktor menasihatkan saya supaya menerima kenyataan dan bersabar dengan perangainya selepas pembedahan berkenaan,” katanya. Shaharuddin memaklumkan mahkamah, isterinya memerlukan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bergantung sepenuhnya kepada ubatan, bagaimanapun isterinya enggan untuk mematuhi nasihat seperti yang diarahkan doktor.

Terdahulu, Nor’aini memberitahu mahkamah dia memfailkan tuntutan cerai berdasarkan tiada lagi persefahaman dan tidak dapat pembelaan sewajarnya sebagai isteri daripada defendan.

Nor’aini turut disoal Shaiful bila kali terakhir mereka bersama sebelum dia kemudian menjawab dua hari lalu.

Shaiful Azli kemudian memerintahkan pasangan itu pergi menjalani sesi kaunseling di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak. Beliau kemudian menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula bagi mendengar laporan daripada sesi kaunseling itu dan keputusan bagi menentukan masa depan perkahwinan mereka. Shaiful Azli mengakhiri prosiding dengan menasihati pasangan terbabit supaya berusaha untuk memperbaiki hubungan suami isteri, terutama selepas 33 tahun hidup bersama.

Oleh Sarah Zulkifli

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com